Friday, December 11, 2015

Tulahan : Istiqamah yang amanah dalam muhibbah

Salam,


Dah hampir setahun blog ini tidak diupdate, tiada tulisan peribadi, tiada apa-apa paparan ilmu untuk dikongsi pembaca. Sehinggalah minggu lepas bila ada sepupu datang ziarah ayah dan emak di kampung.

Sepupu tanya , kenapa lama tak menulis blog. Ketika itu baru penulis tersedar yang dah lama penulis tidak menulis. Ya, sejak berlaku krisis dalam jamaah penulis tiada motivasi untuk menulis tentang perjuangan.

Banyak yang penulis korbankan untuk perjuangan ini, bukan kecil pengorbanan tidak ramai yang sanggup berkorban seperti penulis lakukan. Berjauhan dengan isteri dan anak, infaqkan harta, serahkan masa untuk perjuangan.

Awlawiyat penulis adalah jamaah melebihi keluarga, kerja dan kehidupan dunia. Mereka yang pernah berjuang bersama penulis tahu hakikat ini, tahu kesungguhan penulis melaksanakan kerja jamaah, tahu sejarah penulis mengerakkan jamaah kawasan.

Namun, apabila berlaku krisis yang melanda jamaah, penulis memang kecewa. Timbul pula caci maki, fitnah, celaan terhadap sesama ahli jamaah cukup tidak menyenangkan penulis. Selepas muncul parti Islam baru , penulis ingatkan akan habislah cacian, kejian, fitnah tetapi tidak juga malah lebih banyak penghinaan  dan fitnah kepada pimpinan dan ahli parti baru.

Muncul istilah istiqamah ditulis, ditempel, diratip tanpa henti untuk menyatakan kekal dalam jamaah lama. Pimpinan yang istiqamah diangkat, dipuji , dipuja walaupun pemimpin itu terpalit dengan skandal komisen balak, membeli pangkat datuk, melesapkan wang wakaf dan pelbagai gejala tidak berakhlak yang malu disebut dilakukan pemimpin sebuah jamaah.

Yang meratip istiqamah pula bukanlah mereka yang aktif bekerja mengerakkan jamaah lama, malah mereka sekadar istiqamah di Whats App dan facebook sahaja. Jika dalam kawasan penulis, penulis kenal mereka yang meratip istiqamah ini, ada yang markas pun tak berani nak jijak kerana bekerja kerajaan, ada yang bila diajak berjuang pelbagai alasan diberi kerana takutkan isteri (Isteridirumah bukan Istiqamah), ada yang tunggu pencen baru nak berjuang dan banyak lagi.

Mereka aktif memaki, melabel, menyebar fitnah di Whats App dan facebook , namun hakikat sebenar dari segi perjuangan mereka tidak layak pun hendak dibandingkan dengan orang yang mereka hina dan label. Mereka hina pimpinan dan ahli parti baru sebagai munafik, sedangkan perangai munafik itu ada pada mereka yang berpura-pura pejuang sebaliknya , pengecut berjuang.

Ada seorang pimpinan parti baru dalam kawasan penulis yang penulis tahu, dia ni seorang yang tak tinggal solat dhuha. Apabila ada seseorang yang hinanya dengan macam-macam label, penulis siasat pelabel itu. Menyedihkan , sang pelabel ini, solatnya pun tidak penuh, anak perempuan pun tidak menutup aurat, solat jamaah jarang sangat di surau. 

Walaupun begitu , penulis bersyukur ada juga muka baru yang muncul mengantikan mereka yang pergi ke parti baru. Sekurang-kurangnya , jamaah lama tidak ketandusan muka baru walaupun cara bekerja muka baru tidak seaktif mereka yang pergi.

Bagaimana dengan penulis? , ada yang menuduh penulis telah futur, ada yang menyatakan penulis ni harummanis, malah ada yang menyebarkan penulis dah ada jawatan dalam parti baru.


Memang berita penulis letak jawatan masuk paper, mula-mula bukan parti baru yang sebarkan tetapi SU jamaah negeri yang keluar kenyataan penulis letak jawatan kerana sakit, kenapa nak tutup sampai sanggup berbohong. Tak lama keluar kenyataan pemimpin parti baru dalam paper bagi tahu berita sebenar kenapa penulis letak jawatan.

Tak lama lepas tu ada majlis doa selamat pejabat baru wakil rakyat parlimen , penulis pergi ke majlis tu. Esoknya, keluar berita penulis sertai parti baru. Sedangkan penulis hanya hadir majlis doa selamat, wartawan yang hadir ingat penulis dah sertai parti baru.

Beberapa hari lepas, tersebar senarai entah dari mana ajk parti baru. Nama penulis ada dalam senarai yang disebar. Bila siasat rupanya, senarai itu dari ‘sb’ yang serahkan kepada seorang Ajk jamaah kawasan dan dia sebarkan. Penulis tak tahu macam mana seorang Ajk jamaah kawasan boleh percaya dengan senarai ‘sb’ yang tak berapa nak betul itu.

