Salam,
Esok umat Islam menyambut Aidil Adha. Aidil Adha tahun ini ,
pertama kali penulis dan keluarga beraya tanpa ayah bersama di dunia ini.
Terasa sedih bila teringatkan ayah. Sudah dua minggu ayah pergi buat
selama-lamanya.
Jumaat hari itu, hari terakhir ayah membuka mulut dan
matanya. Selepas solat subuh solat terakhir ayah, keluar dari bilik ayah rebah
di sofa. Penulis terus pergi kepadanya bertanya, ayah tidak menjawab sudah tidak mampu bergerak . Penulis papah
dan angkatnya letak atas katil, ayah terus tidak membuka mulut dan mata.
Sampai hari ini, penulis rasa bersalah kerana tidak tahu
bahawa ayah diserang stroke . Penulis telefon kakak suruh datang tengok ayah
kerana ayah tak mahu bercakap dan buka mata , penulis nak pergi kerja. Penulis
telefon abang bagi tahu keadaan ayah.
Dalam kepala penulis pada masa itu, ayah mungkin sedang
tidur sebab keadaannya macam tidur dengan mulut dan matanya tertutup. Tidak
terlintas bahawa ayah kena stroke, tak teringat langsung bahawa ayah pernah
kena minor stroke tujuh tahun lepas.
Penulis masih rasa bersalah kerana penulis pentingkan kerja
sehingga tinggalkan ayah dengan emak dalam keadaan begitu sehingga kakak datang.
Bila penulis telefon kakak tanya keadaan ayah, kakak bagi tahu ayah masih tidak
buka mulut dan mata. Kakak bagi tahu abang penulis agak ayah kena stroke dan
dia dalam perjalanan dari tempat kerja untuk bawa ayah ke hospital.
Bermain pertanyaan di kepala , kenapa penulis tak bawa ayah
terus ke hospital? Kenapa penulis masih nak pergi kerja ?. Bila teringat bahawa
itu semua ketentuan Allah, penulis redha. Allah dah tentukan abang penulis yang
bawa ayah ke hospital.
Selama seminggu ayah di hospital , doktor pun dah maklum
keadaan bahawa ayah tidak ada harapan untuk disembuhkan. Kami adik beradik
bergilir menjaga ayah di hospital sehinggalah ayah menghembus nafas yang
terakhir.
Masa itu, penulis baru selesai solat Isyak di surau
hospital. Bila penulis sampai, abang bagi tahu keadaan ayah semakin tenat.
Penulis terus suruh abang ajar ayah mengucap, jangan tinggal. Penulis bagi tahu
nurse keadaan ayah . Penulis dan abang berterusan ajar ayah mengucap , penulis
ambil HP telefon abang bagi tahu emak dan adik beradik lain supaya segera ke
hospital.
Habis telefon, terus bersama abang ajar ayah mengucap. Kali
ini hidung penulis yang tersentuh di muka ayah terasa lembut, tak sama ketika
penulis menciumnya semasa ayah sedang sakit. Pada masa itulah, ayah menghembus
nafasnya yang terakhir. Doktor datang periksa ayah dan sahkan ayah sudah tiada
lagi.
Menitis air mata kerana ayah sudah tiada, abang keluar
telefon bagi tahu keluarga yang lain. Penulis betulkan tangan ayah, kucup ayah
buat kali terakhir. Terasa sangat sedih kerana ayah selama ini berada di depan
mata sudah tiada lagi.
Tak lama emak dan adik beradik lain sampai, semuanya
menanggis kerana ayah yang kami sekeluarga sangat sayangi sudah pergi menemui
Tuhannya. Penulis tenteramkan mereka, bagi tahu ayah pergi dengan baik, ayah
pergi dengan tenang kerana saat ayah pergi abang dan penulis di sisi ayah.
