Monday, May 14, 2012

"ISMA berniaga Beras JATI"




Adakah Perpaduan Bangsa & Agama mengatasi Seruan Allah untuk tegakkan Keadilan & Hapuskan Kerajaan Yang Zalim & Rasuah?

~ Jawapan bagi mereka yang terus mengatakan undi PR bakal menggadaikan Melayu & Islam.

Oleh Ahmad Sayuti Bashiron

Muqaddimah

"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai" (Ali Imran 103).

"Dan janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat" (Ali Imran 105).

"Sesungguhnya orang yang memecah-belahkan agamanya dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanya terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuatkan" (Al-An’am 159)

Seruan Perpaduan Melayu

Pimpinan UMNO mengajak bangsa Melayu terutama dari PAS bersatu atau setidaknya bekerjasama dengan UMNO demi menyelamatkan Melayu dan Islam yang sedang ditindas. 

UMNO gemburkan istilah Melayu ditindas hanya selepas 2008. Selepas beberapa negeri terutamanya Selangor yang menjadi lubuk emas tidak dikuasai oleh mereka. 

Bagi UMNO, tidak mengapa jika PAS tak masuk UMNO sekalipun, teruskanlah dengan kerja PAS, tetapi yang penting PAS mestilah tinggalkan DAP sebagai parti Cina yang antikan Islam demi menyelamatkan bangsa Melayu Islam.

Itulah seruan yang diulang sana-sini. Seruan ini pernah datang dulu sekali tahun 1969. Kemudian terus senyap. Sempena peristiwa besar 13 Mei 40 tahun lepas yang berulang kembali kini, saya mengajak mereka yang masih gagal memahami fakta untuk meneliti angka. 

Saya memilih untuk tulis lebih panjang hari ini untuk anda renungi semula beberapa "persoalan emosi & sentimen" besar yang dimainkan, yang sebahagiannya amat mencelarukan minda rakyat, Melayu Islam khususnya. 

Walau ada yang mungkin marah melibatkan nama pemimpin tertentu, saya terpaksa nyatakan dalam penghujjahan agar blok pemisah tersebut dapat diperbetulkan.

Seruan Melayu Sepakat

Sebelum saya pergi lebih jauh, mari beberapa kata-kata semangat lantang mutakhir ini dalam perbincangan di pelbagai media yang makin dipropagandakan;

"Kemenangan PR sekarang ini menjadikan suara Melayu hilang di parlimen".

"Jika PR dalam PRU13, bermakna parlimen akan dikuasai oleh Cina yang mempunyai agenda anti Islam".

"Kami hanya mahukan PAS berkuasa, kami tak mahu PAS bersama DAP".

"Kami sangat sayangkan PAS, tapi kami hanya akan berusaha untuk membantu PAS yang tulen sahaja".

"Perpaduan Melayu dan Islam lebih diutamakan dalam negara demi mendaulatkan Islam daripada menumbangkan pemerintah yang zalim dan perasuah".

Itu hanya sedikit disalin dari FB atau kata-kata pemimpin tertentu.

Sebaik seruan itu berkumandang 2008 lepas, berbondonglah NGO Melayu pelbagai nama walau yang baru ditubuhkan sekalipun bertepuk dengan nada yang sama. Demi menyelamatkan Malaysia, Melayu wajib bersatu! UMNO gembira "seruan perpaduan"nya disahut gembira oleh pelbagai NGO Melayu, malah NGO Melayu Islam. 

Hebatnya UMNO sampai sampai dihadiahkan oleh NGO Melayu Islam buat mereka hingga mengajak seorang pemuka UMNO melancarkan seruan Melayu Islam NGO itu sebelum PRU13 kelak pada 9-Jun depan demi meraih sokongan pada mereka yang mahu bersamanya!

Pelik dan keliru. Berkokok juga NGO itu kononnya sama matlamat dengan Parti Islam PAS, tetapi mahukan PAS sahut seruan UMNO itu bersama mereka. 

Berkocaklah setiap penjuru pentas ceramah atas platform UMNO, Hasan Ali, JATI, HIMPUN, Ezam, ZulNordin, atau atas apa pentas sekalipun asal suara didengar. Beriya NGO itu mahukan bekas naqib dan pemimpin usrah mereka turut dengar sekali bahawa suara mereka semakin ganas sebenarnya. 