Bila dah tersebar berita dalam paper , tersebar senarai yang tak berapa nak betul serta tersebar gambar penulis sedang duduk dalam bilik mesyuarat bersama ajk parti baru, gambar penulis hadir majlis doa selamat itu. Orang ramai dah buat kesimpulan penulis dah join parti baru. Jadi jika penulis nak sertai parti baru pun dah tak jadi masalah, kerana walaupun tak sertai dah pun dikatakan sertai parti baru.

Oleh kerana itu yang mereka mahu, apa boleh buat, tak salah pun. Bukan keluar Islam, bertukar wadah melaksanakan Islam sahaja. Jika salah , kenapa tiada hukuman semasa anak ATGNA, anak mantan Presiden jamaah, anak pimpinan pusat jamaah yang sertai jamaah lain . Kenapa semasa itu, tiada tuduhan munafik , tiada tuduhan pengkhianat kepada anak-anak pimpinan yang sertai jamaah lain, sedangkan sudah ada jamaah sedia ada.

Selepas muktamar, penulis ambil masa sebulan sebelum meletakkan jawatan sebagai SU jamaah kawasan . Penulis tidak sanggup melihat perbuatan menghukum , melabel yang dilakukan oleh beberapa orang pimpinan jamaah kawasan.

Mereka hina, keji, fitnah, label tanpa rasa bersalah terhadap mereka yang berada dalam parti baru. Malah, lebih dari itu mereka tidak lagi menghormati YDP jamaah kawasan yang bagi mereka terlalu berlembut dengan mereka yang berada dalam parti baru.

Penulis juga tidak sanggup melaksanakan arahan jamaah negeri dan pusat yang bagi penulis tidak sepatutnya dibuat. Sebab tu, penulis letak jawatan untuk beri ruang mereka yang sanggup melakukannya. Ramai yang memujuk, ada yang sampai menangis meminta penulis terus pegang jawatan. Mungkin mereka tahu siapa penulis, bagaimana gerak kerja penulis.

Tapi penulis kekal dengan keputusan tetap letak jawatan, namun masih akan bantu cari dana lujnah kebajikan dan pembangunan markas kawasan. Penulis ambil keputusan bersama beberapa orang dari parti baru dan jamaah lama untuk menubuhkan sebuah NGO untuk melaksanakan kerja dakwah dan kebajikan.

Adakah penulis jadi futur seperti yang dituduh? boleh mari duduk dengan penulis di kampung. Lihat apa yang penulis buat untuk kerja dakwah . Mereka yang menuduh mungkin melihat jika tak buat kerja jamaah maka akan futur. Penulis melihat futur dari sudut lain , iaitu mereka menjadi malas, putus asa, melambat-lambat dan menunda kerja dakwah tak kira di wadah mana mereka berada itulah yang futur.

Yang meratib istiqamah pun kalau ada sifat ini, futurlah namanya. Jangan menuduh futur kepada orang lain , sedangkan diri sendiri yang futur.

Bila penulis tidak aktif dalam jamaah kawasan , penulis lebih banyak tumpuan kepada dakwah di kampung sementara menunggu NGO baru ditubuhkan. 
Dakwah mengajak orang kampung solat dan solat jamaah tidak berhenti. Setiap lepas Maghrib, penulis mengajar tentang solat, sirah dan hari akhirat kepada mereka yang berjamaah.

Ada peningkatan, ada muka-muka baru datang ke surau. Yang dulu tak pernah datang, kini datang tunai solat berjamaah. Cuma penulis hadapi masalah untuk kekalkan mereka dengan solat. Penulis hanya berjumpa mereka untuk solat Maghrib, Isyak dan Subuh. Waktu Zohor dan Asar penulis kerja , jadi penulis tak tahu adakah mereka solat Zohor dan Asar.

Penulis bimbang, mereka tidak kekal solat kerana solat tidak penuh. Akibat, masih ada solat waktu yang tinggal akan mempengaruhi mereka untuk kekal solat waktu yang lain. 

Contoh sudah ada, ada seorang muda yang selama enam bulan datang ke surau, jadi tukang azan. Sampai satu masa tak datang terus, bila penulis tanya apa sebab, dia kata tak ada apa-apa. Penulis dapat agak , bila dia tidak solat Zohor dan Asar kerana bekerja, lama kelamaan mempengaruhi solat yang lain.

Penulis berdoa, orang muda ini akan diberi hidayah untuk datang ke surau kembali dan menunaikan solat lima waktu. Tugas penulis hanya mengajak orang kampung solat, hidayah hanya dari Allah. Jika Allah belum beri hidayah, kena sabar untuk terus berdakwah. 

