Tuesday, August 14, 2012

Tulahan : Berjuang bukan hanya kerana pilihanraya

Salam,

Malam ini baru ada masa untuk menulis , ada banyak yang nak ditulis tapi selalu terbantut dek masa terluang yang pendek. Hidup di negara orang putih ini, siang pendek malamnya panjang. 

Sesetengah orang suka sebab puasa pun pendek. Tak sempat buat apa-apa dah nak buka puasa.

Masa yang pendek ini menghadkan aktiviti penulis. Malam kerja, siang kena tidur jadi masa siang tak banyak yang boleh dibuat. Masa cuti diisi dengan aktiviti jamaah dan persatuan.

Setiap minggu ada iftar jamaei di rumah anak-anak usrah. Aktiviti yang berkesan untuk kuatkan ukhuwwah dan tautan hati sayangkan jamaah. Anak usrah bersaing menyediakan makanan Melayu yang biasa sangat di dalam negara tapi payah nak dapat di luar negara. Selepas tarawih ada tazkirah untuk anak-anak usrah.

Teringat semasa dalam negara, masa Ramadhan banyak diisi dengan aktiviti mencari dana Ramadhan untuk jamaah kawasan sumbangkan kepada fakir miskin, anak yatim, pesakit hospital, surau dan masjid serta guru al Quran.

Penulis dapat berita, jamaah kawasan dapat kumpul dana Ramadhan lebih RM 100 K lebih cepat dari tahun sebelumnya. Seperti tahun sebelumnya Ahli Parlimen, jawatankuasa kawasan, pemuda, muslimat , Unit Amal dan Nisa' adalah tenaga penting yang bergerak mengumpul dana.

Dana cepat dikumpul bila calon Dun yang juga Pesuruhjaya Negeri juga turut menjadi tenaga penting mengumpul dana Ramadhan. Sebelum ini, hanya Ahli Parlimen yang turun ke masjid dan surau di luar kawasan terutama di kawasan kota mengumpul dana. Kali ini, calon Dun turut lakukan aktiviti yang sama.

Walaupun ada Ahli Parlimen dan calon Dun, mereka tidak dibiarkan melakukannya secara individu. Inilah istimewa kerja berjamaah yang digerakkan jawatankuasa jamaah kawasan. 

Tenaga-tenaga insan yang berada dalam jawatankuasa jamaah kawasan , pemuda, muslimat, Unit Amal dan Nisa' inilah teraju penting dalam semua aktiviti dalam bulan Ramadhan ini. 

Mereka ini bukan pun ada apa-apa kepentingan, bukan pun ada imbuhan. Yang ada adalah keikhlasan membantu jamaah dan kefahaman tentang jamaah bukan hanya parti politik tetapi sebuah gerakan dakwah. Kefahaman inilah yang perlu ada pada setiap pejuang jamaah.

Sebab itulah penulis pernah tegaskan kepada seseorang yang cuba rendahkan keupayaan calon jamaah , kononnya tiada peluang untuk menang. Penulis katakan kepadanya, kekalahan dalam pilihanraya jika berlaku bukanlah penyebab gerakan dakwah jamaah tidak boleh berjalan.

Jika jamaah kalah pun , aktiviti kebajikan tetap berjalan kerana jamaah kawasan biasa kalah pada PRU 2004 tapi aktiviti kebajikan tetap berjalan. Kenapa masih berjalan? kerana ada insan-insan yang memahami bahawa jamaah bukan sekadar sebuah parti politik. Mereka duduk dalam jawatankuasa jamaah kawasan , pemuda, muslimat, Unit Amal dan Nisa'.

Jika jamaah menang, aktiviti kebajikan sepatutnya bertambah aktif lagi kerana wakil rakyat turut sama berusaha mencari dana kebajikan. Itulah yang dilakukan oleh Ahli Parlimen jamaah kawasan.

Apa guna jika ada wakil rakyat tapi wakil rakyat berkenaan bukan membantu jamaah sebaliknya membebankan jamaah. Apa guna jika ada wakil rakyat, hanya menambahkan kemarahan rakyat kepada jamaah. 

Mereka yang memahami jamaah sekadar parti politik inilah yang selalunya menampil rasa kecewa jika calon pilihan tidak diangkat. Lemah semangat bila kalah pilihanraya. 

Jika sekadar kecewa tidak mengapa , tapi menunjukkan rasa kecewa dengan menimbulkan masalah kepada jamaah. Mempengaruhi orang lain supaya bersama-sama kecewa, bersama-sama mencari jalan melemahkan jamaah.

Jika mereka memahami tentang dosa membebankan kerja jamaah , besarnya dosa menghasut orang lain melemahkan jamaah yang sudah bergerak dengan baik. Mereka tidak akan melakukannya. 

Penulis, yakin dengan mereka yang berusia muda dalam pemuda, Unit Amal dan Nisa' akan menjadi insan-insan yang memahami perjuangan berjamaah. Ada peningkatan terutama Nisa' dah yang banyak aktiviti. Terbaru masak dan sedekah bubur lambu. Walaupun nampak kecil, tapi besar ganjaran pahalanya.

Tahniah kepada jawatankuasa jamaah kawasan, pemuda, muslimat, Unit Amal dan Nisa' kerana terus aktif bergerak dalam kerja-kerja dakwah dan kebajikan. 

Walaupun mungkin ada rasa letih, ada rasa tertekan, ada rasa kesulitan. Namun di sana ada ganjaran besar dari Allah untuk mereka-mereka yang ikhlas berjuang.

Wassalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...