Friday, October 14, 2011

Tulahan : Balik ke Malaysia untuk 'isteri kedua'

Salam,

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjKH-NsFryBgNDHMKHHyXwwXAgGct_Cr-u3wOO1F2wKjf-g9TEujFUWsOulHMdvfBnenthwy3wMvHN78cDB3HK2_Svh0mMfCg2FRSZrp64ojrj5A-S-npYHW4zzoffc70rAGqrKw9zbsZ0p/s1600/air-asia-airline.jpg
Sebelum berangkat keluar negara dahulu, penulis harapkan dapat balik ke Malaysia sekurang-kurangnya 6 bulan sekali untuk buat kerja jamaah. Syukurlah , setelah setahun di negara orang putih, dah dua kali penulis pulang ke Malaysia. 

Tak sampai pun 6 bulan tapi  5 bulan sekali. Kenapa bukan 6 bulan? Kerana penulis tunggu tiket murah Air Asia. Balik mula – mula dulu, memang murah tapi balik kali kedua tiketnya sekali ganda dari yang dulu walaupun masih murah.

Payah dah nak dapat tiket murah Air Asia sejak Air Asia ada banyak saham dalam MAS. Dah tak wujud lagi persaingan antara dua syarikat penerbangan ini. Memang Tony Fernandes kata masih ada tiket murah, tapi dah tak sama macam dulu.

Balik kali ini, penulis beri tumpuan kepada mengerakkan jentera pilihanraya jamaah kawasan. Tak bergerakkah jentera? Bergerak , malah bagi penulis jentera pilihanraya jamaah kawasan adalah antara terbaik di Perak malah paling aktif.

Bohonglah kalau sesiapa yang tuduh jentera pilihanraya jamaah kawasan tak bergerak. Penulis tidak bersama mereka yang mengerakkan jentera, tapi penulis tahu mereka buat kerja. Bukan sikit tetapi terlalu banyak aktiviti yang mereka buat untuk menangkan jamaah dalam pilihanraya.

Jika ada sesiapa yang tuduh jentera tak bergerak, orang  berkenaan sebenarnya mempunyai niat yang tidak elok. Orang ini tak memikirkan perasaan Ajk kawasan, pemuda, muslimat, unit amal dan Nisa’ yang sanggup turun ke cawangan , masuk rumah ke rumah, berada tengah panas terik semata-mata nak daftarkan pengundi baru. 

Bukan sekali mereka buat tapi banyak kali.  Itu hanya aktiviti gempur daftar pemilih, tak masuk lagi aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan pengorbanan masa, keluarga dan  kewangan. Mereka bukanpun nak dipuji tapi hargailah apa yang mereka lakukan , bukan tahu tuduh untuk sedapkan hati.

Seperti biasa kali ini penulis kumpulkan petugas pilihanraya di cawangan ikut UPU dalam 7 zon.  Penulis ambil masa hanya 30 - 40 minit untuk taklimatkan 5 keperluan terpenting yang jentera di UPU kena lakukan untuk hadapi pilihanraya.

Taklimat penulis lebih menekankan motivasi kepada petugas di UPU supaya mereka akan bersemangat untuk buat kerja pilihanraya. Bagi penulis , semangat petugas yang masih di paras rendah perlu dinaikkan dengan memberikan sesuatu input yang positif bukan negatif. Jika negatif, semangat petugas yang rendah akan menjadi semakin lemah.

Syukurlah, dari 49 cawangan dalam kawasan . Hanya 3 cawangan yang tak hantar wakil petugas hadiri taklimat. Selepas talimat zon, sudah ada UPU yang buat mesyuarat untuk tubuh UPU, tubuh semula UPU, kemaskini jentera UPU bagi yang dah tubuh. 

Maksudnya, petugas di UPU sudah ada semangat untuk menghadapi pilihanraya. Hanya beberapa UPU yang perlu diberi perhatian dan bantuan oleh jentera MTD. 


Peluang balik kali ini juga penulis cuba usaha proses baki 11 cawangan yang masih belum hantar penyata mesyuarat agung ke pendaftar pertubuhan. Cuba selesaikan masalah 3 cawangan yang gagal buat mesyuarat agung . 

Penulis berjaya dapat dari 7 cawangan penyata mesyuarat agung , diproses dan dihantar ke pendaftar pertubuhan. Berjaya susun semula organisasi 2 cawangan yang tak buat mesyuarat agung melalui perjumpaan dengan beberapa Ajk cawangan . 

Cuma penulis tidak berkesempatan kerana kekurangan masa untuk turun selesaikan masalah organisasi untuk satu lagi cawangan yang tak buat mesyuarat agung. Memang penulis berharap kepada Penolong SU untuk selesaikan perkara ini sebelum penulis balik kali pertama dulu. Tapi, penulis tahu beliau belum mampu dan perlu buat banyak kerja lain. 

Penulis tak salahkan Penolong SU kerana beliau masih muda dan pengalaman masih kurang. Apa yang penulis buat adalah membantunya mendapatkan pengalaman selesaikan masalah cawangan.  

Begitu juga apa yang penulis buat untuk bantu Su Jentera Pilihanraya jamaah kawasan yang masih baru dan tiada pengalaman.  Apabila masih tiada pengalaman, menjadi tugas sesiapa yang berpengalaman untuk bantu mereka bukan ‘kondem’ mereka.

