Thursday, June 23, 2011

Kisah anak derhaka kakinya dirantai bumi, muka berwajah babi

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiWHUa23MSktzDWC8v2gXR9YSAULsVmf-MSy4I2iU__KtJ_7i2G_ozEp08mvzYl24kxmUDchn4R5k7qk4xBRk1GMaeOwa75uBtQflMHukZl7flTtOZRsL-nXFRIAgJL3yTONAMkYgrEndY/s1600/crying-mother2.jpg

Kisah ini diambil dari blog grenbara.bravejournal. Bacalah dan ambillah peringatan daripada kisah ini.

Penulis telah menemu ramah seorang wanita tua yang ingin berkongsi pengalaman beliau tentang sebuah kisah menyayat hati yang disaksikan suatu ketika dahulu.

Tiada apa yang boleh memadamkan ingatan saya tentang cerita ini. Aneh dan menginsafkan jika direnung kembali tentang seksaan Allah terhadap seorang anak yang derhaka kepada ibunya sendiri," cerita Nek Mariam.

Begini ceritanya: Jamilah 20an, (bukan nama sebenar) adalah seorang isteri yang malang. Beliau telah ditinggalkan suami sebaik sahaja melahirkan anak sulung mereka. Jamilah terpaksa akur dengan nasib yang menimpanya itu.

Mujurlah beliau masih mempunyai ibu bapa yang mengambil berat akan dirinya. Itulah yang dikata kasih sejati seorang ibu. Tiada tolok bandingannya walhal semenjak kita dalam kandungan lagi kasih sayang sudah dicurahkan sepenuh jiwa dan raga.

Setelah Jamilah bergelar janda, Jamilah kembali ke rumah ibunya. Walaupun Jamilah tidak mendapat kasih sayang seorang suami namun beliau bertuah kerana masih mendapat kasih sayang dari ibu sejati.
Jamilah dan anak kecilnya dijaga dan diberikan kasih sayang dengan sempurna. Soal makan dan minum Jamilah dan anaknya tidak menjadi masalah kerana Jamilah masih mempunyai bapa yang masih kuat mengerjakan ladang dan sawah.

Bapa Jamilah keluar bekerja awal pagi dan pulang lewat petang. Manakala ibunya tidak banyak aktiviti di rumah hanya memberi makan haiwan ternakan sahaja. Adik-beradiknya semua sudah berkahwin dan membawa haluan masing-masing.

Jamilah merupakan anak bongsu dalam keluarga, mengenangkan nasib malang Jamilah, sudah tentu perasaan sayu dan kasihan dari ibunya membuak-buak bila melihat anak dan cucu kecilnya tidak terbela.

Usia Jamilah masih remaja walaupun bergelar janda. Zaman remajanya masih lagi belum puas dikecapi tambahan pula fikirannya masih belum matang dalam erti hidup. Jamilah terasa dirinya begitu bebas dan terlepas dari belenggu ketika hidup bersuami dahulu.

Jamilah tidak merasa sebarang kekurangan pada dirinya malah bertambah yakin kerana beliau masih muda dan masih kelihatan cantik. Segala urusan anak kecilnya diserahkan kepada ibu dengan alasan tidak biasa dengan karenah anak kecil.

Sebenarnya Jamilah malas untuk menguruskan anak kecil yang merimaskan. Pada mulanya, ibu Jamilah tidak perasan, maklum sahaja cucu sendiri, tentu tidak terasa bebannya.

Hari berganti hari hidup Jamilah bertambah selesa. Beliau hidup di bawah jagaan yang sempurna. Semua soal makan minum, mengasuh anak kecil dan kerja rumah tangga semuanya diambil alih oleh ibu dan bapanya. Jamilah hanya menolong ala kadar sahaja agar tabiat malasnya tidak nampak ketara.

Perangai Jamilah semakin menjadi-jadi. Melaram dengan pakaian-pakaian fesyen terkini serta bersolek agar sentiasa cantik. Suatu hari, Jamilah telah menyampaikan hasratnya ingin ke pekan untuk mendandan rambut dengan fesyen terkini.

