Oleh          Dr. Ubaidullah Mustaffa          
        
 
        
(Waktu malam di bandaraya Christchurch, New Zealand)
SAYA amat terkejut apabila mendapati email saya dipenuhi dengan mesej dari pembaca artikel bertajuk New Zealand sebagai model Negara Kebajikan.
Tidak mungkin saya dapat membalas semua mesej tersebut tetapi saya akan cuba membalas dalam penulisan saya seterusnya.
Apa yang menarik ialah mesej diterima dari pelbagai bangsa Malaysia termasuk dari Sabah, Sarawak dan juga dari rakyat Malaysia yang sedang merantau di seluruh dunia tanpa mengira sempadan fahaman politik.
Setelah 
meneliti semua mesej pembaca saya membuat kesimpulan bahawa  rakyat 
mahukan Malaysia mengamalkan konsep negara kebajikan secara  ikhlas 
serta disuntik dengan sifat kasih sayang di antara kerajaan  dengan 
rakyat.
Gempa bumi di Christchurch masih belum reda. Setiap hari
 bumi  Christchurch bergegar di antara 2 -3 kali. Saya dapat mengecam 
gempa  bumi akan berlaku apabila terdengar bunyi yang menakutkan 
memenuhi  atmosfera bumi. 
Bunyi seperti benda berat lagi besar bergerak 
di perut  bumi dan benda itu rasanya amat dekat dengan tapak kaki saya. 
Beberapa  saat selepas bunyi itu kedengaran maka bergegar dan bergoyang 
semua yang  ada di sekeliling saya.  
Kejadian 
gempa bumi selalunya  tidak lama. Ada yang tidak sampai 5 saat dan yang 
paling lama saya  rasai ialah lebih kurang 15 saat. Selepas gempa bumi 
kuat, air bawah tanah akan melimpah keluar  bersama-sama lumpur. 
Kadang-kadang mengakibatkan banjir lumpur. Bekalan  letrik dan bekalan 
air akan terputus. Namun begitu pihak kerajaan New  Zealand pantas 
bertindak. Bekalan letrik dan air dapat disambungkan  semula dalam 
tempoh beberapa jam sahaja kecuali dalam kes-kes teruk  terpaksa 
mengambil masa melebihi 24 jam untuk dipulihkan.
Gempa bumi tapi air percuma
Walau
 pun dilanda gempa bumi bekalan air bersih di New Zealand adalah  
percuma. Salah seorang petugas gempa bumi memberitahu saya bahawa air  
adalah keperluan asas rakyat dan segala kehidupan di muka bumi ini.
 
Berasaskan fakta itu, kerajaan dan rakyat New Zealand bersetuju  bahawa 
air perlu diberi percuma kepada rakyat. Pihak kerajaan  menggunakan dana
 negara yang dikutip melalui sistem pencukaian negara  untuk menyediakan
 bekalan air percuma.
Satu penyelesaian yang amat mudah  
difahami kerana dilakukan atas dasar kasih sayang antara kerajaan dan  
rakyat. Semua rakyat termasuk anggota kerajaan sendiri akan mendapat  
manfaat dari niat baik yang diterjemahkan dalam bentuk perbuatan.
Terkenang
 saya di negara sendiri tentang isu air. Hujan di negara  kita jauh 
lebih lebat dan lebih banyak dari New Zealand kerana negara  kita adalah
 negara di zon tropika. Tambahan lagi negara kita tidak ada  masalah 
gempa bumi seperti New Zealand. 
Tapi malangnya air di negara  kita 
terpaksa dibayar. Lebih ironi lagi harga air boleh diumumkan naik  oleh 
pihak tertentu jika perlu mengikut kontrak perjanjian tertentu.
Terdapat
 usaha kebajikan beberapa kerajaan negeri untuk memberi air  percuma 
kepada rakyat tapi dihalang oleh Kerajaan Persekutuan dengan  pelbagai 
cara. 
Jika Kerajaan Persekutuan tidak mahu mengamalkan konsep  negara 
kebajikan jangan pula menghalang Kerajaan Negeri untuk berbuat  
kebajikan. Kerajaan Pusat tidak bersetuju memberi air percuma pada  
rakyat kononnya bimbang negara akan bankrupt. 
