Tuesday, July 12, 2011

Tulahan : Himpunan BERSIH 2.0 - Yang berani-berani dan yang takut-takut

Salam,

Penulis rasa amat rugi kerana tidak dapat bersama dalam Himpunan Bersih 2.0 yang baru berlalu. Himpunan Bersih 2007 penulis dapat hadir , dapat la bau air asid tapi tak kena pun. 

Tinggal di bandar negara orang putih , yang masih tak ramai pelajar dan rakyat Malaysia. Penulis rasa peluang untuk sertai himpunan Bersih di luar negara tipis.


Sudah dibaca dalam facebook di bandar lain dalam negara orang putih ini akan ada himpunan Bersih. Ada satu perhimpunan lain yang dianjur muslim di bandar ini dibuat pada tarikh yang sama. 

Penulis bincang dengan seorang kawan lama satu jamaah di kampus kat Malaysia untuk buat banner kemudian bawa ke himpunan itu. Orang kata ambil semangat orang ramai, kemudian pegang banner Bersih.


Tiga hari sebelum 9 Julai , baru penulis dapat tahu melalui Facebook Bersih 2.0. Himpunan Bersih di bandar ini juga dibuat dan digerakkan oleh rakyat Malaysia PR dan pelajar . 

Lega rasanya dapatlah , berhimpun nyatakan sokongan kepada Bersih 2.0 walaupun tak semanis di KL.


Memang hanya mencapai ratusan orang tapi meriah dengan aktiviti tanpa ganguan polis. Cukup hanya dengan makluman akan mengadakan himpunan kepada polis dengan mengisi borang melalui internet.


Blogger UMNO menuduh himpunan di luar negara hanya dihadiri orang Cina dan India , kerana dari gambar-gambar memang terpapar ramai orang Cina dan India. 


Sebenarnya , ramai pelajar Melayu yang hadir tapi tidak mahu bergambar atau berada pada jarak yang jauh. Kenapa begitu? Kerana takut dengan tekanan  dan ugutan dari kerajaan UMNO/ BN.


Pelajar Cina dan rakyat PR tidak takut kerana ramai antara mereka belajar dengan menggunakan perbelanjaan sendiri. Sebab itulah , ramai pelajar Melayu tidak kelihatan dalam gambar.  Perasaan takut-takut inilah yang menyebabkan mereka berada jauh.


Himpunan Bersih kali ini telah mencatatkan sejarah baru dalam politik Malaysia. Melihat kepada jumlah yang hadir melalui bukti gambar dan video , tidak ada siapa yang boleh menafikan kecuali mereka dari jenis suka berbohong.


Blogger UMNO pun tidak mampu menafikannya dan mereka akan mengunakan kenyataan bertahan yang sama untuk mengelakkan malu UMNO . Apa kenyataan blogger UMNO dan pencacai UMNO yang memberi komen di blog-blog ? “ 100 000 tidak ramai jika nak dibandingkan dengan 27 juta rakyat Malaysia”

 

Himpunan Bersih kali ini memang banyak berbeza dari himpunan Bersih tahun 2007 walaupun tujuannya sama. Tindakan kerajaan Najib melalui polis menangani himpunan Bersih kali ini lebih keras berbanding zaman Pak Lah.


Sebelum berlaku himpunan Bersih , setiap hari media massa kerajaan menghentam dan memburukkan Bersih. Serangan fitnah melalui blog UMNO , Facebook, SMS juga dibuat ke atas penganjur Bersih terutama Pengerusinya. 


Pemuda UMNO melalui Patriot , Perkasa  dan Pertubuhan Silat di bawah Omar Din sentiasa membuat kenyataan provokasi menentang Bersih.


Polis pula langsung tidak bertolak ansur untuk melakukan tangkapan terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai bahan berkaitan Bersih. 


Rasional fikiran UMNO , melalui hentaman segenap penjuru ini  akan menyebabkan rakyat takut untuk menyertai Bersih. Mereka beranggapan , himpunan Bersih kali ini tidak akan mendapat sambutan sebagaimana tahun 2007.


Penulis hadir semasa himpunan tahun  2007 bersama anak isteri. Kebetulan isteri ada conference di KL keesokan harinya, penulis sewa hotel dekat pusat KL. Semasa pergi di hari himpunan tidak ada pun sekatan polis yang penulis kena lalui.