Namun ibunya melarang kerana menurut orang ramai, kandungan bahan mendandan rambut ketika itu diperbuat dari bahan haram yakni lemak babi.

"Ala, bukan nak makan babi tu, hanya sapu atas kepala agar rambut lebih hitam dan berkilat...." Jamilah memberi alasan agar permintaannya ditunaikan.

Namun begitu ibunya tetap melarang. Maka berlakulah satu pertengkaran antara Jamilah dan ibunya sehingga beliau tergamak mengeluarkan perkataan kesat sambil menyumpah-nyumpah ibunya.

"Binatang babi! Binatang anjing!" kata Jamilah semakin berani setelah melihat ibunya mendiamkan diri sambil menitiskan airmata.

Jamilah masih berdegil, nafsunya untuk kelihatan cantik dan bergaya semakin meluap-luap hingga tidak kira lagi soal halal dan haram. Matlamatnya supaya ramai lelaki melihat dirinya cantik macam primadona. Sekaligus saham dirinya akan naik mengatasi anak-anak dara sunti di kampung itu.

Petang itu, bila Jamilah baru pulang dari pekan mendandan rambut, tiba-tiba beliau terdengar suara anak kecilnya menangis kuat teresak-esak. Hati Jamilah naik radang kerana beliau sangka ibunya sengaja membiarkan anaknya begitu kerana ingin membalas dendam.

Dengan bengis, Jamilah terus naik ke rumah dan jadi seperti orang yang dirasuk syaitan, terus meluru ke bilik anaknya yang menangis itu. Anaknya diambil dan diletakkan di satu sudut di dapur dan terus menuju ke bilik ibunya untuk bertindak sesuatu.

Mulutnya tidak henti-henti mengomel sambil menyumpah-nyumpah. Sebaik sahaja beliau masuk, kelihatan ibunya sedang mengerjakan solat. Kerana terlalu marah, dikala ibunya sedang sujud, beliau bertindak menendang ibunya sambil berkata

"Oi babi, anjing, beruk! Tak boleh harap....menyusahkan orang, celaka!"

Ibunya yang jatuh tersungkur di hadapan sejadah bangun mengaduh dan terpinga-pinga. Beliau tidak tahu apa sebabnya Jamila tiba-tiba naik angin.

Setelah beberapa lama berlinanganlah airmata ibunya apabila menyedari perkara sebenar. Sebenarnya bukan niat ibunya membiarkan cucunya itu menangis keseorangan, ketika itu beliau sedang bersembahyang, maka terpaksalah membiarkan budak itu sebentar.

Sudah seberapa daya beliau menyegerakan solatnya setelah sedar cucunya menangis kuat, namun belum sempat selesai solat, Jamilah terlebih dahulu datang menyepak punggungnya.

Hati ibu mana yang tak hancur remuk mengenangkan anaknya yang sampai hati dan tergamak melakukan sebegitu terhadapnya berbanding kasih sayang yang telah dicurahkan secukupnya demi anak tercinta.

Ibu mana yang tidak sayangkan anak....dalam keadaannya yang sakit seluruh sendi akibat tersungkur atas tikar sembahyang tadi, beliau telah berdoa pada Allah agar dapat diampun dosa anaknya itu.

Dengan takdir Allah, tiba-tiba Jamilah berteriak dari arah dapur. Macam sesuatu yang telah berlaku pada Jamilah mahupun cucunya. Dengan lemah longlai, tergesa-gesa beliau pergi mendapatkan Jamilah.

Jeritannya sungguh kuat hingga jiran berdekatan dapat mendengarnya. Tambah terkejut apabila kami semua menyaksikan seutas rantai besi tiba-tiba sahaja keluar memecah lantai dapur dan melilit dan merantai kaki Jamilah dengan kuat. Jamilah menjerit kesakitan dan anak yang dikendong terlepas dalam dakapannya.

