Saturday, May 23, 2020

Tulahan : Ke sana ke sini , apa pilihan Muhyiddin?


Assalam,
Tarikh 18 Mei telah berlalu, sidang Dewan Rakyat hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong. Notis baru sidang akan dikeluarkan, mungkin berlaku bulan Julai ini. Mungkin juga akan berlaku bulan Oktober bersekali dengan pembentangan belanjawan
Sidang disingkatkan menggunakan alasan Covid 19, sedangkan di pihak pembangkang mendakwa TS Muhyiddin takut berhadapan dengan usul undi tidak percaya. Namun ,dilihat dari kedudukan kerusi anggota parlimen kerajaan melebihi  anggota parlimen pembangkang. Benarkah TS Muhyiddin tidak berani?
Sebelum Langkah Sheraton
Melihat ke belakang , berlakunya kejatuhan kerajaan PH bukanlah secara kebetulan tapi melalui perancangan sejak awal kerajaan PH ditubuhkan. Wataknya adalah Tun, TS Muhyiddin dan Azmin. Ada yang menafikan penglibatan Tun dan menyatakan bahawa Tun dikhianati.
Benar Tun dikhianati tapi sebelum dikhianati , apakah yang dilakukan oleh Tun dengan kuasa Perdana Menteri yang beliau perolehi. Rakyat boleh menyaksikan sendiri perlantikan Menteri-Menteri yang sebenarnya tidak sepatutnya berada di posisi itu.

Apa tujuan Tun melantik Lim Guan Eng dari Dap sebagai Menteri Kewangan?. Ya , rakyat tahu Lim Guan Eng telah membawa Pulau Pinang ke mercu pembangunan tanpa rasuah yang dibanggakan. Namun, lihatlah sendiri kesan perlantikan ini. Perlantikan ini telah membuka ruang serangan perkauman yang berjaya dimanfaatkan semaksima mungkin oleh Umno dan Pas.
Walaupun kejayaan Lim Guan Eng diiktiraf oleh Bank Negara. Walaupun Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan telah menyelamatkan Tabung Haji dan Felda dari bahana kerugian besar akibat tadbir urus rasuah pemimpin Umno. Semua itu, tidak dipandang hanya kerana Lim Guan Eng itu cina Dap.
Perlu diketahui , PH menang pilihanraya hanya dengan sokongan undi Melayu sekitar 26 peratus sahaja. Selebihnya , lebih 70 peratus undi Melayu berada pada Umno dan Pas. Jadi , sangat mudah serangan perkauman ini disebarkan secara meluas dikalangan orang Melayu yang majoritinya bukan pengundi PH.
Apa tujuan Tun melantik Gobind sebagai Menteri Komunikasi? Bukankah kementerian cukup penting menyebarkan dasar-dasar kerajaan melalui media kerajaan. Adakah Menteri bukan Melayu akan faham bagaimana hendak berhadapan dengan sentimen Melayu. Hasilnya, lihatlah jentera penerangan kerajaan gagal menjawab fitnah dan tohmahan palsu yang berleluasa dikalangan orang Melayu.
Apa tumpuan Gobind ? 5G. Hari-hari 5G. Lihatlah SKMM , berapa banyak aduan yang diterima dan berapa banyak yang diambil tindakan.
Kenapa Tun melantik Azmin sebagai Menteri Ekonomi, walaupun Azmin sudah menjadi Menteri Besar Selangor?. Kenapa Tun membiarkan Azmin secara terbuka menemui ahli-ahli Parlimen Umno untuk mendapatkan sokongan politik bagi memperkukuhkan kedudukan Tun menghadapi DSAI?. Kenapa juga tiada tindakan tegas dari Tun terhadap skandal semburit yang melanda Azmin?
Bagaimana pula TS Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri? .Terhadap fitnah yang berleluasa semasa PH memerintah, terhadap skandal semburit Azmin. Apa pula helah Tun melantik Latefa Koya penyokong kuat Azmin sebagai Ketua SPRM? Semua ini dapat disaksikan semasa Tun menjadi PM, adakah boleh dinafikan Tun tak terlibat?