Apa yang dapat kita  
perhatikan bahawa negara New Zealand tidak menjadi bankrupt kerana  
memberi air percuma kepada rakyatnya.
Jelas sekali isu negara
 kebajikan  berkaitan air telah dipolitikkan dan diniagakan sehingga 
menyebabkan  rakyat dinafikan hak kebajikan mereka. Di New Zealand tidak
 ada pengerusi bekalan air yang dibayar gaji  ratusan ribu sebulan atau 
jutaan ringgit setahun. 
Malah tidak ada negara  di dunia ini yang 
membayar gaji pengerusi bekalan air beratus-ratus  ribu sebulan dan 
apabila dicampur untuk setahun akan menjadi jutaan  ringgit. Rakyat 
bukan membayar kos rawatan air tetapi membayar gaji  pengerusi bekalan 
air.
Rakyat perlu ingat bahawa negara kebajikan adalah  hak 
rakyat yang perlu ditunaikan tanggungjawab tersebut oleh kerajaan  yang 
dipilih oleh rakyat. 
Jikalau makanan ruji rakyat New Zealand ialah 
beras, saya yakin  kerajaan New Zealand akan memberi beras percuma 
kepada rakyatnya atau  harga beras yang paling rendah supaya tidak 
menjadi beban pada  rakyatnya. 
Sangkaan saya tidak meleset kerana pada 
hari ini tanggal  22/7/2011 kerajaan New Zealand telah mengumumkan harga
 susu segar dan  cheese diturunkan di antara NZD$0.50 sehingga NZD$1.00 
mengikut gred  tertentu. Sudah tentu rakyat New Zealand sayang pada 
kerajaan mereka  kerana menjaga kebajikan mereka.
 (Masjid An-Nur yang terletak di Deans Avenue, Christchurch, New Zealand)
(Masjid An-Nur yang terletak di Deans Avenue, Christchurch, New Zealand)
Mari kita bandingkan dengan negara kita. Harga barangan di negara kita selalu naik dan tidak pernah turun.
Kerajaan
 kita sibuk bermain politik, sibuk berada di mercu kuasa,  sibuk menapis
 video lucah, sibuk mencari saksi dan bukti kes peguam,  sibuk dengan 
publisiti memuji diri sendiri sehingga lupa kebajikan  rakyat yang telah
 mereka janjikan dalam manifesto mereka dulu. Sudah  tentu timbul 
perasaan benci rakyat terhadap kerajaan.
Perasaan benci  
tersebut bukan kerana dihasut fahaman politik dan bukan benci bersifat  
peribadi, Perasaan benci rakyat terhadap kerajaan ialah kerana mereka  
gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat. 
Apabila 
kerajaan sibuk berada di mercu kuasa maka kelemahan diri  tidak dapat 
dilihat lagi. Segala cermin yang ada di hadapan mereka tidak  
menunjukkan cacat cela.
Segala teguran rakyat terhadap mereka 
dianggap  permusuhan. Mereka lupa bahawa cermin sebenar mereka ialah 
rakyat kerana  mereka juga adalah rakyat. Jangan dikasari cermin itu 
kerana bimbang  cermin itu akan pecah di mana kaca cermin itu akan 
melukakan diri  sendiri. 
Salah seorang rakan saya telah meninggal  dunia
 kerana menumbuk  cermin dan urat darah dipergelangan tangan putus 
semasa ia menarik  tumbukan keluar dari serpihan kaca yang pecah.
Aku Tuan Kamu Hamba
Semua
 rakyat menolak pelaksanaan negara kebajikan yang berasaskan  semangat 
tuan dengan hamba di mana kerajaan mahu dihormati sebagai tuan  serba 
pandai dan rakyat dilayan sebagai hamba serba bodoh dan jahil. 
Rakyat 
dilayan kerajaan seperti hamba di mana mereka dinafikan hak-hak  yang 
dibenarkan Perlembagaan serta menganggap diri mereka mengetahui  
segala-galanya. Hanya mereka tidak mengaku diri mereka sebagai tuhan  
sahaja.