Itulah yang penulis selalu cakap kepada mereka yang solat jamaah di kampung supaya jangan mengata kepada mereka yang tidak solat dan tidak datang solat jamaah kerana Allah belum beri hidayah kepada mereka. Mana tahu, jika Allah beri hidayah, mereka lebih baik amalnya dari kita.

Selama beberapa bulan penulis dan sahabat menunggu kelulusan NGO baru, akhirnya sijil kelulusan diberi. Akaun di bank Islam dah dibuka, akaun maybank ambil masa lama kerana prosedurnya ketat. Sudah ada beberapa aktiviti dijalankan, sudah ada bantuan diberi kepada yang memerlukan.

Baru dua bulan bergerak , sudah beberapa kali masuk paper tentulah ramai yang dah mula kenal dengan NGO ini, dah ada yang mahu join dengan NGO ini. Yang mahu join kebanyakannya harummanis yang takut nak zahirkan pendirian kerana takut dilabel, disindir dan dipulau.

Oleh kerana itu, ada pimpinan kawasan jamaah lama rasa terganggu dengan NGO ini. Dah ada yang menuduh NGO ini anggotanya ahli parti baru, sedangkan hanya dua orang sahaja dari parti baru, yang lain semua ahli jamaah lama.

Penulis tak pernah meminta ahli jamaah lama dalam NGO keluar parti, tapi penulis bagi tahu jika ada yang pegang jawatan peringkat kawasan dalam jamaah lama, jika tak sanggup nak laksanakan amanah kerana tidak setuju dengan pendirian jamaah lama lebih baik letak jawatan . Macam penulis letak jawatan dan bergerak melalui NGO.

Memang NGO ini ada tumpang buat mesyuarat di pejabat parti baru kerana tiada tempat bermesyuarat. NGO ini baru, belum ada pejabat, bila ada yang tawarkan tempat untuk mesyuarat tanpa dikenakan bayaran , rugilah jika tolak.

Sepatutnya , bila ada NGO yang nak buat kebajikan tak perlu rasa tergugat, hanya NGO sahaja. Sebaliknya , meringankan beban kebajikan jamaah lama.
Begitu juga jika ada parti baru yang turut melaksanakan aktiviti kebajikan , bukankah menguntungkan rakyat kerana maanfatnya rakyat yang dapat.

Bukankah , pempinan jamaah lama sentiasa menegaskan bahawa jamaah ini bukan sekadar parti politik tetapi sebuah gerakan Islam. Maka, tak perlu nak berpolitik sehingga merugikan rakyat, sepatutnya berlumba-lumba melaksanakan kebajikan kerana itu menguntungkan rakyat.

Menjelang tahun depan, NGO ini akan terus bergerak melaksanakan kerja dakwah dan kebajikan. Penulis akan terus tolong apa yang baik untuk jamaah lama. Penulis akan terus tolong cari dana untuk lujnah kebajikan dan pembangunan markas. Jika ada melarang, penulis tidak boleh buat apa kerana penulis hanya beramal membantu.

Penulis juga akan membantu parti baru terutama dalam membantu kebajikan rakyat. Baru-baru ini, keluar berita paper yang tidak benar tentang parti baru. Yang buat kenyataan pula seorang ustaz yang penulis hormati, pemimpin jamaah lama ini menuduh parti baru tak buat apa-apa untuk bantu rakyat di kawasan.

Berat sungguh tuduhannya, sedangkan penulis tahu parti baru ada buat sumbangan kebajikan kepada rakyat walaupun baru ditubuh. Penulis ada beberapa kali pergi ke pejabat parti baru dan penulis tahu ada gerak kerja dan sumbangan membantu rakyat dijalankan .

Cumanya , tiada berita dalam paper kerana tiada Ajk parti baru yang pandai buat berita . Ada pemimpin parti baru yang minta tolong penulis tapi penulis tak tolong kerana penulis juga tak buat untuk berita aktiviti jamaah lama.

Bila ada pemimpin jamaah lama yang buat tuduhan tidak betul terhadap parti baru , penulis rasa menyesal pula tak buat berita kebajikan parti baru. Mulai hari ini, penulis akan tolong buat berita kebajikan parti baru supaya tidak timbul lagi tuduhan tidak betul kepada parti baru. Penulis juga dah bagi tahu, YDP jamaah lama tentang perkara ini.

Penulis berdoa kepada Allah akan mempermudahkan urusan dakwah penulis melalui wadah yang penulis pilih. Biarpun dihina, dilabel, difitnah itu bukan halangan melaksanakan kerja dakwah. Yang penting berjuang dengan ikhlas untuk agama Allah. 

Jika ada yang mendabik dada bahawa merekalah pejuang Islam , dalam masa yang sama melabel, maki, hina dan fitnah pejuang Islam lain. Berdoalah agar mereka sedar akan kesalahan tindakan mereka yang melangar batasan akhlak Islam.

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
[Al-Baqarah : 148]


Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...