Sunday, January 22, 2012

Imam Ali Zainal Abidin - Cicit Rasulullah s.a.w.

 
 Makam Imam Ali Zainal Abidin

Imam Ali Zainal Abidin adalah cicit Rasulullah SAW dan anak Sayyidina Hussain RA (semoga Allah SWT meredhai mereka). Beliau diberi julukan ‘Abal Hasan’ atau ‘Abal Hussain’. 

Beliau juga mendapat julukan ‘As-Sajjad’ (orang yang ahli sujud). Beliau juga merupakan satu-satunya putera Sayyidina Hussain RA yang terselamat ketika tragedi Karbala, di mana bapanya, Sayyidina Hussain RA telah syahid akibat dipenggal kepalanya oleh tentera Yazid bin Muawiyah setelah dikepung dan dizalimi.

Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Abu Talib RA merupakan saudara kandung Sayyidina Hasan RA dan Sayyidina Hussain RA. 

Ini bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum. 

Beliau adalah seorang yang ahli ibadah dan hamba yang amat taat kepada Allah SWT. Beliau meninggalkan segala sesuatu kecuali Tuhannya dan berpaling dari yang selain-Nya, serta yang selalu menghadap-Nya. 

Hati dan anggota tubuhnya diliputi ketenangan kerana ketinggian makrifahnya kepada Allah SWT, rasa hormatnya dan rasa takutnya kepada-Nya. 

Bercerita tentang ketaqwaan beliau, salah seorang putera beliau yang bernama Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin pernah menceritakan: “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya.”

Beliau dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 Hijrah, atau dalam riwayat lain ada yang mengatakan 38 Hijrah. Beliau adalah termasuk generasi tabi’in. Beliau juga seorang imam agung. 

Beliau banyak meriwayatkan hadis dari ayahnya (Al-Imam Hussain RA), bapa saudaranya Al-Imam Hasan RA, Jabir RA, Ibnu Abbas RA, Al-Musawwir bin Makhromah RA, Abu Hurairah RA, Shofiyyah RA, Aisyah RA, Ummu Kalsum RA, serta para ummahatul mukminin/isteri-isteri Nabi SAW (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Al-Imam Ali Zainal Abidin, mewarisi sifat-sifat ayahnya (semoga Allah SWT meredhai keduanya) di dalam ilmu, sifat zuhud dan ibadah, serta mengumpulkan keagungan sifatnya pada dirinya di dalam setiap sesuatu.

Berkata Yahya Al-Anshari: “Dia (Al-Imam Ali) adalah paling mulianya Bani Hasyim yang pernah saya lihat.” Berkata Zuhri: “Saya tidak pernah menjumpai di kota Madinah orang yang lebih mulia dari beliau.” 

Hammad berkata: “Beliau adalah paling mulianya Bani Hasyim yang saya jumpai terakhir di kota Madinah.” Abu Bakar bin Abi Syaibah berkata: “Sanad yang paling dapat dipercayai adalah yang berasal dari Az-Zuhri dari Ali dari Al-Hussain dari ayahnya, Ali bin Abi Talib.”

Kelahiran beliau dan Az-Zuhri terjadi pada hari yang sama. Sebelum kelahirannya, Nabi SAW sudah menyebutkannya. Beliau solat 1000 rakaat setiap hari dan malamnya. Beliau jika berwuduk, pucat wajahnya. Ketika ditanya kenapa demikian, beliau menjawab, “Tahukah engkau kepada siapa aku akan menghadap?.” 

Beliau tidak suka seseorang membantunya untuk menyiramkan air ketika berwuduk. Beliau tidak pernah meninggalkan qiyamul lail, baik dalam keadaan di rumah ataupun berkelana. 

Beliau memuji Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Usman (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Ketika berhaji dan terdengar kalimat “Labbaikallah…”, beliau pengsan.

Suatu saat ketika beliau baru saja keluar dari masjid, seorang laki-laki menemuinya dan mencacinya dengan keras. Spontan orang-orang di sekitarnya, baik budak-budak dan tuan-tuannya, bersegera ingin menghukum orang tersebut, akan tetapi beliau mencegahnya. 

Beliau hanya berkata: “Tunggulah sebentar orang laki-laki ini.” Sesudah itu beliau menghampirinya dan berkata kepadanya: “Apa yang engkau tidak ketahui dari diriku lebih banyak lagi. Apakah engkau memerlukan sesuatu sehingga saya dapat membantumu?.” 


Orang laki-laki itu merasa malu. Beliau lalu memberinya 1000 dirham. Maka berkata laki-laki itu: “Saya bersaksi bahawa engkau adalah benar-benar cucu Rasulullah.”

Beliau berkata: “Kami ini ahlul bait, jika sudah memberi, pantang untuk mengharapkan balasannya.” Beliau sempat hidup bersama datuknya Al-Imam Ali bin Abi Talib, selama 2 tahun, bersama pakciknya, Al-Imam Hasan, 10 tahun, dan bersama ayahnya, Al-Imam Hussain, 11 tahun (semoga Allah SWT meredhai mereka semua).

Beliau setiap malamnya memikul sendiri karung makanan di atas punggungnya dan menyedekahkan kepada para fakir miskin di kota Madinah. Beliau berkata: “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat memadamkan murka Tuhan.” 

Muhammad bin Ishaq berkata: “Sebahagian dari orang-orang Madinah, mereka hidup tanpa mengetahui dari mana asalnya penghidupan mereka. Apabila Ali bin Al-Hussain wafat, mereka tidak lagi mendapatkan penghidupan itu.”

Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah Imam Ali Zainal Abidin dimandikan, kelihatan kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab: “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!”

Beliau jika meminjamkan wang, tak pernah meminta kembali wangnya. Beliau jika meminjamkan pakaian, tak pernah meminta kembali pakaiannya. Beliau jika sudah berjanji, tidak mahu makan dan minum, sampai beliau dapat melaksanakan janjinya. 

Ketika beliau berhaji atau berperang mengenderai tunggangannya, beliau tak pernah memukul tunggangannya itu. Manaqib dan keutamaan-keutamaan beliau tak dapat dihitung, selalu dikenal dan dikenang. 

Beliau meninggal di kota Madinah pada 18 Muharram 94 Hijrah, dan disemayamkan di perkuburan Baqi’, dekat makam dari bapa saudaranya, Sayyidina Hasan RA, yang disemayamkan di kubah Al-Abbas. 

Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan 11 orang putera dan 4 orang puteri. Adapun warisan yang ditinggalkannya kepada mereka adalah ilmu, kezuhudan dan ibadah.

Wallahua'lam.

One-Ummah

1 comment:

reZAZUrien said...

Alhamdulillah, thank you for this post. Hari ni first time saya dengar pasal cicit Rasulullah, ternyata beliau amat memberi inspirasi sama seperti nendanya, atuknya, bapanya dan ahli keluarga yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...