Ada yang berkata, ayah meninggal di sisi abang dan penulis
kerana abang dan penulis yang banyak menjaga ayah selama ayah uzur di rumah.
Namun bagi penulis, semua adik beradik menjaga ayah dengan baik, malah jasa
mereka kepada ayah lebih dari penulis. Penulis yakin ayah meninggal di sisi
penulis kerana doa berterusan penulis sejak penulis berada di luar negara .
Semasa penulis pergi ke luar negara ayah sudah uzur, pernah
kena minor stroke . Luar negara bukan dekat, penulis risau tidak sempat bersama
ayah. Sejak itu dalam tahajud , dalam solat setiap Ramadan penulis tak putus
berdoa semoga ayah berada di sisi penulis sebelum meninggal dunia.
Bagi penulis , sejak penulis mudah minta tukar untuk tinggal
menjaga ayah dan emak di kampung. Allah sudah memakbulkan doa penulis. Bila
ayah benar-benar meninggal di sisi penulis, Allah benar-benar memakbulkan doa
penulis. Itulah kekuatan doa bila kita dekat dengan Allah semasa solat.
Segala urusan membawa jenazah ayah balik ke kampung berjalan
dengan baik. Tak perlu tunggu lama kerana ambulan hospital pun ada untuk
membawa jenazah ayah. Kami adik beradik, menantu dan cucu-cucu ayah tak putus
membaca al quran dari mula jenazah ayah sampai di rumah sehingga esoknya untuk
urusan pengebumian ayah.
Semua urusan memandikan, mengkafan, mengimam, mengebumikan,
membaca tahlil dan talkin dilakukan kami adik beradik. Semuanya berjalan dengan
lancar dan sempurna. Orang kampung pun juga membantu mengali kubur dan membuat
keranda.
Sememangnya kami tidak menjangka ramainya yang hadir
menziarahi jenazah ayah. Ramainya yang hadir untuk solat jenazah ayah. Itulah pertama kali dalam sejarah kampung
itu, orang ramai yang solat jenazah memenuhi rumah. Kami tidak pun buat amalan
memanggil jemaah surau dan masjid di sekitar kampung.
Bagi kami, sesiapa yang tahu hadirlah untuk solat jenazah
ayah. Jika tak ramai, tak ramailah. Jika ramai, ramailah . Rezeki ayah, Allah telah mengerakkan hati orang ramai yang
tahu kematian ayah untuk hadir solat jenazah.
Kami juga tidak gunakan van jenazah untuk angkat keranda
ayah ke kubur. Kami adik beradik , menantu dan cucu lelaki ayah bersama-sama
angkat keranda ayah sebagai khidmat terakhir kepada ayah.
Tiga orang abang turun ke liang untuk menurunkan jenazah
ayah. Seorang abang lagi membaca tahlil semasa urusan pengebumian sedang
berjalan. Bila selesai, seorang abang lagi menyambung membaca talkin untuk
ayah.
Bila abang membaca talkin menyebut nama ayah, menitis air
mata kami semua kerana kami akan berpisah dengan ayah buat selama-lamanya.
Penulis , orang terakhir meninggal kubur ayah , berdoa semoga Allah menerima
ayah dengan baik sebagai hambaNya yang beriman.
Pergilah ayah yang menjaga kami sekeluarga sepuluh beradik
buat selamanya. Ayah yang menanggung perit berniaga runcit kerana ramai yang
berhutang, Ayah yang hidup susah sanggup meredas air menoreh getah di estet ,
ayah yang bermandi peluh pagi dan petang meneroka tanah belukar menanam pisang.
Semua itu, ayah buat hanya untuk membesarkan kami, memberi
pendidikan kepada kami. Ayah yang banyak
memberi pengalaman berdikari kepada anak-anaknya. Terima kasih ayah untuk
segalanya yang kami tak mampu balas.
