Thursday, March 4, 2010

Tulahan : Miskin bukan dibuat-buat

Salam,
Ada hamba Allah yang jumpa penulis suruh cari orang miskin di kampung nak bagi sumbangan. Penulis bersyukur kerana setiap tahun pasti ada yang nak bagi sumbangan kepada orang miskin di kampung. Setiap tahun atas nama cawangan jamaah di kampung, orang miskin akan terima sumbangan.

Mengapa mudah orang nak bagi sumbangan ? kerana berkat jamaah yang menguruskan dan mengagih sumbangan dengan amanah dan telus.

Sebenarnya, ramai umat Islam terutama ahli jamaah yang kerap bagi sumbangan sama ada dalam bentuk zakat, sedekah dan derma.

Namun, kekadang bila sudah banyak yang menyumbang dana sumbangan menjadi besar. Timbul rasa sayang hendak keluarkan dana sumbangan. Buangkan perasaan ini, kerana dana itu bukan hak kita tetapi hak orang yang layak menerimanya.

Penulis ada dengar cerita bagaimana ada Jawatankuasa Masjid yang berbangga sebab dapat kumpul dana yang besar hasil sumbangan orang ramai. Megah lah AJK Masjid masa bentang kewangan dalam mesyuarat agung. Bila tengok aktiviti tidak ada, sebab tu dana boleh simpan banyak. Berbaloikah begitu…

Jika sudah banyak dana keluarkanlah kepada yang berhak, namun jangan pula terlalu mudah dikeluarkan hingga habis langsung dana sumbangan. Jangan takut hendak keluarkan kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pemurah. Insya Allah, akan bertambah kembali dana sumbangan malah berkali ganda banyaknya.

Ada yang berhak menerima sumbangan,. Siapa mereka ? orang fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, pesakit kronik dan ramai lagi. Tak perlu tunggu mereka datang meminta-minta, carilah mereka.

Kalau ada yang datang meminta pertolongan. Berilah sumbangan ikut kadarnya. Jangan salahkan mereka, jika mereka datang meminta. Berilah sumbangan sebab dana sudah ada.

Penulis cukup terasa jika dengar cerita orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dilayan dengan tidak sepatutnya terutama di pejabat wakil rakyat. Mereka terlalu berharap tapi mereka pulang dengan hanya mendapat RM 5 atau RM 10.

Malah lebih teruk lagi bila mereka ke pejabat YB meminta pertolongan, tapi pulang kecewa dengan tangan kosong dengan alasan YB tiada peruntukan untuk orang miskin.

Penulis ada dengar cerita, ada wakil rakyat yang buat program rai anak yatim yang datang dari ceruk kampung. Tapi sedihnya mereka hanya menerima RM 5 seorang dari wakil rakyat ini. Duit minyak bawa mereka ke pejabat YB pun tak lepas. Kenapa ada wakil rakyat macam ini, tak boleh fikirkah?

Penulis terkilan kerana semasa kecil penulis pernah merasai betapa peritnya ayah dan emak penulis yang hidup miskin mencari nafkah menyara kami sekeluarga. Bukan ayah dan emak tak berusaha cari nafkah lebih, tapi masih kurang untuk tampung kehidupan kami sekeluarga.

Sebab itu penulis tak setuju bila ada yang tuduh orang miskin tak berusaha dan suka meminta-minta. Tahukah kita mungkin anaknya ramai, ada anaknya sakit kuat, anaknya ramai yang bersekolah, ada anaknya yang cacat.

Walaupun ada antara mereka yang dapat bantuan Pejabat Kebajikan atau Baitulmal, namun RM 100, RM 200 yang mereka terima sebulan cukupkah untuk tanggung anak-anak yang ramai.

Penulis masih ingat, ayah penulis kerja estet motong getah. Walaupun pokok getah ditengelami air sehingga paras lutut, ayah tetap meredah air kerana nak cari duit makan kami di rumah.

Masih dalam ingatan, kerap kali kami makan nasi berkuahkan minyak lauk dan kicap. Selalu makan ikan masin kerana masa tu tak mampu nak beli ikan hidup. Payah sekali nak berjumpa makan lauk ayam dan daging.Sarapan pagi, hampir setiap hari makan tempe. Walaupun hati merungut, hari-hari makan tempe, tapi itulah yang ada untuk isi perut sebelum ke sekolah. Sesekali emak masak yang lain dari tempe, seronoknya hanya Allah yang tahu.

