Friday, November 18, 2011

Hormati Ijtihad Politik Parti An-Nahdhah Tunisia

 http://haberpan.net/haber/11/01/29/40a5/rasid-gannusi-tunusa-donuyor.jpg
Syaikh Rashid Ghannoushi
Bagi ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model ‘politik Islam’ Parti Islam SeMalaysia (PAS), ‘penampilan’ parti berteraskan Islam di Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu begitu ‘mengejutkan’ dan sangat ‘janggal’.
Pada 22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas kejatuhan Ben Ali yang digulingkan pada 14 Januari 2011, pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid Ghannoushi telah memberikan satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang memerintah negara itu.
Apa yang menjadi objektif partinya, jelas beliau, ialah membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk sekalipun. (Rujukan : onislam.net)
Jika sikap ‘dingin’ Ennahda terhadap perlaksanaan Syariat Islam ini diteropong melalui jendela ‘politik Islam’ versi PAS, adalah sesuatu yang sangat janggal, bahkan tidak boleh diterima langsung, sebuah parti Islam mengumumkan, ia tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam dalam sebuah negara yang dikuasainya!
Dalam persekitaran ‘politik Islam’ versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam tidak menyebut sebarang sikap atau pendirian berhubung perlaksanaan Syariat Islam, masih boleh diterima, walaupun dengan ‘berat hati’.
Namun, tindakan mana-mana parti Islam mengisytiharkan bahawa ia tidak akan berusaha melaksanakan Syariat Islam dalam negara yang diterajuinya, adalah sangat ‘mengejutkan’, begitu ‘janggal’ dan tidak boleh diterima sama sekali.
Lebih ‘parah’ lagi, Ennahda bukannya mengumumkan ia tidak akan melaksanakan hudud-yang merupakan satu juzuk yang kecil dalam Syariat Islam-sebaliknya mengumumkan tidak akan berusaha melaksanakan Syariat Islam itu sendiri!
Andainya pengumuman serupa-disebabkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang wajar-dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan keluar meninggalkan parti, atau paling kurang, parti akan dituduh sebagai mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari keredhaanNya, semata-mata kerana kuasa politik dan keredhaan para pengundi (terutamanya pengundi bukan Islam)!
Jika pengumuman seperti itu dibuat oleh parti lain yang bukan dari aliran Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel sebagai menolak hukum Allah, serta lebih mengutamakan sokongan dan kehendak para pengundi, berbanding keredhaan Allah.
Negara Sekular
Bergerak sejajar dengan pengumuman ‘mengejutkan’ dan ‘janggal’ itu, persoalan perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihanraya Tunisia yang berlangsung pada 23 Oktober 2011 yang lalu.
Ennahda yang diasaskan pada tahun 1981 itu terus membuat 'kejutan', apabila tidak hanya berpada setakat pengumuman bahawa ia tidak berusaha melaksanakan Syariat Islam di Tunisia.
Lebih daripada itu, kepimpinan parti Islam itu mengumumkan akan berusaha membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati hak-hak manusia! (Rujukan :onislam.net )

Dalam konteks ‘iklim politik Malaysia’ yang dipengaruhi oleh pemikiran ‘politik Islam’ versi PAS, sikap Ennahda yang berterus terang tidak mahu berusaha melaksanakan Syariat Islam, dan mahu menubuhkan sebuah masyarakat sekular, sangat ‘melampau’ dan pasti akan mencetuskan perdebatan hukum yang serius.
Tindakan sebegitu sangat sensitif bagi umat Islam di sini, sehinggakan UMNO sendiri, yang disifatkan PAS sebagai bukan parti Islam, tidak berani dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

UMNO sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan Syariat Islam, dan negara Malaysia yang diterajuinya merupakan sebuah Negara Islam.
Rentetan daripada pendirian politik yang telah diambil itu, Ghannoushi mengambil sikap yang sangat liberal atau sangat ‘longgar’ terhadap aktiviti penjualan dan penggunaan arak di Tunisia.

