Monday, December 27, 2010

Tulahan : Buku Jingga - Mengelabah sekarang lebih baik dari mengelabah bila parlimen bubar

Salam,
http://3.bp.blogspot.com/_pcl0ZyDNESo/TRQLt3akT_I/AAAAAAAAAzQ/9xn12_7U28g/s320/buku+jingga.jpg

Sejak berakhirnya Konvensyen PR ke-2 di Pulau Pinang, pemimpin Umno setiap hari memperlekehkan kemampuan Pakatan Rakyat merealisasikan janji 100 Hari Pemerintahan PR.

Sebaik berakhir sahaja konvensyen, Muhyiddin memulakan serangan terhadap janji imbuhan RM500 kepada guru. Kemudian diikuti serangan bertali arus oleh pemimpin BN terutamanya pemimpin Umno. 

Walaupun serangan pemimpin Umno kepada janji 100 Hari Pemerintahan PR tetapi sebenarnya mereka lebih tercabar dengan kandungan Buku Jingga yang menggariskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Memang pemimpin Umno mengelabah seperti yang digambarkan pemimpin PR. Memang pemimpin Umno tidak senang duduk sejak berakhirnya konvensyen PR ke-2 ini.

Mengapa mereka menggelabah? Kerana mereka bimbang rakyat akan meletakkan keyakinan kepada PR memerintah negara apabila membaca kandungan Buku Jingga ini.

 
Justeru, tindakan segera adalah melakukan serangan memperlekeh janji 100 Hari Pemerintahan PR. Serangan ini bertujuan meletakkan asas keraguan kepada rakyat terhadap kemampuan PR.

Pemimpin Umno berharap apabila rakyat sudah mulai ada keraguan, mereka tidak lagi akan membaca Buku Jingga ini. Tercapailah hasrat pemimpin Umno.

Mengapakah pemimpin Umno takut rakyat membaca Buku Jingga? Kerana pemimpin Umno takut kalah dalam PRU-13 nanti. Kandungan Buku Jingga ini jika benar-benar dibaca dan difahami oleh rakyat, penyokong Umno BN pun mungkin akan beralih arah menyokong PR.

Oleh itu, peranan PR sekarang ialah menyebar luaskan kandungan Buku Jingga dalam apa jua cara kepada rakyat agar mereka memahaminya.

Pemimpin Umno sudah melaksanakan tugas mereka meragukan rakyat. Pemimpin PR jangan hanya seronok berkata, pemimpin Umno sudah menggelabah tapi Buku Jingga berkenaan tidak disebar luas hanya menjadi tatapan anggota PR.

Peranan PR terutama jentera penerangan adalah mengadakan penerangan dan kefahaman mengenai kandungan Buku Jingga kepada petugas parti setiap peringkat.

Buku Jingga ini perlu dipermudahkan dalam apa jua bentuk contohnya pamplet  bagi memudahkan rakyat membacanya.

Paling penting pemimpin PR di setiap kawasan parlimen perlu turun bertemu rakyat dari rumah ke rumah mengedarkan Buku Jingga ini. Jika sebelum ini, turun kosong sekarang sudah ada bahan yang boleh ditatap dan dibaca rakyat.

Bagi PAS, jentera perayu undi muslimat sudah boleh bergerak tidak perlu menunggu sehingga parlimen dibubarkan. Pergi ke setiap rumah, pastikan setiap rumah rakyat ada dibekalkan Buku Jingga.

Jangan takut untuk diberikan kepada ahli dan penyokong Umno BN kerana mereka juga berhak membacanya. Ini negara demokrasi, setiap rakyat perlu diberi peluang membuat pilihan bukan hanya  memilih Umno BN sahaja.

Mungkin bapa yang pekat birunya tidak membaca tetapi tentu ada anggota keluarga rumah berkenaan membacanya.

Buku Jingga perlu diperkenalkan lebih awal kepada rakyat agar mereka memahami  kandungan buku ini. Jangan tunggu bila bubar parlimen baru hendak sebarkan kepada rakyat.

Percayalah, rakyat tidak ada masa untuk membacanya sebaik bubar parlimen kerana banyak bahan kempen yang masuk ke rumah mereka.

Petugas PR perlu berjumpa setiap anggota masyarakat seperti pimpinan masyarakat, pemimpin agama, pemimpin pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan memberi peluang kepada mereka membaca kandungan Buku Jingga.

Masa tidak menunggu kita, sekiranya PRU-13 berlaku bulan Mac. Hanya 3 bulan sahaja masa yang ada. Umno BN tidak perlu bersusah payah kerana mereka ada TV untuk mengelirukan rakyat. PR kena bekerja kuat mulai sekarang kerana PR tidak ada TV, internet tidak semua rakyat dapat guna.

Buku Jingga adalah peluang PR menarik sokongan rakyat, tapi sokongan itu tidak akan hadir jika rakyat hanya mendengar dari jauh dan tidak membacanya. Lebih teruk lagi jika rakyat mendengar mengenai Buku Jingga dari pemimpin Umno BN.

Ulang lagi, pemimpin PR jangan hanya seronok mengatakan pemimpin Umno menggelabah. Ingatlah, pemimpin Umno walaupun menggelabah, mereka buat kerja untuk hilangkan gelabahnya.

Jangan nanti bila bubar parlimen bukan pemimpin Umno yang menggelabah, tapi pemimpin PR yang menggelabah sebab rakyat tak tahu apa mengenai kandungan Buku Jingga.
Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...