Penulis tak mahu apa yang penulis alami turut dialami oleh mereka. Semasa penulis yang tiada pengalaman mula pegang SU Jentera Pilihanraya dan Bilik Gerakan , ada individu yang berpengalaman sengaja minta Pengarah MTD ‘pekena’ penulis buat taklimat pilihanraya kepada petugas MTD. Sedangkan , individu berkenaan sendiri boleh bagi taklimat berkenaan, tak perlu ‘pekena’ penulis.

Banyak perkara yang penulis tunjuk ajar kepada mereka yang baru, bukan nak tunjuk pandai tapi nak bantu mereka. Mereka perlu dibimbing dengan pengalaman yang kita ada supaya ilmu mengerakkan jentera ini berterusan untuk kepentingan jamaah. 

Penulis memang kecewa kerana gagal untuk hidupkan semula organisasi satu cawangan . Masa 3 minggu memang tak mampu bagi penulis. Tapi, penulis lebih kecewa apabila melihat ada Ajk kawasan yang bersungguh ambil masa untuk selesaikan masalah cawangan bermasalah hanya kerana seorang individu bermasalah .

Sedangkan , semua tahu individu berkenaan tidak selesai menimbulkan masalah kerana sudah diketahui sejarahnya. Jika , ajk kawasan sanggup turun ke cawangan disebabkan individu bermasalah ini , kenapa tidak kepada cawangan lain yang ada masalah wujudkan organisasi.

Bertindak adillah kepada 48 cawangan lain. Meraikan cawangan adalah membantu cawangan supaya tersusun organisasinya, aktif aktivitinya. Meraikan  cawangan bukanlah merai individu bermasalah dalam cawangan.


Penulis dapat hadir mesyurat Lujnah Kebajikan, lujnah yang penting dalam gerakan kebajikan jamaah kawasan. Alhamdulillah, bila penyata dibentangkan dana lujnah sentiasa bertambah setiap bulan. Melalui berita kebajikan yang keluar dalam akhbar harian, blog,web dan facebook jamaah kawasan. Ramai yang menderma dan memberi infaq kepada lajnah.

Inilah berkah kerana ketelusan dan bantuan berterusan lajnah kepada orang yang layak menerima bantuan. Allah telah mengerakkan hati-hati manusia untuk menyumbang melalui lajnah. Cuma ada masalah Bendahari yang baru dilantik jatuh sakit. Terpaksalah Pengerusi lajnah ambil tugas Bendahari untuk sementara. 

Penulis amat berharap dana kebajikan ini terus dikeluarkan kepada yang berhak menerimanya. Jangan disekat kerana takut berkurangan kerana dana akan terus bertambah seiring sumbangan yang dikeluarkan untuk aktiviti kebajikan dan orang yang berhak menerimanya.

Dalam keadaan masa terhad , penulis ambil sikit masa sebelum balik berjumpa dengan orang Cina , nak tahu sendiri dari mulut mereka tentang khidmat wakil rakyat. Penulis tak mahu dengar dari mulut Ajk kawasan yang rapat dengan orang Cina sahaja. 

Bila dengar sendiri, penulis bagi tahu kepada jamaah kawasan apa yang penulis dengar dan apa kesimpulan penulis tentang pandangan orang Cina kepada wakil rakyat.  

Memang tak semua yang penulis dapat tolong, sekurang-kurangnya dengan sedikit kerja ini mampu membantu kawan-kawan lain mengerakkan jamaah. 

3 minggu di Malaysia, blog, web dan facebook jamaah tak mampu penulis update sekerap di luar negara . Hanya jika ada masa pergi kedai CC yang laju internetnya untuk update, tak apalah untuk sementara sahaja.

Bila balik semula ke negara orang putih , lain pula ceritanya. Bila dah kerap balik Malaysia , lama pula tu maka ada yang tak faham tentang jamaah buat ‘gosip’ penulis balik untuk isteri kedua. Sebab apa boleh jadi ‘gosip’ itu ? kerana sebelum ini memang ada yang kerap balik ke Malaysia sebab ada isteri kedua.

Penulis tak kisah sangat sebab semasa penulis balik 2 minggu sekali dari Pahang pun , ‘gosip’ yang sama timbul. Biarlah mereka nak buat 'gosip' kerana mereka tidak tahu bahawa 'isteri kedua' penulis adalah jamaah. 

Bukan salah mereka kerana mereka tidak faham tentang perjuangan Islam, tentang pengorbanan untuk jamaah, tentang tuntutan berjihad.  

Bukan sahaja mereka yang tak tahu tentang perjuangan, yang duduk dalam jamaah pun ramai yang tarbiyahnya tak sampai ke situ. Bagi mereka tak boleh diterima akal , balik buang duit semata-mata nak buat kerja jamaah. Sebab itu, ada yang buat tuduhan yang tidak patut . 

Jika nak ikut apa orang kata, tak jadi kerja kerana mulut manusia tak boleh ditutup. Yang penting tarbiyah kepada ahli jamaah wajib dilaksanakan untuk tingkatkan kefahaman berjamaah. 

Penulis bangga sebab jamaah kawasan satu-satunya di Perak yang berjaya mengendalikan kursus Diploma ILHAM yang tak lama lagi akan tamat pengajiannya selama 2 tahun. 

Ramai yang akan terima Diploma ILHAM di Parit Buntar, maka ramailah yang faham perjuangan yang mampu bantu lajnah tarbiyah dan lajnah lain mengerakkan jamaah.

Kemasukan baru peserta kursus diploma ini sedang dibuka. Ramainya, terhad kepada 40 peserta. Harap lebih ramai yang akan mengambilnya. Yang belum faham perjuangan tapi dah lama berjuang , ambillah diploma ini kerana banyak memberi  kefahaman tentang perjuangan. Selamat Berjuang……….

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...