Ayah telah mengajar kami secara tidak sedar apabila kami
membantunya di kebun getah, di kebun pisang. Pengalaman hidup susah banyak
mengajar kami . Namun kami tidak secekal emak yang sentiasa bersama ayah
mengharung kehidupan susah yang memeritkan semasa kami kecil.
Emak cekal sehingga pada hari pemergian ayah, walaupun
penulis tahu emak begitu sedih dengan pemergian ayah. Namun, emak tidak
tunjukkan di hadapan anak-anaknya. Sejak
ayah pergi , penulis tahu emak bacakan al quran sedekah kepada ayah setiap kali
lepas solat.
Ayah juga sangat disenangi oleh sesiapa sahaja yang
mengenalinya. Sifat ayah sesuai dengan namanya yang bermaksud pemurah. Sentiasa
dalam kehidupan ayah membantu orang, menyenangkan orang dan tidak suka
menyusahkan orang lain.
Sebab itulah, beberapa hari selepas ayah disemadikan. Ada
satu viral tentang urusan pengebumian ayah. Seorang abang diberitahu oleh kawan
bahawa kisah urusan pengebumian ayah menjadi viral dalam facebook, blog dan
whats Apps.
Bila abang tengok, benarlah telah menjadi viral kisah yang telah
ditulis oleh seorang anak kepada sepupu yang hadir pada hari pengebumian ayah.
Kisah ini telah di share
oleh lebih 11 ribu pengguna facebook. Bayangkan berapa ramai hamba Allah yang
telah sedekah bacaan al-Fatihah kepada arwah ayah, berapa ramai yang telah
berdoa untuk kebaikan arwah ayah. Bukan kami minta, bukan kami yang suruh.
Malah kami pun tidak kenal sangat dengan anak kepada sepupu ini. Inilah yang
ayah terima kerana sifat ayah yang pemurah suka menolong orang.
Ada cadangan untuk kebumikan ayah di tempat selain di
kampung, tapi penulis tak setuju kerana ayah lahir di kampung, kuburnya biarlah
di kampung. Penulis tahu ramai yang tidak solat di kampung, solat jenazah
lagilah. Namun , kampung itulah medan dakwah terbaik mengajak orang bersolat.
Biar seorang yang ikut, tapi lama kelamaan pasti semakin ramai.
Semasa solat jenazah ayah, sudah ada orang kampung yang penulis
ajar telah solat jenazah buat pertama kali. Ada yang masih tidak berani kerana
takut silap walaupun tahu solat jenazah. Tak apalah , biar sedikit dahulu lama
kelamaan ramailah. Begitu juga solat , biar pun ada pasang surut , orang
kampung solat di surau tapi surau itu tidak sepi lagi kerana sudah ada yang
kekal solat.
Antara sebab penulis mahu ayah dikebumikan di kampung kerana
tanah perkuburan di kampung di tepi jalan,setiap hari penulis melintas dan
setiap kali melintas penulis akan sedekah bacaan al-fatihah untuk ayah. Jika
dikebumikan di tempat lain, perkara ini tidak berlaku kerana kubur akan
mengingatkan kepada ayah.
Menjelang Aidil Adha, takbir yang bergema pasti memberi
kesan sedih terkenangkan ayah. Setitis air mata terakhir di mata kiri ayah
sebelum meninggal dunia , memberi kesan ingatan penulis kepada ayah. Semoga
Allah mencuri rahmat ke atas roh ayah, semoga ayah aman di sana. Al Fatihah
Wassalam
Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un.. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh Abang Man (Pak Njang Man). Kepada seluruh ahli keluarga salam takziah dan harap bersabar. Drp Pak Ak. KokLanas, Kota Bharu, Kelantan.
ReplyDeleteYa Allah Ya Tuhanku, ampunilah arwah, rahmatilah dia, maafkanlah dia, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-otang yang beriman.
ReplyDeleteAl-Fatihah.
Saya pernah alaminya ketika kehilangan ibu tersayang. Sabarlah.