Tindak tanduk serta percakapan mereka menunjukkan hati 
dan jiwa  mereka tidak ada sifat kasih sayang terhadap rakyat. Tidak 
mungkin  seorang tuan akan memberi kasih sayang kepada seorang hamba. 
Mereka hanya mengaku bahawa mereka adalah hamba rakyat semasa kempen  
pilihanraya sahaja. Apabila telah menang pilihanraya dan diberi kuasa  
oleh rakyat maka pada waktu itu mereka akan memperhambakan rakyat demi  
kepentingan peribadi dan politik mereka.
Apabila kerajaan 
berjanji akan  melaksanakan negara kebajikan atau telah melaksanakan 
negara kebajikan  maka ingatlah bahawa lidah tidak bertulang. Negara 
kebajikan tidak akan  wujud tanpa diiringi oleh perasaan kasih sayang di
 antara kerajaan  dengan rakyat.
Publisiti: Kerajaan jadi macam artis
Apa
 yang menarik hati saya ialah kerajaan New Zealand tidak pernah  membuat
 publisiti pada dunia tentang pelaksanaan dasar sebuah negara  
kebajikan. 
Mereka tidak bercakap banyak tapi bekerja memenuhi  
tanggungjawab terhadap rakyat sebagai sebuah kerajaan yang dipilih  
rakyat. Mereka bekerja memenuhi janji-janji dalam manifesto mereka. Masa
  bercakap telah tamat. Tiba pula masa bekerja.
Terbalik dengan 
negara kita di mana banyak bercakap kurang bekerja.  Masa bercakap tidak
 ada titik tamat. Sangat rajin membuat publisiti  seperti artis 
mempromosi album untuk meningkatkan jualan dan menang  anugerah. 
Dunia 
tidak sedar pun bahawa kerajaan New Zealand sangat  menjaga kebajikan 
rakyatnya serta sesiapa sahaja yang diterima sebagai  pemastatutin di 
New Zealand. 
Kerajaan New Zealand tidak membuat  publisiti kerana mereka
 sedar melaksanakan dasar negara kebajikan adalah  tanggungjawab 
kerajaan.
Semasa pilihanraya kerajaan membentangkan manifesto 
sebagai janji  untuk memenuhi tanggungjawab. Setelah dipilih menjadi 
kerajaan, maka  menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan manifesto 
tersebut. 
Sebagai  contoh, tidak ada ibu-bapa yang membuat publisiti 
apabila melaksanakan  tanggungjawab terhadap keluarga.
Tidak ada 
anak-anak yang membuat publisiti apabila melaksanakan  tanggungjawab 
terhadap ibu-bapa. Begitu juga dengan suami yang  melaksanakan 
tanggungjawab terhadap isteri atau sebaliknya. 
Publisiti  tidak sesuai 
dalam urusan tanggungjawab. Malangnya, terdapat kerajaan  yang tidak 
memahami konsep tanggungjawab.terhadap rakyat termasuk di  negara kita 
sendiri.
Tanggungjawab mesti ditunaikan sama ada suka atau tidak.
 Tidak ada  pilihan dalam menunaikan tanggungjawab. Tidak perlu buat 
publisiti dan  tidak perlu minta dipuji. Kalau tidak mahu melaksanakan 
tanggungjawab  terhadap rakyat maka tidak perlu menjadi kerajaan. 
Mesej 
ini amat  difahami oleh ahli-ahli politik di New Zealand tetapi mungkin 
tidak  begitu dihayati oleh ahli-ahli politik di tanahair.
Kerajaan bukan maharaja
Kerajaan
 juga adalah golongan rakyat yang dipilih rakyat dalam sistem  
pilihanraya. Maka rakyat yang telah dipilih menjadi kerajaan jangan  
lupa diri tentang status rakyat mereka dan tanggungjawab yang telah  
dijanjikan semasa berkempen. 