Mendabik kamilah ikhwanist, yang lain-lain dah lari dari landasan Islam. Kamilah yang betul, namun berpecah sakan sesama NGO Islam lain demi seruan sendiri. Pilihan mereka dibuat untuk terus susuri jalan yang jelas bertentangan dengan perpaduan sesama persatuan Islam yang dicanangkan.

Perkiraan pertama saya; saya tidak kisah jelasnya sokongan terhadap UMNO yang dinyatakan oleh pelbagai kumpulan NGO Melayu lain itu. Itu hak mereka. Itu pendirian politik masing-masing. 

Masyarakat cerdik menilai dan kenali akhlaq. Topi sahaja yang berbeza, batang tubuh tetap satu. Yang celaruan adalah NGO Melayu Islam yang mahu bertapak semakin kuat melaungkan kalimah "kami sangat sayangkan PAS", namun melaksanakan segala tindak yang merugikan PAS dan pakatan PAS dalam menumbangkan kezaliman. 

Berbisiklah juga dalam diam-diam oleh mereka "kami sangat bencikan UMNO", kerna UMNO perasuah dan melakukan kezaliman. Pimpinan UMNO merosakkan negara dan melanggar Islam. Namun, antara "sayangkan PAS" dan"bencikan UMNO" yang hanya berani di bibir itu, akhirnya seruan mereka tenggelam untuk terus menolak Pakatan Rakyat (PR) yang diijtihadkan oleh PAS untuk bersamanya, hanya dengan mengabil kata UMNO "PR menguntungkan Cina dan bukan Islam".


Itulah kesimpulan ringkas oleh pimpinan utama mereka; mengambil mudharat lebih ringan dengan memilih BN berbanding PR dalam PRU13 kelak. Itu yang ditulis, dicakap, diceramah di doktrin oleh Ketua dan Timbalannya. 

Ayat itu dikongsikan oleh ahli-ahli mereka yang sungguh ta'asub, serata dunia. Sebaliknya baru-baru ini Ketua Syura mereka pula nyatakan untuk ahli mereka memilih "PAS yang tulen" dalam PRU13 kelak, dan menolak "PAS yang tidak tulen", "tolak DAP dan PKR", tolak Anwar. Pulak? Dalam qiyadah ditabur pelbagai kepala. Hancur dan berbohong jadinya.

Bila saya tanyakan "apakah PAS tidak tulen" merujuk pada individu yang kerap Hasan Ali ucapkan atas pentas bersama Presiden NGO Melyu Islam itu selama ini? Atau tulen itu hanya mereka yang ditarbiyyah sejak kecil oleh PAS, atau ada maksud lain? 

Hingga sekarang saya gagal mendapat jawapan, walau dinyatakan kononnya itulah stand rasmi mereka yang terkini. Makin berserabutlah lagilah celaruan malah merosakkan terma Islam yang dibawa di kalangan ahli bawahan.

Selanjutnya dalam pelbagai kesempatan saya bersemuka, doktrin diulang juga adalah; "keutamaan paling penting adalah kekalkan perpaduan Melayu di Malaysia demi untuk Islam dilaksanakan, daripada menumbangkan pemerintahan yang zalim dan penuh rasuah". 

Saya jadi takut dengan kenyataan itu. Saya yakinkan, Harakah Dakwah dan Siyasah yang didokongi PAS yang kononnya sangat mereka sayangi dan sangat tsiqah pada qiyadah mereka; tidak pernah pun sesekali mengambil stand merelakan apa jua bentuk kezaliman di bumi Malaysia. 

Dakwah PAS terpaksa mengambil jalan penuh liku dan ranjau berduri melalui menggunakan pendekatan "muwajjahah silmiyyah" demokrasi berpilihanraya itu demi menumbangkan kezaliman, tapi kamu rela kefasadatan itu dikekalkan demi perpaduan?

