Friday, November 11, 2011

Nasib orang-orang yang halal darahnya semasa pembukaan Kota Mekah

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg1X3fsQr59i8jQSmHPJWdHQK47cdriZ-pzN39bnA7dsAzrLje0MEhIEFyRPKR_XXGn61gLXJhTOEiDOl_AylQSo-V4bcrluk6jqaHHoZ3Kw4Tdy40UriTwePB_hnfZeEU7waP-xCCpv3ta/s400/1_200864_2601.gif
Di hari Pembukaan Kota Mekah, Rasulullah menghalalkan darah sembilan orang kepala penjenayah Makkah, malah Rasulullah memerintahkan supaya dibunuh kesembilan-kesembilan mereka walau pun didapati mereka berpaut ditirai Kaabah. 

Mereka ialah: Abd al-Uzza bin Khatal, Abdullah Ibni Abi Surah, Ikrimah bin Abi Jahal, al-Harith bin Nufail bin Wahab, Muqis bin Sababah, Habbar bin Aswad, dua orang penyanyi wanita milik Ibn Khatal, kedua mereka ini sering mencaci Rasulullah melalui nyanyian mereka dan Sarah hamba perempuan milik seorang Banu Abdul Muttalib, beliau inilah yang membawa risalah dari Hatib bin Abi Baltaah.

Ada pun Ibni Abi Surah, telah dibawa oleh Saidina Uthman kehadapan Rasulullah, beliau menjadi orang tengah kepada Rasulullah, maka dengan itu terhindarlah nyawa beliau dari ancaman pembunuhan, malah Rasul telah menerima pengakuan Islamnya, di mana sebelum ini Baginda menangguh untuk menerimanya, dengan harapan akan terdapat di kalangan sahabat yang bertindak membunuhnya, kerana beliau sebelum ini sudah memeluk Islam dan turut berhijrah kemudian beliau murtad dan lari balik ke Makkah.

Ikrimah bin Abi Jahal telah melarikan diri ke negeri Yaman, namun isterinya telah berusaha mendapatkan perlindungan, maka Rasulullah pun memberi jaminannya, dengan itu beliau telah berusaha untuk mendapat kembali suaminya yang lari itu, setelah bertemu beliau turut pulang ke Makkah dan memeluk Islam akhirnya beliau menjadi seorang Islam yang baik.

Manakala Ibni Khatal didapati sedang bergantung di tirai Kaabah, hal beliau telah dilaporkan kepada Rasulullah, maka kata Baginda: “Bunuh sahaja”. Maka beliau pun terus dibunuh di situ. 

Adapun Muqais bin Sababah telah dibunuh oleh Namilah bin Abdullah, Muqais sebelum ini telah pun ‘ memeluk Islam, tiba-tiba berlaku peristiwa di mana Muqais telah menyerang seorang lelaki Ansar menyebabkan beliau membunuh lelaki Ansar, kemudian beliau murtad dan lari menyertai kaum musyrikin di Makkah.

Al-Harith merupakan orang yang paling, menyakiti Rasulullah semasa di Makkah. Beliau telah dibunuh oleh Ali bin Abi Talib.


Habbar bin al-Aswad adalah orang yang menganggu Zainab binti Rasulullah di hari beliau hendak berhijrah menyebabkan beliau terjatuh ke atas ketulan batu hingga berlaku keguguran, namun di hari pembukaan beliau telah lari dari Makkah, kemudian beliau memeluk Islam dan menjadi orang baik.

Kata ibnu Hajar: Abu Ma’syar telah menyebut tentang mereka yang telah diisytiharkan halal darah, mereka ialah al-Harith bin Talatil al-Khuzai’e beliau telah dibunuh oleh Ali. 

Al-Hakim menyebut bahawa di antara mereka yang dihalalkan darahnya ialah Kaab Zuhair, cerita mengenai beliau adalah cerita yang terkenal, akhirnya beliau memeluk Islam dan bermadah memuji Rasulullah.

Adapun perihal Wahsyi bin Harb dan Hind binti Utbah berakhir dengan memeluk Islam, manakala Arnab hamba perempuan Ibnu Khatal telah terbunuh, juga Ummu Saad sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishak, dengan itu maka genaplah bilangan mereka yang dibunuh semasa pembukaan Makkah itu lapan orang lelaki dan enam perempuan. 

Malah seorang dari dua orang penyanyi telah dibunuh, yang kedua telah diberi jaminan keselamatan, justeru itu beliau memeluk Islam, sebagaimana berlaku kepada Sarah yang juga turut memeluk Islam.

Berkemungkinan Arnab dan Ummu Saad itu adalah dua orang penyanyi, berlaku ikhtilaf pendapat mengenai kedua-dua nama mereka atau nama keduanya itu sebenarnya nama timangan atau gelaran.manaratulhuda

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...