Apabila ahli keluarga kami bertambah, hasil motong getah tak mampu lagi nak sara hidup kami. Salah seorang adik penulis diserah kepada emak saudara. Walaupun emak bagi tahu sebab emak saudara tak da anak, tapi masa tu kami memang susah.

Kami tahu emak dan ayah bukan tak sayang adik, mereka sayang adik, kami semua masa tu sayang adik. Bukan kami sekeluarga tak sedih tapi keadaan masa tu, menyebabkan adik kami yang bongsu pada masa itu kena tinggal dengan emak saudara. 

Ayah mula tanam pisang sebelah petang bila balik dari motong getah. Tanah orang yang ada pokok getah tua nak tanam semula ayah minta usahakan untuk tanam pisang sementara pokok getah nak besar. Lepas tu ayah berhenti kerja di estet , motong getah orang pula di kampung.

Kami adik beradik kena tolong ayah, yang sekolah petang kena motong getah, mengutip susu getah, kutip getah skrap. Yang sekolah pagi, balik sekolah terus kena pi mesin getah, jemur getah kemudian kena pi kebun pisang.

Banyak kerja di kebun pisang yang kena buat, tarah anak pisang, buang daun pisang, masa nak jual pisang kena tanggung bertandan pisang.

Oleh kerana ayah ada bela beberapa ekor lembu dan kambing, dah jadi tugas harian kami , jaga kambing, pergi bawa lembu tambat di estet, kemudian pi ubah pula lembu itu ke tempat yang ada rumput.

Disamping pisang ayah juga tanam jagung, ubi keledek, kacang tanah. Penulis masih inggat, penulis junjung besen jagung rebus keliling kampung jual dengan harganya 10 sen setongkol.

Kadang2 cemburu dihati, tengok kawan2 anak orang kampung dapat main tapi kami kena pi kebun. Cuti Sabtu Ahad pun kena berjumpa pokok getah dengan pokok pisang.

Ayah pula tegas, garang tapi tak pernah pukul. Hanya dengan suara boleh dengar orang keliling, orang kata dengar satu kampung. Bila ada yang tak pergi kebun, balik sahih kena marah.
Syukurlah rezeki berkebun pisang murah, ayah cari tanah orang lain yang nak tanam getah semula untuk tanam pisang.

Sekarang, Allah telah balas susah payah ayah dan emak besar dan sekolahkan kami dengan anak-anak yang berjaya. 6 dari 10 anaknya menjejak menara gading malah abang penulis adalah anak kampung pertama masuk U.

Kakak sulung dan abang yang tua bukan tak pandai tapi mereka bersekolah dan hidup dalam masa keluarga kami yang susah. Merekalah yang paling dapat rasa peritnya hidup susah dibanding adik beradik yang lain.

Memang sedih hidup susah, bila ingat kembali menitis air mata. Orang yang tak pernah rasa hidup susah tak akan tahu peritnya. Sebab itu bila tengok orang miskin, penulis dapat rasa kesusahan mereka. Bukan mereka buat2 tapi itulah kehidupan mereka.

Mereka tidak akan ke pejabat YB kalau mereka tidak betul2 memerlukan. Siapa sanggup malukan muka pergi meminta sumbangan di pejabat YB?. Mereka sanggup malu kerana keadaan mereka memang terdesak.

Jadi tidakkah ada simpati dari mereka yang dipilih oleh rakyat untuk mereka. Apa perasaan mereka bila mendengar alasan tiada peruntukan untuk bantu mereka sedangkan di luar pejabat ada kereta mewah yang menjalar.

Tidakkah akan terdetik di hati mereka perasaan kecewa kerana orang yang mereka pilih untuk membantu mereka sama sahaja seperti wakil rakyat lepas2. Dulu berkereta biasa, dah jadi YB tukar kereta mewah .

Apa pula perasaan mereka apabila YB mereka sanggup belanja besar untuk program yang ada nama, tetapi apabila mereka ke pejabat YB mohon sumbangan. Jawapannya “ YB tak da peruntukan untuk orang miskin, Mak Cik pi Pejabat Kebajikan minta kat sana” . Fikirkanlah
 
Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...