Maka jika itulah sifir mudahnya, kamu sebenarnya benci PAS. Mudah dan tak perlu berdalih, dan tak perlu berbohong. Sesungguhynya Islam tidak pernah sesekali redho dengan apa jua kezaliman itu, walau dilakukan kepada siapa sahaja, walau pada UMNO dan kafir sekalipun, walau atas nama Islam sekalipun. 

Saya nyatakan dengan jelas pada Ketua Syura NGO Melayu Islam bahawa itulah kecelaruan fikrah yang dahsyat yang terus disumbatkan pada ahli mereka.

Tatkala kegagalan faham waqi' dan fakta oleh Ketua Syura dan pelbagai qiyadah atasan, dan terus mahukan doktrin kebencian terhadap Cina dan bukan Islam, maka saya tak dapat bayangkan betapa celarunya adik-adik bawahan yang begitu naif siyasah dan waqie' yang berada di hadapan saya, walau penuh semangat dan ikhlas dalam diri mahukan Islam ditegakkan by "all means"di Malaysia. 

Pasca BERSIH juga; Presiden NGO Melayu Islam itu kata berkali berkali-kali bahawa mereka sangat bersetuju dengan segala tuntutan BERSIH, cuma "kami takut jika semua tuntutan BERSIH dilaksanakan maka ia bakal merugikan Islam dan Melayu".

Saya soalkan, di mana pula tuntutan yang adil itu bakal merugikan Islam? Keadilan melalui sistem demokrasi berpilihanraya yang diperjuangkan oleh BERSIH dilakukan agar perjalanannya mengikut perlembagaan yang dilihat boleh menguntungkan Islam. 

Atau Presiden itu fikir Islam perlukan ketidakadilan demi untuk bertapak? Seolahnya tatkala keadilan itu dilaksanakan maka Islam bakal rugi dan ditindas. 

Demi Allah, malunya saya beraqidahkan ad-deen ini sebagai jalan hidupku jika pemahaman Presiden itu dipegang ummah.

Mengapa Saya Kisah?

Akhir sekali dalam muqaddimah panjang sempena seruan perpaduan Melayu ini, saya banyak kali ditanya; mengapa saya terlalu kisah dengan NGO Melayu Islam seperti itu, namun tidak kisah dengan NGO Melayu lain, atau dengan UMNO sendiri. 

Saya memberi respons ringkas; saya tidak kisah dengan mana-mana NGO ultra-bangsa lain yang jelas mengharuskan perlakuan zaliman dan rasuah oleh UMNO. Itu rakyat dapat menilai dengan jelas. 

Tiada identiti Islam dibawa selain nama individu itu sahaja yang masih Islam. Jelas dan bersuluh. Saya wajib berhadapan dengan mereka itu sebagai sasaran dakwah untuk saya serukan Islam yang jelas.

Tapi saya jadi kisah, risau malah benci pada sikap ketidak tanggungjawaban pada susuk Muslim yang berkata mahukan Islam, bergerak atas nama Islam, menisbahkan diri pada gerakan tarbiyyah dan menonjolkan diri kononnya sebagai ikhwanist di Malaysia, tetapi sanggup menghasut dengan nada yang mencelarukan aqidah. 

Ringkasnya; analogi yang pernah saya guna berdasarkan apa yang nabi pesan"lebih bahaya munafik (atau sikap munafiq dalam jiwa Muslim) daripada kekufuran yang nyata". Itu kerisauan saya.

Pada masa yang sama, saya menghargai dapat bermu'amalah dan bermu'ayasyah dalam apa jua persamaan sesama NGO Islam lain atau jama'ah Islam lain, dalam perkara yang ada persamaan demi hadaf yang satu, namun kami mampu berlapang dalam perbedaan yang wujud. 

Tidak perlu perbedaan itu dijadikan benteng memisahkan 'amal. Banyak sahabat-sahabat rapat saya dari latar jama'ah pelbagai yang sangat ikhlas membawa panji Islam dengan memilih jalan dakwah tersendiri, malah memberi kelebihan untuk mereka disebabkan tidak semuanya mampu dilakukan oleh PAS bersendirian.