Rakyat memberi mereka undi kerana percaya  
mereka akan melaksanakan tanggungjawab bukan kerana suka-suka. Jangan  
pula lupa diri dan menganggap diri mereka sebagai maharaja paling  
berkuasa, membuat tafsiran hukum undang-undang demi kepentingan politik 
 sendiri, menyalah guna instrument kuasa yang diberi rakyat kepada 
mereka  atau menyakiti rakyat yang lain dengan apa jua cara sekali pun.
Kini
 negara kita telah dipalit noda dosa antara kerajaan dengan  rakyat. 
Mereka lupa asal-usul bahawa mereka juga adalah rakyat dan  bukannya 
maharaja berkuasa atau raja Bersiong. 
Cerita Raja Bersiong pun  
sebenarnya adalah sindiran rakyat kepada pemimpin yang lupa diri,  
menindas rakyat, mencederakan dan membunuh rakyat sendiri, Kalau  
kerajaan sudah menjadi seperti Raja Bersiong maka rakyat akan berada  
dalam kepayahan dan darurat.
Wujudnya Keturunan Raja Bersiong
Mengikut
 cerita hikayat, Raja Bersiong lupa diri dan lupa  tanggungjawab 
terhadap rakyat sampai ke akhir hayatnya. Beliau tidak  mahu mendengar 
nasihat rakyat kerana beliau menganggap rakyat adalah  hamba yang bodoh 
lagi jahil. 
Raja Bersiong menangkap rakyatnya  beramai-ramai untuk 
diambil darah sebagai hidangan istimewa. Ada yang  cedera, ada yang 
separuh mati dan ada juga yang mati. 
Raja Bersiong  melanggar hak asasi 
manusia tetapi pada zaman itu tidak ada  undang-undang memelihara hak 
asasi manusia.
Pada zaman moden ini pun terdapat kerajaan yang 
mempunyai perangai  sama seperti Raja Bersiong. Mereka melanggar hak 
asasi manusia di atas  nama undang-undang. 
Kerajaan mencedera rakyat dan
 membunuh rakyat di  atas nama perlembagaan dan perundangan. Mereka 
menghalalkan pertumpahan  darah, bertindak kejam pada rakyat sendiri dan
 mengistihar perang ke  atas rakyat sendiri.
Barangkali keturunan
 Raja Bersiong masih ada di negara kita kerana  Raja Bersiong adalah 
cerita dari negara kita sendiri. Mungkin Raja  Bersiong pun akan guna 
senapang, gas pemedih mata atau water cannon  sekiranya teknologi 
tersebut ada pada waktu itu untuk memberhentikan  kebangkitan dan 
kemarahan rakyat terhadapnya. 
Kalau Raja Bersiong ada  mahkamah pada 
waktu itu mungkin dia akan menggunakan instrument  perundangan untuk 
mengajar rakyat supaya takut untuk melawannya. Mungkin  mahkamah Raja 
Bersiong akan dipenuhi kes-kes politik yang bertangguh  kerana mencari 
bukti yang direkacipta olehnya sendiri.
Tidak mungkin kerajaan 
seperti Raja Bersiong akan berjaya  melaksanakan negara kebajikan kerana
 dalam jiwanya tiada perasaan kasih  sayang terhadap rakyat tetapi 
menganggap dirinya tuan yang serba pandai  dan rakyat sebagai hamba 
bodoh lagi jahil. 
Akhirnya rakyat menghalau  Raja Bersiong yang sempat 
melarikan diri entah ke mana. Jikalau negara  kita terdapat kerajaan 
keturunan Raja Bersiong maka menjadi  tanggungjawab kita semua untuk 
menghalau keturunan Raja Bersiong  tersebut. Raja Bersiong dan 
keturunannya tidak layak menjadi kerajaan  untuk negara kita yang 
tercinta.
Kebajikan Misi Nombor wahid kerajaan
Melaksanakan
 negara kebajikan adalah tanggungjawab kerajaan yang  dipilih rakyat. 
Rakyat memilih kerajaan bukan untuk menembak gas pemedih  mata ke arah 
mereka atau water cannon atau dibelasah dengan belantan  atau disepak 
terajang atau di tampar tumbuk tetapi untuk menjaga  kebajikan rakyat.
