Wednesday, June 26, 2013

Tulahan : 10 malam tanpa kosong

Salam,



Apabila ada sahabat yang bertanya, macam mana jamaah kawasan penulis boleh menang dan tambah majoriti sedangkan kawasan penulis mempunyai pengundi Melayu yang tinggi majoritinya. Penulis bagi tahunya, sebab jamaah kawasan penulis jaga cawangan dan sentiasa tambah ahli. Bila itu dilakukan undi tegar jamaah akan bertambah, undi atas pagar akan mengurang.
Sesetengah kawasan anggap pengurusan cawangan dan penambahan ahli tak penting. Banyak kawasan yang berterabur pengurusan cawangan dan keahliannya. Jika tak percaya, pergilah ke Pejabat Agung kemudian semak pengurusan cawangan dan keahlian setiap kawasan.

Ada kawasan yang memberi penekanan kepada kerja-kerja pilihanraya tetapi terlupa tentang kepentingan menambah cawangan dan ahli. Ada juga kawasan yang banyak program tarbiyahnya tetapi tarbiyahnya itu tidak disertai dengan pengamalan. Tarbiyah ok, cawangan lingkup, ahli tak bertambah.
Bila berakhir pilihanraya , maka semua buat post mortem dan terdengarlah suara-suara pimpinan jamaah menyeru ahli memperkasakan parti.  Sudah ada yang mula bercakap pentingnya penambahan cawangan dan ahli. Baguslah jika disertai dengan tindakan dari pimpinan yang bercakap, malanglah jika hanya bersemangat bercakap tetapi tiada tindakan.

Selepas ini, penulis harap tiada lagi YDP kawasan , pimpinan Negeri dan Pusat cakap berdegar-degar di hadapan pimpinan dan ahli bawahan supaya memperkasakan parti. Namun, bila semak di Pejabat Agung status cawangan dan keahlian di kawasan yang mereka pimpin. Jawapannya, sungguh mengecewakan.

Penulis tidak cakap kosong kerana penulis tahu kawasan mana terutama di Perak yang bermasalah. Jika nak tahu lanjut, pergilah semak di Pejabat Agung.



Kawasan penulis juga tidak terkecuali dengan cakap-cakap pimpinan kawasan untuk memperkasakan parti selepas pilihanraya. Alasan untuk memperkasa parti ini digunakan sebagai alasan untuk memisahkan pejabat YB dengan pejabat jamaah. Kononnya, bila pejabat parti dan YB dipisahkan maka barulah pemerkasaan parti dapat diberi penumpuan.

Ada yang mencadangkan kepada penulis perkara ini dan memberi alasan ini. Soalan penulis kepada orang yang mencadang, apa dia pemerkasaan parti tu? Adakah selama ini, cawangan dan ahli tidak diurus dengan baik.
Penulis bagi tahunya, pengurusan cawangan dan keahlian bukan bergantung kepada pengasingan pejabat tetapi bergantung kepada sumber manusia yang menguruskannya. Jika individu yang dipertanggungjawabkan tidak melaksanakan amanah dengan baik, asing pejabat pun tidak bagi kesan apa-apa.

Penulis menulis begini kerana ramai pimpinan jamaah di kawasan , negeri dan pusat selalu menggunakan hujah memperkasakan parti untuk mengiakan apa yang mereka cadangkan. Hakikatnya mereka sendiri tidak berusaha ke arah itu.
Bila tiba masa mesyuarat agung cawangan, adakah mereka berusaha supaya setiap cawangan dalam kawasan mereka mengadakan mesyuarat agung. Ataupun dibiarkan sahaja cawangan tak mampu buat mesyuarat agung , tidak ada usaha membantu cawangan berkenaan. Akhirnya, setiap tahun cawangan tidak mengadakan mesyuarat agung. Lama-kelamaan matilah cawangan itu, bila dah mati hilanglah kekuatan jamaah di cawangan.