Muqaddimah saya ini panjang, maka saya ingin perturunkan fakta yang kecil tapi jelas kepada Presiden, Timbalan Presiden malah Ketua Syura NGO Melayu Islam, dan mereka yang seangkatan dengannya yang terus menyatakan bahaya jika PR memasuki Putrajaya, maka yang untung adalah Cina & bukan Islam sahaja yang bakal merosakkan agenda Islam.

Sebelum saya teruskan, perlu dijelaskan bahawa sistem demokrasi berpilihanraya yang saya pilih ini yang diharuskan oleh Islam demi waqi' Malaysia memerlukan kita membuat persediaan memahami segala susun atur perjalanan atau teknikal pilihanraya dan peraturannya, dan bukanlah hanya bertindak berdasarkan faham yang sempit tanpa ilmu, bahkan atas sentimen semata. 

Pemahaman Daftar Pemilih serta proses berkaitannya yang termaktub dalam perlembagaan adalah tiang kepada seni pilihanraya yang adil. Saya hanya nyatakan beberapa perspektif isu besar yang telah disalahkan pemahaman oleh kebanyakan, terutama ketiga-tiga pimpinan utama itu;

Gerrymandering, pecahan semula kawasan pilhanraya sangat merugikan Melayu Islam di parlimen (sila rujuk pada carta)

1.      Dalam sejarah, UMNO hanya merayu PAS untuk bersama mereka tatkala peratusan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat mereka merudum di bawah 50%, ditambah kekalahan MCA & MIC yang teruk, walau ia sebenanrnya meningkatkan jumlah kerusi PAS dan DAP di parlimen dengan mendadak.

2.      Pernah tahun 1972 PAS menerima dengan syarat yang ketat dan disyurakan demi janji UMNO untuk menegakkan Islam. Manfaatnya PAS mentadbir Kelantan. Namun ia tidak kekal, dan PAS ditendang tatkala persempadanan 1974 memberikan untung kembali untuk UMNO berkuasa dan merampas Kelantan. 

UMNO tidak selesa dengan pengaruh Islam menghalang mereka melakukan apa sahaja terhadap harta negara demi kepentingan peribadi.

3.      PAS belajar disitu bukanlah Melayu apatah lagi Islam yang diperjuangkan UMNO. Hampir 30 tahun selepas itu tidak pernahpun ada seruan "perpaduan Melayu Islam" diutarakan kerana mereka menerima sokongan dan melakukan apa jua kezaliman atas sistem pilihanraya dengan majoriti 2/3 parlimen yang dimiliki tanpa bantahan.

4.      PAS menyusuri perjuangan berliku selepas itu dengan halangan, pintu besi, tumpahan darah, Memali, kesakitan dan pelbagai operasi khususnya buat mereka yang bersama PAS, dan ummat Melayu Islam hilang kekuatan hinggalah 1990 tatkala UMNO berkocak teruk atas pelbagai perebutan kuasa dalaman dan hasat sesama pemimpin, maka tahaluf kedua PAS memberikan keuntungan untuk Kelantan ditadbir sekali lagi oleh Melayu Islam.

5.      Kesannya rakyat Kelantan Melayu Islam itu didera dengan dahsyat sekali selama 20+ tahun atas pilihan mereka menolak kezaliman UMNO, dinafikan apa jua pembangunan dah mereka, walau negeri itu kaya dengan minyak sebenarnya.

6.      Menjelang reformasi 1999, sekali lagi PAS melaksanakan ijtihad tahaluf lagi, tapi dengan DAP yang majoritinya bukan Islam dan masih gagal mendekati Islam. Tahaluf terhad demi menumpaskan kezaliman secara bersama. Tahaluf pada masa itu belum sampai kesediaan DAP untuk memahami dakwah yang sebenar yang PAS cuba bawakan. 

Terdapat kesan baik untuk PAS, tapi masih belum berjaya diteruskan kerana persediaan yang lemah dari kedua pihak. DAP keluar akhirnya. PRU-2004 UMNO mendapat kemenangan paling berharga dalam sejarah Merdeka hasil perpecahan yang berjaya dilakukan itu.

7.      Kemenangan PRU-2004 oleh UMNO bukan diraih semuadah itu, perlu diingat juga ia adalah natijah projek sangat besar sebelum itu. Tahun 2003 jumlah kerusi parlimen Malaysia ditambah di hampir semua parlimen yang menjadi kubu kuat UMNO, MCA dan MIC. 