Pada
 kerajaan New Zealand kebajikan rakyat adalah misi nombor wahid  mereka.
 Mereka menganggap kebajikan bukan sekadar memberi bantuan  material 
tetapi merangkumi perlindungan, memberi promosi dan peningkatan  taraf 
ekonomi serta kebahagiaan sosial setiap warga negara termasuk  juga 
pelarian yang telah diberi status mastatutin atau sesiapa sahaja  yang 
telah dianugerah status mastautin.
Kerajaan New 
Zealand percaya bahawa negara kebajikan mesti berasaskan  prinsip 
peluang yang sama rata (equality of opportunity), agihan  kekayaan 
negara secara sama rata (equitable distribution of wealth) dan  tanggungjawab  awam terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
tanggungjawab  awam terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
 tanggungjawab  awam terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
tanggungjawab  awam terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
(Hagley
 Park adalah taman rekreasi yang luas di tengah    bandaraya 
Christchurch, New Zealand. Masjid An-Nur terletak di hadapan    Hagley 
Park)
Proses  kebajikan mungkin melibatkan sumber 
kewangan secara langsung dari tabung  kewangan negara atau melalui 
perkhidmatan yang diberikan seperti  perkhidmatan kesihatan dan 
pendidikan atau kedua-dua sekali.
Kebajikan di New Zealand melibatkan pemberian bantuan kewangan kepada individu yang memerlukan melalui sistem agihan cukai.
Menurut
 undang-undang sosial New Zealand, ibu-bapa mesti meluangkan  masa untuk
 membawa anak-anak beriadah pada setiap hari Sabtu dan Ahad.  Jika tidak
 membawa anak-anak beriadah merupakan satu kesalahan di sisi  
undang-undang. 
Pihak kerajaan tidak terus menguatkuasa undang-undang  
tersebut. Mereka memperkenalkan skim basikal percuma kepada setiap  
keluarga yang mempunyai anak-anak.
New Zealand beri basikal percuma
Pada
 mulanya agensi kebajikan kerajaan menghantar dua buah basikal  percuma 
lengkap dengan helmet ke rumah saya untuk dua orang anak lelaki  saya 
yang berusia 12 tahun dan 13 tahun. 
Basikal dan helmet untuk lelaki  
berbeza dengan basikal dan helmet untuk perempuan. Menjadi kesalahan  
jika lelaki mengguna basikal perempuan dan begitu juga sebaliknya. Dua  
hari kemudian mereka menghantar dua buah basikal lagi ke rumah saya. 
 
Rupa-rupanya mereka memberi basikal itu satu untuk saya sendiri dan satu
  lagi untuk isteri saya supaya dapat beriadah bersama-sama dengan  
anak-anak. Saya rasa terharu sangat menerima semua basikal percuma  
tersebut.
Setiap hari waktu subuh saya akan menaiki basikal 
tersebut ke masjid  untuk berjemaah subuh. Saya tidak lagi menaiki 
kereta ke pusat bandar  kerana lebih gemar menaiki basikal kesayangan 
saya itu. 
Setiap hari  Sabtu dan Ahad seluruh ahli famili saya pasti ke 
Hagley Park untuk  beriadah. Jikalau kerajaan New Zealand tidak memberi 
saya dan isteri  basikal tentu kami tidak dapat mengejar kelajuan 
basikal tunggangan  anak-anak.
Jangan kedekut dengan rakyat
Pemikiran
 kerajaan New Zealand tentang negara kebajikan melampau  batas pemikiran
 kita kerana pemikiran mereka berasaskan kasih sayang dan  bukannya 
publisiti politik semata-mata. Terkenang saya pada negara  sendiri.
 
Semenjak zaman YM Tunku Abdul Rahman sehingga zaman YAB Dato’  Seri 
Najib Tun Razak, saya tidak pernah menerima sebuah basikal percuma  pun 
dari kerajaan. Famili saya pun tidak pernah menerima basikal percuma  
dari mereka. 
Mungkin zaman YM Tunku Abdul Rahman adalah zaman  
kemiskinan. Kerajaan tidak mampu untuk menghadiah basikal kerana basikal
  pun mungkin tidak banyak pada waktu itu.