Apabila Tun menerima kemasukan ahli parlimen Umno untuk memperkuatkan Bersatu, sudah nampak gerakan untuk memperkukuhkan kedudukan Tun sebagai PM. Kemudian sokongan dari kumpulan Azmin bersama kumpulan Hishamuddin dalam Umno. Sudah jelas gerakan memperkukuhkan Tun dan mengenepikan DSAI dan PH.

Kenapa Tun dikhianati? Kerana Tun masih belum cukup bilangan 112 kerusi walaupun dicampur dengan Pas, Warisan, GPS, Umno dari kumpulan Hishamuddin dan kumpulan Azmin. Tun tegas tidak mahu menerima ahli parlimen rasuah dari Umno . Tun mahu menunggu sedikit masa lagi untuk menarik beberapa orang lagi ahli parlimen dari Umno menyertai Bersatu.

Namun, TS Muhyidin dan Azmin sudah tidak sabar untuk berkuasa kerana bilangan 112 sudah mencukupi jika disokong oleh semua ahli parlimen Umno . Maka terjadilah ‘Langkah Sheraton’ yang mengenepikan Tun dan menjatuhkan kerajaan PH.

Pilihan TS Muhiyiddin

Selepas beberapa hari jatuhnya kerajaan PH, berlakunya serangan covid 19 kemudian perintah PKP dan sekarang PKPB. TS Muhyiddin tidak boleh selamanya bergantung kepada alasan Covid 19 untuk berhadapan dengan usul undi tidak percaya kerana usul ini dibenarkan dalam sistem demokrasi berparlimen.

TS Muhyiddin sebenarnya mempunyai beberapa pilihan untuk mengekalkan jawatannya sebagai PM. Pilihan TS Muhyiddin sekarang adalah menawarkan jawatan GLC dan jawatan lain dalam kerajaan kepada ahli parlimen yang menyokong PN.

Harapan TS Muhyiddin , semua ahli parlimen yang diberikan jawatan-jawatan ini akan menyokong beliau apabila berlaku usul undi tak percaya. Proses ini masih berjalan dan masih ada beberapa ahli parlimen belum menerima apa-apa jawatan.

Pilihan TS Muhyiddin ini cukup berisiko kerana PH sudah mempunyai 92 kerusi , Bersatu Tun dan Warisan ada 15 kerusi.  Manakala Baru Bian sudah berkecuali bersama MP Sri Aman. Maksudnya, TS Muhyiddin hanya mempunyai kelebihan 1 kerusi sahaja.

Pilihan ini juga amat membebankan TS Muhyiddin kerana berdepan tuntutan berterusan dari Umno, Azmin dan GPS. Seawal TS Muhyiddin memegang jawatan PM, beliau berucap dihadapan rakyat Malaysia dan berjanjikan akan menekankan kerajaan bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

TS Muhyiddin pasti tertekan kerana terpaksa melupakan janjinya kepada rakyat Malaysia disebabkan memenuhi tuntutan tidak berkesudahan terutama dari Umno dan kumpulan Azmin.

Keputusan melepas tanpa membebaskan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz daripada tuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun dinafikan TS Muhyiddin terlibat , namun sudah menimbulkan kegusaran masyarakat terhadap sistem kehakiman dibawah kerajaan PN.

Pilihan TS Muhyiddin ini juga menyebabkan Bersatu kehilangan dua buah negeri iaitu Johor dan Kedah serta kekal di Perak dalam keadaan lemah. Umno pula sentiasa membuat pelbagai tuntutan kepada TS Muhyiddin untuk memperkuat Umno dalam masa yang sama melemahkan Bersatu.

Langkah Tun

Tun pula tidak akan berdiam diri kerana hanya memerlukan 2 atau 3 kerusi sahaja lagi untuk menumbangkan TS Muhyiddin . Percayalah Tun pasti akan melakukan sesuatu untuk menjatuhkan kerajaan PN. Manakala PH dilihat menyokong Tun selagi Tun berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan PH walaupun Tun sekali lagi dilantik sebagai PM.

Walaupun TS Muhyiddin mempunyai cukup bilangan anggota parlimen yang menyokongnya, beliau perlu menghadapi usul undi tidak percaya untuk mengesahkan kedudukannya. Keberanian TS Muhyiddin untuk berhadapan usul ini sangat lemah kerana beliau sendiri tidak yakin kepada anggota parlimen PN.