Belum pernah persempadanan dikerjakan sebegitu dahsyat dan zalim pada sistem demokrasi ini sejak Merdeka. UMNO memperuntukkan kerusi yang banyak di kawasan bukan Islam demi memecahkan sokongan yang hilang pada tahun 1999, malah diolah pula parlimen pembangkang dengan merosakkan geografi pilihanraya demi memastikan pengundi  Islam terpecah dan tidak mengundi pembangkang (BA = Barisan Alternatrif).

8.      Kali pertama juga dalam sejarah pilihanraya pasca Merdeka, kaedah gerrymendering dimanipulasi semaksimanya dihampir semua parlimen pembangkang; berlaku pertambahan dan pecahan yang sangat besar luar tabi'e demokrasi. 

Hakikatnya gerrymendering yang dah pun diharamkan di hampir semua negara dunia termasuk negara maju telah digunakan oleh UMNO demi survival politik bangsa yang mereka bawakan dengan terkeluarnya DAP dari BA.

9.      Hakikat yang berlaku; negeri dan parlimen utama Melayu dan Islam yang majoriti dipegang oleh PAS dan PKR langsung diabaikan, malah dibesarkan jumlah pengundi melangkaui 100,000 orang dalam satu-satu parlimen. 

Kubu-kubu UMNO, MCA dan MIC dipecah sekecil-kecilnya demi mewujudkan parlimen baru walau jumlah pengundi hanya 10,000 lebih sahaja setiap parlimen!

10.  Tiga kubu BN; Johor, Sabah, Sarawak menerima pertambahan parlimen mendadak, dan negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Perak langung tidak berubah, atau sangat minimum. Malah Kelantan, Terengganu yang bermajoritikan Islam dan Melayu langsung dinafikan tertubuhnya parlimen baru, walau itu hak rakyat Melayu Islam di sana. 

Sampai ada yang geografi parlimennya lebih luas dari Pulau Pinang dan Perlis. Kawasan Melayu Islam seperti Kapar, Baling, Kuala Kedah, Kuala Terengganu contohnya dirosakkan dengan lambakan pengundi luar jangka melebihi 90,000, sedang kawasan selamat pembesar-pembesar UMNO dan MCA di Johor, Pahang dihadiahkan parlimen baru dalam jumlah puluhan ribu sahaja.

11.  Kesan kekalahan PAS dan pembangkang dalm PRU11 tahun 2004 hasil dari gerrymandering itu memposisikan jumlah ahli Parlimen pembangkang yang sangat rendah dalam sejarah Merdeka.

Fakta Angka (merujuk graf peratusan kemenangan kerusi UMNO)

12.  Sebaik selesai PRU11 tahun 2004, PAS duduk semeja dengan rapi bersama DAP, berpakat merancang dan meletakkan agenda menumbangkan kezaliman dan rasuah, dan mengislahkan sistem demokrasi  sebagai perjuangan bersama. 

Kali ini PAS menggerakkan ijtihad tahaluf siyasi sekali lagi dengan kefahaman dakwah dengan mengguna pakai seruan pelbagai ulamak dunia, ikhwan, termasuk sahabat gerakan-gerakan Islam dunia. 

Ketelitian itu sangat perlu disebabkan ijtihad PAS itu berdasarkan waqie' dan menjadi kali pertama dalam sejarah dunia untuk sebuah parti Islam bekerjsama dengan satu parti bukan Islam berdasarkan sirah Hudhaibiyyah.

13.  Tahun 2008, PAS PKR dan DAP masuk dengan kebersediaan dan memahami apa yang diperjuangkan. PR pada masa itu masih terpaksa menghadapi kesan kezaliman gerrymandering tahun 2003 itu; iaitu rakyat hanya mampu memnentang kezaliman apabila perjuangan bukan atas nama bangsa diletakkan di hadapan. 

Kawasan pengundi berdasarkan gerrymandering yang dipecah-belahkan mengikut perkauman itu hendaklah disatukan dengan satu pakatan yang faham.