Zaman kebangkitan 
industri dan kekayaan ekonomi semasa era  pemerintahan Dr. Mahathir pun 
saya tidak menerima basikal untuk tujuan  kebajikan dan memupuk kasih 
sayang keluarga secara beriadah  bersama-sama. Tidak ada sebuah basikal 
pun yang saya terima di zaman  pemerintahan Tun Hussein Onn dan Pak Lah.
Barangkali
 idea memberi basikal kepada rakyat tidak pernah timbul  dalam benak 
pemikiran mereka sebagai salah satu langkah kebajikan yang  dapat 
memupuk perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga sebagai unit  penting
 dalam sebuah Negara yang mahu maju di masa hadapan. 
Saya pernah  
menderma basikal sebanyak 20 buah sempena Hari Keluarga Dewan Bandaraya 
 Kuala Lumpur (DBKL) dahulu apabila diminta berbuat demikian oleh  
kakitangan DBKL. 
 Mungkin kakitangan DBKL tersebut tersalah tempat  
meminta derma basikal untuk ahli keluarga kakitangannya kerana saya  
bukan badan kebajikan kerajaan dan saya bukan wakil rakyat kerajaan.
Barangkali
 Visi 2020 kerajaan dipenuhi publisiti minta dipuji dan  angan-angan 
yang tidak realistik sehingga perkara yang realistik pun  tidak mampu 
dilaksanakan demi kebajikan rakyat, Jika negara mampu  membina kilang 
kereta sudah tentu negara mampu membina kilang basikal  untuk rakyat. 
Isu basikal adalah isu kecil tetapi isu memupuk perasaan  kasih sayang 
dalam keluarga adalah isu besar. Perasaan kasih sayang  keluarga tidak 
cukup sekadar mendengar ceramah di RTM1 atau RTM2. 
Lagi  pun 
siaran-siaran yang dipaparkan di RTM1 dan RTM2 tidak diminati rakyat  
kerana dipenuhi propaganda dan publisiti. Propaganda dan publisiti  
membuatkan rakyat muak untuk menonton rancangan di RTM1 dan RTM2. 
Lagi  
pun kualiti penerbitan rancangan di RTM perlu diperbaiki jika mahu  
berperanan secara berkesan dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.
Lebih
 memeranjatkan saya lagi ialah setiap tiga bulan agensi  kebajikan New 
Zealand akan menghantar beberapa orang mekanik basikal  untuk 
memperbaiki basikal rosak secara percuma. 
Alat ganti basikal yang  rosak
 ditukar secara percuma. Kita boleh menukar basikal lain jika kita  
mahu. Agensi kebajikan akan memilih satu pusat komuniti untuk tujuan  
servis basikal. 
Maka pada hari tersebut ibu-bapa akan menjadi sibuk  
membawa basikal masing-masing untuk diperbaiki atau ditukar. Satu pesta 
 yang sangat unik di Christchurch walau pun dilanda gempa bumi setiap  
hari.
Ternakan pastoral di Amberly

Musim
  sejuk New Zealand datang lagi. Pada waktu malam suhu boleh jatuh  
sehingga paras negatif tetapi yang anehnya tidak ada salji yang turun.
(Salji di Mt. Hutt dalam daerah Canterbury, New Zealand merupakan tempat tumpuan pelancong dari luar dan dalam negara)
Bumbung
 dan cermin kereta yang diletakkan dibahu jalan terdapat ais  membeku 
tetapi bukan salji yang biasa saya lihat di benua Eropah.  Barangkali 
musim sejuk di hemisfera selatan agak berbeza dari benua  Eropah di 
hemisfera utara.
Saya memang suka melihat salji turun kerana ia 
membuat jiwa saya  tenang memikirkan kebesaran Allah swt yang 
menurunkannya dari langit  luas tiada bertiang tiada sempadan. 
Kerinduan
 saya terhadap salji  terubat jua apabila kelihatan salji putih melitupi
 puncak-puncak gunung  semasa saya dalam perjalanan ke Amberly di utara 
daerah Caterbury di New  Zealand.
