Tuesday, February 10, 2009

Tulahan : Bukit Gantang bukan Kuala Terengganu, bukan Parit Buntar

Salam,


Sedih apabila mendengar berita Hj. Roslan Shahrum Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia. Kali terakhir penulis bertemu Hj. Roslan ialah semasa majlis dialog rakyat di kampung penulis. Dialog rakyat ini adalah ikhtiar Hj. Roslan menyelami masalah penduduk di Bukit Gantang.

Hj. Roslan adalah seorang pemimpin yang lemah lembut dan mudah mesra. Allahyarham pernah bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang semasa pilihanraya umum tahun 1999. Walaupun tewas, Allahyarham tetap turun ke Bukit Gantang memberikan khidmat perubatan Syifa' kepada penduduk.

Allahyarham sekali lagi bertanding kerusi ini semasa pilihanraya umum ke 12 dan kali ini menang dengan majoriti 1566 kalahkan Azim Zabidi Bendahari umno Malaysia.

Allahyarham menubuhkan One Stop Centre yang melibatkan Ahli Parlimen,  Adun-Adun dalam Parlimen Bukit Gantang bersama Ketua-Ketua Kampung bagi menyelesaikan masalah penduduk. Penulis ada mengambil idea ini dan mencadangkannya dilaksanakan di Parit Buntar.

Bukit Gantang akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia berikutan pilihanraya kecil tidak lama lagi. Kawasan ini pernah ada pilihanraya kecil iaitu DUN Changkat Jering bila Dato' Razlan meninggal dunia. Cikgu Mat Isa calon umno/BN telah tewaskan Ust. Idris Ahmad calon PAS dalam pilihanraya kecil itu.

Ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat akan mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya kecil ini. Momentumnya sama macam PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu.


Tapi penulis, tidak menjangkakan sebegitu. Bukit Gantang adalah kubu umno yang tidak pernah dimenangi PAS sehingga PRU ke 12. Tidak sama dengan Permatang Pauh yang merupakan kubu PKR. 

Dalam PRU Ke 12, Kuala Terenganu PAS telah menang lebih 2000 undi jika digabung undi PR bagi Dun-Dun dalam Kuala Terengganu. Cuma untuk undi Parlimen Abang Mat Sabu tewas disebabkan faktor calon luar. Maksudnya, Kuala Terengganu boleh dikatakan kubu PAS.

Bukit Gantang juga tak sama dengan Parit Buntar. Dr. Mujahid menang di Parit Buntar majoriti 7551 berbanding 1566 di Bukit Gantang. Walaupun, peratus pengundi mengikut kaum tidak
banyak bezanya. 

Pengundi Melayu di Parit Buntar ialah 66.76% berbanding Bukit Gantang 63.48%. Pengundi Cina di Parit Buntar 28.06% berbanding Bukit Gantang 26.77%. Pengundi India di Parit Buntar ialah 5.14% berbanding Bukit Gantang 9.71%.

Mengapakah majoriti di Parit Buntar tinggi?. Pertama, Parit Buntar adalah kubu PAS. Hampir 80% kampung-kampung di Parit Buntar adalah kampung orang PAS. Kekalahan PAS di Parit Buntar sebelum PRU ke 12, disebabkan pengundi bukan Melayu menyokong BN.

Berbeza di Bukit Gantang, Kampung orang PAS dianggarkan tidak mencapai 60%. Pengundi PAS banyak di gugusan Bukit Gantang seperti Changkat Ibul, Sg. Petai, Kg. Senduk, Kg. Cheh dan beberapa kampung berdekatan gugusan itu. Selain itu, Kuala Trong di DUN Trong dan Matang Gelugur dalam DUN Sepetang. Malah, kawasan Markas Tarbiah PAS Perak di Air Kuning juga bukan kubu PAS. 

Kedua, pengundi bukan Melayu di Parit Buntar memberi undi yang lebih tinggi kepada PAS berbanding di Bukit Gantang. Pengundi Cina di Bukit Gantang terdapat di Kuala Sepetang (Port Weld), Simpang, Pasir Hitam dan Kuala Sangga di Trong. Sepatutnya undi bukan Melayu kepada PAS di Bukit Gantang lebih tinggi berbanding Parit Buntar kerana peratus pengundi bukan Melayu di Bukit Gantang lebih tinggi dari Parit Buntar terutama pengundi India.

Semasa PRK Kuala Terengganu, Jentera Pilihanraya (JPN) PAS Terengganu telah berjaya mengerakkan kempen dengan berkesan sekali. Pengalaman JPN Terengganu dalam menghadapi pilihanraya tidak boleh disangkal. 

Pengalaman Cikgu Pa, Wan Mutalib Embong, Arifin Deraman dan ramai lagi berjaya digarap untuk menghasilkan gerakan kempen tersusun dan berjaya. Adakah JPN Perak mempunyai kebolehan seperti JPN Terengganu?.

Penulis yakin pimpinan PAS Perak dapat mengerakkan jentera PAS semua peringkat. Kejayaan menganjurkan Muktamar PAS Pusat membuktikan kemampuan pimpinan PAS Perak.

Penulis berpandangan PAS boleh mencapai kemenangan di Bukit Gantang dengan mengekalkan undi Melayu serta menambah sebanyak mungkin undi bukan Melayu. Kenapa begitu?, kerana kawasan ini merupakan kubu umno dan isu rampasan kuasa di Perak menimbulkan kemarahan bukan Melayu kepada BN.

Faktor calon penting dalam PRK berbanding PRU. Penulis sependapat dengan Tok Guru Nik Aziz, Hj. Nizar perlu tumpukan sebagai MB Perak. Jadi, siapa calon yang paling layak?

Calon tempatan yang penulis rasa akan dicalonkan ialah anak Tok Guru Haji Ahmad Sg. Petai iaitu Ust. Idris Ahmad AJK PAS Pusat dan Prof. Madya Ust. Salleh Ahmad bekas Pensyarah. 

Calon negeri Ust. Ahmad Awang Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Asmuni Awi Timb. Pesuruhjaya dan Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik Bendahari PAS Perak.

Calon nasional tidak lain tidak bukan Abang Mat Sabu. Penulis lebih berharap Abang Mat Sabu dipilih kerana aura Abang Mat lebih kuat, tak perlu diperkenalkan lagi. Abang Mat juga senang diterima pengundi bukan Melayu. Bukit Gantang juga bukan Kuala Terengganu, tiada faktor calor luar.

Jika Abang Mat tak dipilih, calon yang lebih layak ialah Dr. Khairuddin kerana beliau seorang profesional yang mudah diterima pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ust. Idris dan Ust. Salleh layak kerana anak tempatan tapi bukan untuk pilihanraya kecil ini. Faktor kecenderungan pengundi kepada calon perlu diambil kira.

Penulis tidak pun berharap cadangan dan pandangan ini diterima. Cuma pandangan ikhlas kerana bimbang kita terlalu yakin PR akan menang di Bukit Gantang, sedangkan Bukit Gantang tidak sama dengan Kuala Terengganu dan tak serupa seperti Parit Buntar.

Penting sekali kita berusaha bersungguh-sungguh berkempen kepada setiap rumah dan setiap pengundi di Bukit Gantang.

Wasalam. 






1 comment:

khairul anuar said...

Al fatihah untuk arwah.

takziah utk keluarga arwah.

hilang lg seorang pemimpin berjiwa rakyat..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...