14.  Kesan paling besar buat pertamanya kalinya dalam sejarah PRU; 109 kerusi UMNO yang dikecapi 2004 (49%) telah jatuh kepada 77 (35%) sahaja. Namun hakikatnya juga kerusi Melayu Islam di Parlimen dari PAS atau PKR terus mendadak dari 8 kepada 44 kerusi (pertambahan 450%). 

Malah jika dicampur kerusi Melayu Islam dari UMNO dan BN, jumlah sebenarnya turut bertambah daripada 123 (55%) kepada 130 (59%). Tidak ada yang berkurang, malah lebih untung!

15.  Itulah sejarah kekalahgan yang paling buruk pasca Merdeka yang dialami oleh UMNO dan BN, melangkaui kekalahan 1969 40 tahun lepas. BN juga tersentak tatkala Cina dan bukan Islam meninggalkan MCA dan MIC untuk bersama DAP dan PR, walhal mereka baru sahaja dihadiahkan persempadanan pilihanraya baru pada 2003 lepas!

16.  Habis PRU12 tahun 2008, UMNO hiolang punca. apakah lagi formula persempadanan terbaik yang boleh dimanipulasikan mereka. Oleh itu tahun 2011 lepas UMNO menyatakan mereka tidak lagi berani melakukan perubahan kawasan parlimen walaupun cukup 8 tahun tempoh matangnya seperti yang digariskan dalam perlembagaan.

17.  Fakta ini begitu jelas bagi yang mengkaji, namun diselindung dengan sengaja oleh UMNO, diperlekehdan dan disorok oleh kepimpinan NGO Melayu yang saya jumpa. Mereka mahu apa jua  fakta tidak diketahui umum demi memainkan sentimen bangsa dan agama yang dicanangkan pada pengikut masing-masing yang naif. 

Mereka juga tidak sebutkan angka kejatuhan kerusi bukan Melayu 4% di parlimen, dan mana perginya 4% itu kalau bukan kepada ahli parlimen beragama Islam?

18.  Fakta yang digemburkan adalah pertambahan DAP dari 13 kepada 41 kerusi parlimen (215%), sebaliknya didiamkan fakta hampir semua kerusi MCA jatuh pada PR termasuk yang kembali kepada Melayu Islam.

19.  Inilah formula baru selain persempadanan yang dicanang penuh emosi oleh UMNO dan pelbagai NGO Melayu dan NGO Melayu Islam dalam banyak perbincangan saya. 

Mereka tidak berminat jika kita mahu membetulkan angka itu. Maka berkempenlah mereka menggunakan formula sentimen perkauman dan agama yang telah UMNO perkenalkan itu.

Bagaimana hak ummat Islam boleh dikembalikan dengan panghapusan gerrymandering (graf jumlah pengundi setiap parlimen)?

20.  Merujuk figure kecil di atas (jumlah pengundi setiap parlimen), menunjukkan BN dan UMNO hanya menang di kawasan parlimen yang dikecilkan sekecil-kecilnya hatta di bawah jumlah purata Malaysia (50,000 satu parlimen) (warna biru). 

Mereka menang hampir semua parlimen yang baru diwujudkan tahun 2003. Sungguh beruntung rakyat Johor, Sabah dan Sarawak dan Pahang.

21.  Sebaliknya kawasan dimenangi PR walaupun terpaksa berhadapan dengan lambakan pengundi luar logik demokrasi, tetap terus dimenangi oleh PR pada 2008 hasil kerjasama tahaluf dengan rakan PR termasuk DAP, walau belum mencukupi majoriti untuk berkuasa di parlimen. Persempadanan SPR boleh dilakukan pembetulan setiap 8 tahun.

22.  Arahan pada SPR untuk gerrymenadering diperbetulkan hanya boleh dilakukan tatkala PR menguasai parlimen melalui pengislahan demokrasi yang diperjuangkan oleh BERSIH tersebut, iaitu memulangkan hak pengundi kepada rakyat secara adil. "Level"kan playground!