Berbeza dengan himpunan Bersih kali ini, polis membuat sekatan di sekeliling KL, menghalang komuter masuk pusat bandar, mengadakan kawalan di stesen keretapi. Memang ketat, jika tidak kuat semangat, tidak bijak mencari jalan masuk memang tidak boleh masuk KL.


Jika dulu , polis hanya mengadakan sekatan longgar dengan tangkapan yang kecil. Kali ini , setiap yang disyaki akan ditangkap dan dibawa ke balai. Begitu hebatnya tekanan dan halangan yang terpaksa ditempuh rakyat. 


Sungguhpun meghadapi sekatan dan tekanan begitu kuat , rakyat Malaysia memang-memang berani-berani . Berdasarkan gambar dan video yang diambil, jumlah rakyat yang dapat berkumpul di pusat KL mencapai 50 000 , manakala yang  tidak dapat masuk akibat sekatan polis adalah berkali ganda daripada jumlah itu. Himpunan Bersih kali ini sebenarnya mencatatkan jumlah peserta yang lebih ramai dari himpunan Bersih 2007.


Jika dulu majoriti yang hadir adalah Melayu yang berani-berani, kali ini sangat berbeza kerana begitu ramai orang Cina dan India juga berani-berani  untuk bersama-sama orang Melayu turun berhimpun menyokong Bersih.


Himpunan Bersih tahun 2007 hanya berlangsung di KL sahaja tapi tidak untuk kali ini. Sokongannya pada tahab global.  Rakyat Malaysia diluar negara juga berani-berani untuk mengadakan himpunan Bersih 2.0 hampir di setiap ibu kota dunia.


Rakyat Malaysia yang berani-berani  dapat lepas sekatan polis mencapai 50 000 . Rakyat Malaysia kurang berani sudah hadir tetapi tidak dapat melepasi sekatan polis berlipat kali ganda . 

Manakala berjuta lagi rakyat Malaysia yang menyokong Bersih 2.0 tapi takut-takut untuk hadir himpunan Bersih 2.0. Ini menjawab kenyataan bertahan UMNO “ 100 000 tidak ramai jika nak dibandingkan dengan 27 juta rakyat Malaysia” .


Siapakah rakyat Malaysia yang takut-takut ? termasuklah orang awam, pegawai kerajaan, guru-guru dan pelajar universiti. Orang awam takut-takut kerana termakan dengan ugutan dan ancaman polis melalui media massa setiap hari.


Pegawai kerajaan dan guru-guru takut-takut akibat tekanan dari kerajaan UMNO/BN . Mereka tajut dibuang kerja, tak naik pangkat, disenarai hitam, kena tukar dan macam-macam.

Mahasiswa dan pelajar takut-takut dengan ancaman AUKU, buang U, gantung belajar, tarik biasiswa, buang asrama dan banyak lagi.


Tidak boleh salahkan mereka yang takut-takut kerana mereka belum diberi kekuatan untuk menyertai rakyat Malaysia yang berani-berani. Bukan nak kata, ada ramai juga pimpinan dan ahli jamaah yang terima tarbiyyah pun termasuk dikalangan rakyat yang takut-takut. Inikan pula orang awam yang tidak terima tarbiyah.


Kerajaan UMNO/BN memang berjaya melahirkan rakyat yang takut-takut dengan tekanan dan ugutan. Namun, rakyat yang takut-takut ini hanya tidak berani menzahirkan secara terbuka sebaliknya akan mengajar kerajaan UMNO/BN semasa pilihanraya ke 13 nanti. 


Majoriti  rakyat yang takut-takut tetapi menyokong bersih . Sebab itulah, dalam masa 10 jam laman facebook ’100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation’ sudah mencapai lebih 100 000 sokongan. 


Malah , pertambahan jumlah peserta himpunan Bersih 2.0 berbanding himpunan Bersih 2007 menunjukkan semakin ramai yang takut-takut sudah menjadi berani-berani. Himpunan Bersih 3.0 yang bakal diadakan sekiranya SPR tidak mahu berubah bakal menarik lebih ramai rakyat yang takut-takut menjadi berani-berani turun ke KL.

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...