Beliau telah mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, dan tidak akan ‘mengganggu’ budaya memakai bikini di pantai-pantai negara itu. (Rujukan : 
aljazeera.net )
Sikap yang sama ditunjukkan dalam layanan parti Islam itu terhadap wanita, apabila membenarkan wanita Islam yang tidak bertudung, menjadi salah seorang calonnya, disamping menjamin akan mempertahankan hak wanita Tunisia memakai apa jua pakaian yang mereka kehendaki. (Rujukan : aljazeera.net)
Antara Ennahda & PAS
Pendirian politik dan sikap liberal Ennahda berhubung persoalan-persoalan yang dinyatakan, membentuk satu kesimpulan, iaitu parti Islam itu berusaha menyembunyikan ‘ciri-ciri keislaman’ dalam tindak tanduk dan pendiriannya, demi maslahah yang lebih besar (menerajui negara), dan cuba menampilkan dirinya dalam bentuk sebuah parti yang dinamik, sederhana dan toleran.
Ini berbeza dengan PAS yang dilihat-berdasarkan tindak tanduknya-berusaha ke arah sebaliknya, iaitu berusaha menampilkan ciri-ciri keislaman dan ‘jenama Islam’ dalam setiap tindak tanduk dan sikap yang diambil.
Namun, perkembangan semasa memperlihatkan, PAS semakin mendekati pendekatan dan penampilan Ennahda itu, apabila turut bertindak ‘menutup’ ciri-ciri keislamannya yang begitu zahir dan ketara, iaitu cita-cita penubuhan Negara Islam, yang kini ‘ditutup’ dengan ‘jubah’ Negara Berkebajikan.
Bezanya, Ennahda tidak mengambil masa untuk sampai kepada kedudukannya yang dilihat dinamik dan sederhana seperti sekarang, apabila parti itu tampil dengan watak sebegitu sejak awal-awal lagi, iaitu sejak kejatuhan regim Ben Ali lagi.
Tidak seperti PAS, parti yang satu-satunya menamakan dirinya sebagai Parti Islam itu, mengambil masa puluhan tahun untuk sampai kepada titik sekarang, iaitu titik pasca Pilihanraya Umum 2008, yang menyaksikan parti itu tampil dengan karakter yang agak sederhana dan dinamik.
Dalam ungkapan lain, PAS mengambil masa selama puluhan tahun untuk ‘menyolek’ dirinya, agar tampil dalam bentuk yang boleh disifatkan agak dinamik dan sederhana, seperti yang dapat dilihat selepas Pilihan Raya Umum 2008, khususnya selepas muktamar kali ke 57 yang menjadikan Negara Berkebajikan sebagai agenda baru parti itu, menggantikan Negara Islam.
Adalah dipercayai, banyak pihak, termasuk dari dalam PAS sendiri, terutama golongan professional yang mengimpikan agar PAS tampil seperti bentuknya sekarang-yang dilihat lebih dinamik dan realistik-sejak dahulu lagi, paling tidak, sejak parti itu berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990.
Tentunya ada pihak yang mengandaikan, jika parti itu berbuat demikian, mungkin kedudukannya di pentas politik tanah air masa kini, lebih baik dari sekarang, atau sudah pun menguasai Putrajaya!
Ijtihad Politik
Mengambil kira kedudukan pemimpin utama Ennahda, Ghannoushi selaku seorang pemikir Islam, dan telah banyak menghasilkan karya-karya bermutu, dalam masa yang sama memegang jawatan Pembantu Setiausaha Agong Kesatuan Ulama Islam Sedunia, yang dipengerusikan oleh Syaikh Yusuf Qaradhawi, pendirian politik Ennahda seperti yang dinyatakan, perlu dinilai sebagai satu ijtihad politik yang perlu dialu-alukan.
Sebagai satu analisis ringkas, Ennahda melihat dirinya berhadapan dengan dua kewajipan, iaitu kewajipan membentuk sebuah negara yang adil; dan kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam berhubung arak, perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika-etika Islam.
Pada pertimbangan Ennahda, kedua-dua kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan serentak, memandangkan perlaksanaan hukum hakam Islam berkaitan arak, hudud dan etika-etika Islam, dijangka akan mencetuskan tentangan rakyat, seterusnya mungkin mengakibatkan parti Islam itu gagal menerajui negara, sekaligus bermakna gagal membentuk sebuah negara yang adil.
Sehubungan itu, Ennahda memilih untuk memberi keutamaan kepada kewajipan membentuk negara yang adil, biarpun dengan menangguhkan buat sementara kewajipan perlaksanaan hukum hakam Islam berkaitan perkara-perkara yang dinyatakan.
Pendirian ini diambil kerana parti itu melihat ‘menerajui negara’ maslahahnya lebih besar, kerana ia akan memberi peluang kepada parti itu melaksanakan agenda yang lebih menyeluruh kesannya, iaitu keadilan sosial, kebebasan undang-undang, perlaksanaan syura, ketelusan pentadbiran dan demokrasi, yang pada hakikatnya adalah tuntutan-tuntutan Islam yang besar dan utama.