Beliau  tahu dikalangan anggota parlimen PN ini ada yang menyokong Tun dan DSAI secara individu. Beliau juga tahu anggota parlimen yang khianat akan sentiasa melakukan khianat jika memperoleh peluang yang lebih baik. Tidak boleh tidak, TS Muhyiddin perlu beralih kepada pilihan lain.

Pilihan Lain TS Muhyiddin

Pilihan yang pasti tidak boleh diterima TS Muhyiddin adalah kembali kepada Tun dan menyerahkan jawatan PM kepada Tun. Pilihan ini akan menyatukan kembali Bersatu menjadi parti Melayu terkuat dalam kerajaan PH. Namun, keberangkalian untuk pilihan ini amat kecil kerana TS Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan PM.

Pilihan lain bagi TS Muhiyiddin adalah kembali kepada DSAI dengan mengekalkan jawatan sebagai PM. TS Muhyiddin membawa 22 ahli Parlimen Bersatu bergabung dengan  PH yang mempunyai 92 kerusi. Tanpa sokongan kumpulan Azmin dan tanpa sokongan Bersatu Tun, kerajaan ini tetap boleh dibentuk .

Pilihan ini tidak akan menekan TS Muhiyiddin kerana beliau sudah mempunyai pengalaman berada dalam kerajaan PH . PH bukanlah parti yang sama seperti Umno dan kumpulan Azmin yang sentiasa menekan TS Muhyiddin. TS Muhyiddin juga tidak akan dibayangi oleh Tun kerana berada di luar kerajaan PH.

Malah kerajaan bersih, berintegriti dan bebas rasuah yang ditekan oleh TS Muhyiddin adalah sama dengan prinsip dalam kerajaan PH. Ketakutan kepada Dap juga boleh diselesaikan dengan mengurangkan jawatan kanan kabinet dari Dap .

Pilihan ini bukan sahaja selamat bagi TS Muhiyiddin malah akan mampu mengembalikan kerajaan Johor dan Perak kepada Bersatu. Lebih selamat lagi sekiranya, TS Muhyiddin membawa Pas yang mempunyai 18 kerusi bersama beliau.

Pas mungkin menerima kerana mampu menyelamatkan kerajaan Pas di Kedah dan mengekalkan jawatan exco di Perak dan kekal berperanan menjadi kerajaan sebelum PRU 15.

Mandat Rakyat

Pilihan bersama Tun dan pilihan bersama DSAI adalah pilihan mengambalikan mandat rakyat.  Perlu diingat bahawa rakyat Malaysia memberi mandat kepada PH untuk memerintah Malaysia. Pilihan TS Muhyiddin kembali kepada mandat rakyat itulah yang terbaik untuk masa ini.

Tindakan lompat parti, khianat mengkhianati harus dihentikan dalam politik Malaysia . Kuasa penentu pembentukan sesebuah kerajaan sepatutnya ditentukan oleh rakyat bukan wakil rakyat yang melompat parti.

Nasib Bersatu

Apa pun pilihan TS Muhyiddin , akan menentukan nasib parti Bersatu dalam politik Malaysia. Kekal dalam kerajaan PN akan menyebabkan Bersatu berpecah kepada dua. Apabila tiba PRU 15, Bersatu tidak akan bersama dengan Umno kerana Umno tidak mahu berkongsi kerusi. Pada masa itu akan berlaku tiga penjuru .

Kembali bersama Tun akan menyatukan Bersatu , terus bersama PH sehingga PRU 15. PRU 15 akan berlaku dua penjuru.

Kembali kepada DSAI akan menyebabkan Bersatu tetap pecah dengan Bersatu Tun. PRU 15, akan berlaku 3 penjuru kerana Bersatu Tun tidak boleh menerima Umno.

Pilihan ditangan TS Muhyiddin. Kesilapan membuat pilihan bukan sahaja menjatuhkan maruah beliau sebagai ahli politik dihormati. Malah akan memusnahkan parti Bersatu apabila tiba PRU 15. Jadi, ke sana ke sini, apa pilihan TS Muhyiddin?

Wassalam



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...