Ibu Jamilah separuh pengsan melihat keadaan Jamilah sebegitu. Jelas Nek Mariam yang merupakan salah seorang yang menyaksikan keajaiban Allah Yang Maha Esa itu.

Maka berduyun-duyunlah orang kampung datang untuk membantu melepaskan cengkaman rantai besi yang melilit kemas di kedua-dua kaki Jamilah.

Bertungkus-lumus orang cuba memotong besi itu namun tidak berjaya. Jamilah meraung sekuat-kuat hati kerana terlalu sakit. Akibatnya darah tidak berhenti mengalir membasahi lantai dapur.

Setelah beberapa jam berlalu, rantai besi yang mempunyai kekuatan luar biasa itu masih juga tidak boleh dileraikan dari kaki Jamilah. Akibat pendarahan yang banyak, Jamilah meninggal di situ juga dengan riak muka yang amat menakutkan.

Ibu Jamilah terpaku tidak mampu melakukan apa-apa. Beliau sedar itulah balasan Allah terhadap anaknya, cuma beliau tidak menyangkakan secepat itu.

"Anehnya, sebaik sahaja Jamilah meninggal, rantai itu terurai dengan sendiri lalu masuk kembali ke dalam tanah. Kami semua begitu terpegun dan berasa insaf dengan apa terjadi. Itulah balasan Allah terhadap seorang anak yang derhaka," sambung Nek Mariam sambil menitiskan airmata.

Jenazah Jamilah diuruskan seperti biasa dan dikebumikan. Upacara membaca ayat suci Al Quran di atas kubur selama 7 hari memang sering dilakukan oleh masyarakat di Pantai Timur dan menjadi satu upacara kebiasaan kepada sesiapa yang baru dikebumikan. Semasa orang-orang kampung bergilir-gilir membaca Al Quran, maka satu lagi petunjuk dari Allah terjadi.

Pada waktu hampir subuh, mereka terdengar satu suara yang meraung-raung dari arah liang lahat. "Mak ooiii.....!! Ayah ooiii!! Tolonglah...! Allah Tuhanku....minta tolong...! Mak ....ayah...tolonglah!" suara mendayu-dayu itu sungguh menyeramkan dan tidak henti-henti," cerita Nek Mariam lagi.

Salah seorang dari mereka bertindak memberitahu pada ibu Jamilah akan suara itu yang mereka syak datang dari arah liang lahat. Dengan bantuan jiran-jiran berdekatan, mereka segera ke kubur Jamilah untuk menggali kubur itu kerana mereka sangkakan Jamilah masih hidup.

Setelah digali, alangkah terkejutnya bila melihat jasad Jamilah yang kaku dan berbalut itu telah bertukar rupa. Kepalanya menjadi kepala seekor babi! MasyaAllah.... Ramai orang menyaksikannya....satu lagi keajaiban yang sengaja Allah ingin memperlihatkan pada hamba-hambanya.

Bertambah sedih dan sayu hati ibu Jamilah melihat keadaan anaknya begitu....Malam itu beliau bermimpi, Jamilah datang kepadanya dengan keadaan yang amat buruk dan daif sambil berkata:

"Tak payahlah ibu mengadakan kenduri arwah untuk saya, kerana saya telah terkeluar daripada Islam...." menyedari hakikat itu ibunya begitu terkejut dan tak henti-henti menangis sambil berdoa kepada Allah agar mengampuni dosa anaknya itu.

"Maka tiadalah kenduri arwah dibuat untuk Jamilah. Itulah cerita tentang balasan Tuhan terhadap hambanya yang berdosa. Dosa pada Tuhan mungkin dapat diampunkan jika kita bertaubat nasuha, tetapi dosa pada manusia, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu-bapa, harus kita sendiri memohon ampun dan maaf....Jika tidak tanggunglah dosa itu dan akan dikira dan dibalas setimpal di akhirat kelak..." Nek Mariam mengakhiri ceritanya yang penuh keinsafan sesuai untuk kita semua....wallahualam.grenbara.bravejournal

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...