Itu tidak masuk bab minit dan penyata yang perlu dihantar ke Pendaftar Pertubuhan. Adakah mereka ambil berat sama ada cawangan menghantar minit dan penyata setiap kali berakhir mesyuarat agung. Atau, dibiarkan sahaja hantar atau tidak. Bila datang surat amaran pembatalan cawangan baru kelam kabut cari salah sana sini.
Cawangan di kawasan penulis juga ada yang tidak buat mesyuarat agung. Selalunya kerana cawangan berkenaan tidak aktif dan tiada pengerak dikalangan Ajk cawangan. Jika tiada usaha dan bantuan dari jamaah kawasan , cawangan sebegini pastinya tidak mampu mengadakan mesyuarat agung.

Ada beberapa cawangan yang gagal mengadakan mesyuarat agung tahun lepas . Bila sudah ada dalam negara, penulis ada peluang untuk bantu cawangan-cawangan ini mengadakan mesyuarat agung.
Setiap tahun , jamaah kawasan tetapkan ada Ajk kawasan yang bertanggungjawap memastikan cawangan mengadakan mesyuarat agung. Pada tahun ini cawangan bermasalah  penulis letakkan di bawah tindakan penulis , cawangan lain penulis letak di bawah Ajk lain.

Cuti sekolah 2 minggu , isteri pergi luar negara penulis bawa anak-anak balik ke kawasan. Selama 10 malam yang ada penulis guna sepenuhnya untuk buat kerja pengurusan cawangan dan keahlian.
Setiap malam , penulis akan turun cawangan manakala siangnya penulis siapkan minit dan penyata cawangan yang masih belum hantar ke Pendaftar Pertubuhan. Selesaikan juga sejumlah lebih 60 borang ahli baru untuk dihantar ke Pejabat Agung pada bulan itu.

Malam-malam awal, penulis turun ke cawangan yang sudah tubuh penaja tetapi belum hantar ke Pendaftar Pertubuhan. Pendaftaran dua cawangan penaja dapat diselesaikan, mudah lagi kerana Pesuruhjaya ada di kawasan untuk tandatangan kelulusan parti.
Malam lain , turun ke cawangan yang sebelum ini gagal mengadakan mesyuarat agung untuk bantu Ajk cawangan mengadakan mesyuarat agung. Syukurlah, lima cawangan dapat mengadakan mesyuarat agung termasuk satu cawangan yang dah banyak tahun gagal dihidupkan cawangannya.

Ada malam, penulis turun berjumpa beberapa orang penting yang boleh minta mereka gerakkan urusan tubuhkan cawangan penaja di dua lokaliti yang tiada cawangan. Penulis harap dua penaja cawangan ini dapat ditubuhkan kerana penulis tidak sempat untuk atur mesyuarat penubuhan penaja cawangan.
Sempat juga ambil semalam untuk buat mesyuarat dengan Unit Amal. Nak tahu perkembangan Unit Amal kerana sebelum ini cuma dilihat secara luaran. Semasa pilihanraya, Unit Amal memang nampak bergaya sebagai petugas keselamatan. Masih ramai yang aktif, ada juga yang baru tapi perlu dibimbing mengadakan aktiviti.

Hanya dua malam balik rumah di kampung tengok ayah dan emak , itupun siangnya penulis balik ke kawasan untuk habiskan kerja-kerja yang tidak sempat dihabiskan.
Penulis yang tinggal jauh beratus km sememangnya tidak berpeluang untuk selalu turun ke cawangan untuk selesaikan masalah cawangan. Hanya berharap ada Ajk kawasan yang dapat faham dan turut sama turun cawangan kerana mereka lebih banyak malam di sana.

Juga berharap Ajk kawasan tidak hanya berurusan dengan cawangan hanya dengan surat dan telefon. Sekali sekala turun bertemu Ajk cawangan bertanya dan menyelesaikan masalah mereka di cawangan. Yang tiada masalah boleh bantu mereka mengaktifkan cawangan.
Tidak sama berurusan hanya dengan surat dan telefon berbanding turun sendiri bertemu Ajk cawangan kerana mereka akan lebih rasa diberi perhatian dan dihargai. Kemenangan jamaah di kawasan kerana kekuatan akar umbi, justeru cawangan baru perlu ditambah, cawangan sedia ada perlu diaktifkan, cawangan lemah perlu dibantu.

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...