Alhamdulillah,
Allah menjadikan proses melarikan diri daripada lensa itu mudah buat
saya. Dia yang memudahkan. Mungkin kerana saya sendiri, juga masih
kelam-kelam di pinggiran disimbah cahaya studio dan gemerlapan pentas.
Belum jadi bintang. Belum jadi purnama. Keberagamaan hari ini amat membingungkan.
Bagi
mahasiswa dan mahasiswi sarjana muda Pengajian Islam semasa,
jauhkanlah diri daripada menjadi selebriti sebelum habis mengaji.
Jangan sekali-kali mencita-citakannya. Lebih baik, hindari lensa,
hindari publisiti sebelum usia mencecah 30′an. Sibukkan diri dengan
mengaji.
Menjadi selebriti itu
bererti, di alam realiti pendapatmu dinilai berdasarkan populariti.
Jarang kerana hujah dan ilmu. Maka, kukuhkan dulu ilmu dan pengalaman,
sebelum engkau menyerah leher kepada kehidupan yang berisiko tinggi
itu.
Hakikat menjadi selebriti agamawan, kesilapanmu dipertahankan
peminat, kebenaranmu dicemburui lawan. Selamatkah dirimu, tanpa ilmu yang
jitu?
Justeru, dalam banyak keadaan, rebutlah kelebihan menjadi insan bertaqwa yang tidak dikenali. Viral, trend,
populariti, ia adalah ujian yg berat. Mengapa engkau dengan sengaja
menempa susah? Apatah lagi kesusahannya adalah beban yang jauh dari
berbaloi.
Setiap kali berpendapat,
engkau boleh melapikkan ‘fatwa’mu dengan permohonan maaf dan meminta
nasihat jua teguran. Tetapi agama mengkehendaki kita tawadhu’ dengan
ilmu mendahului tawadhu’ dengan mad’u. Tawadhu’ dengan ilmu bererti
kita membataskan diri daripada berkata-kata pada perkara yang kita
tiada pengetahuan mengenainya.
Pengetahuan
ialah apa yang kita pelajari, kita dalami, kita fahami. Bukan apa yang
kita dengar, tidak sekali-kali sekadar meminjam apa yang orang kata.
Jika salah, salah yang berkata, bukan salah kita yang meminjamnya.
Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:
‘Barangsiapa
yang berbicara tentang hal-ehwal agama tanpa ilmu maka dia dikira
berdusta sekali pun dia tidak berniat untuk berdusta.’
Dek
kerana bahayanya perbuatan memetik buah sebelum ranum,
rancangan-rancangan realiti keagamaan itu berbahaya. Jika dalam dunia
masakan, Chef Wan risaukan chef segera melalui rancangan realiti
masakan, kita pula risaukan ulama segera yang dihasilkan oleh rancangan
realiti di kaca televisyen.
Mendengar ceramah-ceramah alumni program
realiti televisyen yang banyak itu, sungguh dukacita hati saya
dibuatnya. Demikianlah akibat mensesiakan usia muda yang sepatutnya
diisi dengan belajar, bukan mengajar, biar pun berdakwah masih fardhu
ain dalam rutin seharian masing-masing.
Al-Imam al-Shāfi’ī rahimahullāh berpesan, seperti yang ternukil di dalam Fath al-Bārī, syarah kepada Sahih al-Bukhārī:
“Apabila
seseorang yang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu
menjadi tokoh), maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak”
Mengapa
tergesa-gesa beraksi di lensa, sebelum ilmu secara amanah disemat di
dada? Lidah tidak bercabang, lancar berkata-kata, tidak selancar mata
membaca dan akal memikirkannya.
Jika televisyen mensyaratkan ada ASAS
agama, maka ASAS itulah racunnya, kerana pada usia yang begitu muda,
kalian sudah sibuk ke sana sini mengajar (kalau boleh dikatakan
mengajar), bila masanya yang ASAS itu hendak ditambah, diperbaiki dan
ditingkatkan?
Jika zaman belajar
tidak rancak belajar, mustahil zaman mengajar boleh rancak mengajar.
Kecuali ada penyakit yang direstui penyebarannya.
Dek
besarnya bebanan berkata-kata di pentas ceramah, apatah lagi di depan
lensa, saya sendiri lebih tenang menulis berbanding berceramah. Sebelum
menulis, saya kena membaca dan punya ruang berfikir sebelum
menyebarkannya.
Ceramah, mudah benar kemalangan ilmu berlaku.
Semoga
Allah ampunkan saya, bekas orang muda yang banyak bercakap, bakal
orang tua yang kurang beramal. Sekadar berkongsi nasihat buat yang
sudi.
(Dan amaran buat yang enggan bermuhasabah diri)
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
43000 BSP
No comments:
Post a Comment