23.  Tanpa kuasa parlimen, mustahil UMNO akan berikan semula hak-hak Melayu Islam tersebut. Apa yang SPR kena buat hanyalah membuang elemen gerrymendering dalam persempadanan lepas, dan patuh sepenuhnya pada formula persempadanan yang termaktub dalam perlembagaan. Ia dilihat sangat adil menerusi kacamata demokrasi.

24.  Oleh itu jika kemenangan dicapai, dan keadilan kawasan pilihanraya dilaksanakan, maka sudah pasti PR terutamanya kawasan Melayu Islam yang ditandingi oleh PAS bakal mendapat pertambahan kerusi yang mendadak; contohnya Kapar, Baling, Kuala Kedah, Kuala Terengganu, Shah Alam, Kota Raja, Lenggong etc. 

Dan  sebaliknya jika taburan kerusi di kubu-kubu UMNO diadilkan semula kepada jumlah purata lingkungan 50,000 seperti yang sepatutnya, maka BN khasnya UMNO bakal kehilangan hampir 29 kerusi parlimen "haram" yang telah sengaja diwujudkan pada 2003 lepas.

25.  Itulah realiti sebenarnya; bukan sahaja suara Melayu Islam di parlimen sedang meningkat dalam percaturan tahaluf siyasi sekarang, bahkan suara Melayu Islam bakal menghampiri 2/3 parlimen jika perlaksaan pilihanraya adil itu berjaya dilaksanakan selepas pembetulan elemen gerrymandering. Ianya hanyalah perubahan sokongan dari UMNO kepada PAS atau PKR.

26.  Apa yang pasti; usaha membenteras kezaliman yang sedang diusahakan oleh PR pada masa ini bukanlah semudah selepas PRU13 kelak untuk ummat Melayu Islam terus merasai buahnya, tetapi ia hanya bermula selepas pembetulan persempadanan semula pilihanraya yang hanya akan dikuatkuasakan untuk PRU14 tahun 2018 kelak.

Nasihat buat Saudaraku ISMA: Kezaliman tidak subur bersama Islam

27.  Kepada saudara seperjuangan dari NGO Melayu Islam ISMA khususnya, fakta di atas hanyalah sebahagian dari kezaliman sistem demokrasi yang dilaksanakan di Malaysia yang terus disorokkan oleh pemimpin kamu. 

Saya belum bercakap 8 lagi tuntutan BERSIH yang sudah tertera disebabkan Presiden ISMA berkata dia menyokong sepenuhnya tuntutan itu, cuma dia takut jika UMNO laksanakan tuntutan itu ia bakal merugikan Islam. Rujuk ucapan dan tulisan dia!

28.  Percayalah, tanpa berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mencapai tuntutan BERSIH dan 'adil tersebut, termasuk ISMA yang sangat bencikan mereka yang menyertai BERSIH, dan selagi suara yang membencikan kezaliman tidak mendominasi parlimen, selama itulah hak Melayu dan Islam bakal terus dinafikan. 

Selama itu jugalah Islam bukan sekadar gagal disyariatkan sebagai dasar negara, bahkan gagal dilaksanakan dalam konteks hidup harian dan mu'amalah. Selama itulah juga Islam bakal terus dizalimi oleh pemimpin Islam yang sangat tamakkan kuasa.

29.  Bagi Ketua-Ketua ISMA dan Ketua Syuranya yang masih takut atau teragak-agak untuk Islam dan bangsa Melayu itu berdiri jika keadilan terlaksana, maka saya ingatlah ayat Allah; "berlakulah 'adil, sesungguhnya itu lebih hampir kepada ketaqwaan". Kezaliman dan kemungkaran tidak mungkin berpadu serentak. 

Perpaduan bangsa dengan membiarkan kezaliman dan rasuah berterusan pasti gagal melaksanakan apa jua agenda Islam dan ummahNya yang semua kumpulan Islam mahukan.

30.  Buat mereka, saya ulang dengan jelas pernyataan yang diberikan baru-baru ini; "keutamaan yang lebih penting sekarang adalah menumbangkan kezaliman dan perasuahnya, ia bakal meletakkan semula hak dan keadilan di tempatnya berdasarkan apa yang termaktub dalam perlembagaan, dan dengan itulah Islam boleh bertapak semula". 