Selain berpedomankan Feqh Awlawiyyat atau Feqh Keutamaan dalam membuat pendirian politik, Ennahda juga berpandukan kepada konsep ‘tadarruj (beransur-ansur) dalam perlaksanaan Islam’.
Realitinya, konsep ini kekal absah hingga kini, dan bukannya-seperti yang didakwa ramai orang-telah ‘tamat tempoh’, sebaik sahaja hukum hakam Islam telah lengkap dan sempurna, sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Dalam ruangan yang terbatas ini, tindakan dan kenyataan Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah memadai untuk mengesahkan keabsahan konsep ini sehingga ke hari ini.
Khalifah Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah-pemerintah sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).
Penangguhan ini walau bagaimana pun, dibantah oleh anak beliau, Abdul Malik kerana didorong oleh semangat Islamnya yang tinggi dan kecintaan beliau terhadap Islam.
Beliau berkata kepada Khalifah Umar, “mengapa ayahanda tidak melaksanakan perkara-perkara ini (iaitu menghapuskan saki baki penyelewengan dan kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli sekalipun anakanda dan ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”.
Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama), membantah kenyataan anaknya itu dengan berkata, “jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu yang berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).
Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah”. (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, jilid 2, hlm 93-94).
Feqh Awlawiyyat
Disebabkan realiti di Tunisia mungkin berbeza dengan suasana di negara ini, tulisan ini tidak bermaksud memberi saranan kepada mana-mana pihak di sini, agar mengambil sikap dan pendirian politik yang sama dengan Ennahda.
Apa yang menjadi objektif tulisan ini ialah melambung persoalan Feqh Awlawiyyat, agar ia menjadi pertimbangan dan perkiraan semua pihak, terutama gerakan Islam, dalam setiap tindak tanduk dan perdirian yang diambil.
Ya, mungkin suasana di Tunisia memerlukan Ennahda mengambil pendirian dan sikap yang begitu liberal terhadap soal perlaksanaan Syariat Islam, disebabkan latar belakang kehidupan rakyatnya yang dicengkam ‘sekularisme melampau’ sejak berdekad-dekad lamanya.
Namun, kita perlu berfikir panjang dan berhati-hati sebelum mengutarakan bahawa pendekatan, sikap dan pendirian politik yang serupa, tidak sesuai di Malaysia disebabkan perkembangan Islam yang pesat di sini, dan kefahaman rakyatnya yang tinggi terhadap Islam.
Ini kerana, di sini terdapat satu fenomena-yang memerlukan pertimbangan khusus-yang lebih ‘parah’ daripada ‘sekularisme melampau’ di Tunisia, iaitu kewujudan bukan Islam yang ramai dan menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti dalam pilihanraya.
Jika realiti semasa Tunisia yang dilatari ‘sekularisme melampau’ dalam tempoh yang lama, memerlukan Ennahda mengambil sikap dan pendirian politik yang liberal, bagaimana pula dengan realiti yang berteraskan kemajmukan agama dan kepercayaan seperti di Malaysia?
Pada titik ini, mana-mana pihak yang menyakini politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, dan perjuangan menegakkan negara adalah tuntutan Islam, tidak perlulah tampil menyifatkan tindakan Ennahda ‘meminggirkan’ buat sementara perlaksanaan hudud dan penguatkuasaaan etika-etika Islam, demi menakluki mercu kuasa, sebagai tindakan mengorbankan prinsip perjuangan atau tuntutan agama demi kuasa politik.
Mereka tidak boleh berkata demikian, kerana mereka juga yang melaung-laungkan bahawa perjuangan menegakkan negara dan memerintah negara, adalah satu kewajipan dan tututan Islam.
Jika demikian, tindakan Ennahda itu termasuk dalam kategori mendahulukan kewajipan agama (menegakkan negara) yang dinilai lebih utama, dengan menangguhkan satu lagi kewajipan agama (perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika-etika Islam) yang dinilai sebaliknya. Atau termasuk dalam cakupan konsep ‘tadarruj dalam perlaksanaan Islam’.
Ia adalah berkaitan Feqh Awlawiyyat.
Ia bukannya menggadai prinsip perjuangan demi kuasa!
Warisan-semasa

1 comment:

Aicha Roe said...

Talking about feqh awlawiyyat.
Memang benar kita seharusnya meneggakan negara dulu sebelum meletakkan sharia law , hukum hudud dan sebagainya.
Tetapi sejauh mana Tahaluf Siyasi Pas akanmentahqiqkan Islam sebagai marjaiyyah petama negara jika mendapat kerusi itu adalah persoalannya.

Moga kita semua diberi pentujukNya

WA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...