Saya ke Amberly untuk meninjau 
sistem ternakan ruminen iaitu haiwan  ternakan makan rumput seperti 
kambing, lembu dan rusa. Ladang Amberly  terbentang luas,  indah dan 
kemas ditanam rumput berkualiti tinggi  sebagai padang ragut ternakan 
ruminen. 
Penternak ruminen memberitahu  saya bahawa rumput adalah 
makanan murah untuk ternakan ruminen. Menanam  rumput sebagai sumber 
makanan ruminen hanya tinggi pada peringkat awalan  tetapi akan menjadi 
semakin ekonomik pada jangka masa panjang. 
Menanam  rumput berkualiti 
tinggi (pastoral) sebenarnya adalah input pertanian  yang ekonomik untuk
 ternakan ruminen jangka panjang berbanding dengan  sistem feedlot.
Kesannya
 ialah kos output pertanian akan menjadi rendah. Maka petani  dapat 
menjual hasil pertanian di pasaran dengan harga yang rendah juga. 
 
Mekanisme inilah yang membuatkan bahan mentah makanan di New Zealand  
lebih murah dari Malaysia serta lebih segar dan berkualiti tinggi  
bertaraf dunia.
Apa yang menghairankan saya ialah negara kita 
mahu berjaya dalam  industri ternakan dengan cara sistem feedlot. Lembu 
diberi makan dedak  sawit dan daun sawit. 
Oleh kerana tidak ada pilihan 
maka lembu terpaksa  makan dedak sawit atau daun sawit yang dihancurkan.
 Kaedah feedlot tidak  sesuai dengan sifat lembu yang suka ragut rumput 
segar. 
Dalam konteks  ini semua jenis ruminen gemar meragut rumput segar
 bukan makan dedak  sawit, atau daun sawit yang dikisar atau rumput yang
 dipotong. Rumput  yang dipotong cepat layu dan hilang kandungan airnya.
Jangan jadi hamba lembu kambing
Lagi
 pun haiwan ternakan kuat makan rumput. Setakat mana manusia  mampu 
untuk melayan haiwan ternakan dengan memotong rumput setiap hari  untuk 
dihidangkan pada ternakan di feedlot. 
Lebih baik membiarkan haiwan  
meragut sendiri rumput dari dihidang oleh penternak. Jangan jadi hamba  
lembu dan jangan jadi hamba kambing. 
Feedlot digunakan semasa peringkat 
 akhir penternakan iaitu sebelum disembelih atau sebelum dijual.
Kesimpulan
Sebelum
 kerajaan memberi basikal percuma kepada rakyat untuk beriadah  adalah 
lebih baik jika kerajaan membasmi masalah anjing liar dahulu.  Rakyat 
New Zealand yang pernah melancong ke Malaysia kehairanan melihat  begitu
 banyak anjing liar di Malaysia. Rakyat New Zealand memang suka  anjing 
tetapi mereka tidak suka anjing liar. 
Mereka kehairanan mengapa  Pihak 
Berkuasa Tempatan (PBT) menternak begitu banyak anjing liar. Salah  
seorang pelancong yang baru kembali dari Kuala Lumpur ingin kepastian  
dari saya adakah ternakan anjing liar di Malaysia termasuk dalam Wawasan
  2020.
Dalam nada seloka saya memberitahu bahawa anjing-anjing 
tersebut akan  digunakan oleh Kementerian Pertanian Malaysia untuk 
menjaga kambing,  lembu dan rusa yang akan penuh di ladang-ladang 
Malaysia dalam masa  terdekat. 
Barangkali rakan saya itu percaya kerana 
anjing memang  digunakan di New Zealand untuk membantu petani mengawal 
haiwan ternakan.
---------------------------------------
 Penulis
 kini tinggal di Chrischurch, New Zealand. Ini adalah  tulisan kedua 
beliau tentang negara kebajikan ekoran tema muktamar PAS  ke 57 Kearah 
Negara Berkebajikan. Beliau boleh dihubungi melalui   ubaidi_script@yahoo.com.my
 

No comments:
Post a Comment