Saya juga nyatakan saya cintakan agama dan bangsa saya, dan saya mahukan mereka menjadi ummah yang terbaik, bukan dihina.

31.  Dan pasti itu bukan penutupnya, kerana agenda Islam mestilah berterusan bukan terhenti di kertas undi dan parlimen. Itu hanyalah kaedah yang ada pada masa ini.

32.  Sebagai agama murni dan hanif, 'adil dan hanya tertegak atas keadilan beserta hujjah, dan benckan kezaliman, ia tidak sesekali meredhoi wujudnya penindasan dalam apa jua keadaan sekalipun, walau kononnya atas nama untuk kuatkan Islam sekalipun. 

Saya malu, sebagai penganut aqidah Islam ini jika agama saya ini tidak mampu berdiri atas sistem yang 'adil itu.

Ayuh Ikhwah seperjuangan;

Percayalah sahabatku semua dari mana pertubuhan sekalipun; atau yang tidak menganggotai apa sekalipun; komposisi Islam mempunyai masa depan sangat cerah dalam negara kita tatkala keadilan dalam demokrasi itu ditegakkan. 

 Itu janji Allah. Untung utamanya dengan keadilan itu ditegakkan adalah tetap pada bangsaku Melayu yang beragama Islam ini.

Begitulah juga tidak nilainya kamu anda terus berkokok "ISMA sayang PAS", "ISMA sokong PAS calon PAS tulen dalam PRU13", "ISMA sangat benci UMNO", tapi natijah perbuatan membohonginya. Kata nabi; "berkatalah yang baik, atau pun diam". 

Yakin itulah yang terbaik buat ISMA pada masa ini jika masih segan-silu nak ucap "ISMA sayangkan UMNO" demi Melayu sekalipun.

Fahamilah perpaduan sebenar; adakah setakat menyelamatkan beberapa kerat pembesar UMNO yang kelemasan tersebut, atau mahu selamatkan bangsa Melayu dan Islam? 

Apa pula yang ISMA faham erti perpaduan yang Allah nukilkan? Cukuplah pesanan Rasul untuk setiap Muslim tidak jatuh dalam lubang sama dua kali. Bukan disebabkan sakitnya jatuh itu, tapi rugi dalam perjuangan yang dilalui ini.

Juga takutilah ayat Allah; tatkala si Muslim tidak mahu lagi perjuangkan kebenaran dan keadilan, si Muslim pula bercakap isu perpaduan melebihi seruan Allah, maka pada masa itu Allah bakal gantikan mereka yang lain. Di mana kamu ketika itu?

Ikhwah yang dirahmati;

Tulisan saya pasti mengguriskan ramai rakan yang rapati sejak 2005 tatkala kamu baru mahu bertatih. Disebabkan saya kenali kamu, sejarah lahir kamu, dan saya sayang saudara seperjuanganlah, maka saya hulurkan cebisan ubat yang pahit ini.

Saya tanam dan pegang dalam diri konsep "nata'awun fimat tafaqna, wana'dhoru fi makhtalafna..."(bekerjasama dalam perkara yang disepakati, dan berlapang dada dalam perbedaan pendapat). Saya pegang sungguh disiplin itu dalam setiap 'amal dan tarbiyyah selama ini, berhadapan dengan pelbagai perbezaan dan jama'ah Islam.  

Saya sanggah siapa sahaja yang tidak melaksanakannya, walau sahabat-sahabat saya!. Namun itu bukanlah suatu yang memberhentikan saya dari menegur kamu apabila telah terlampau!

Seruan saya jika "sayang", maka berjumpalah dan bercakaplah! Tak usahlah lagi kamu berdolak-dalik malah berbohong dalam FB dan tulisan "dah pernah berjumpa", "dah hubungi orang itu dan ini", "kami mahu jumpa tapi PAS tidak mahu jumpoa kami", dan entah macam-macam lagi alasan.

Berfikir sebelum bercakap, dan ber'amal dengan faham.

Wallahu'alam.

1 comment:

MuZaKKiR said...

salam..grafik pada fraf agak kabur..ada tak gambar graf yang lebih jelas? tak dapat nak baca info2 berharga dalam graf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...