Saturday, February 11, 2012

PR berpotensi menang banyak kerusi di Melaka

Salam,
http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/4/42/Melaka.gif

Semasa PRU 12, Melaka adalah sebuah negeri yang kelihatannya tidak diserang tsunami apabila keputusan pilihanraya tidak banyak berbeza berbanding pilihanraya lalu. BN tetap menang banyak kerusi  untuk memerintah.

DAP tetap menang kerusi dun dalam parlimen Kota Melaka, dan mendapat tambahan kerusi dun dalam parlimen Bukit Katil. Adakah PAS dan PKR tiada sokongan?

Jika diteliti, memang PAS dan PKR tidak menang tapi mengurangkan majoriti hampir di semua kerusi ditandingi. Undi Melayu kepada PAS dan PKR tidak banyak berubah, namun undi bukan Melayu bertambah tapi tidak tinggi, hanya mencapai purata 50 - 55 %. 

Berbeza dengan undi bukan Melayu yang diterima DAP melebihi 60 % malah ada kerusi lebih 70%. Ini menyebabkan DAP boleh menang walaupun bertanding di kerusi Bachang yang mempunyai hampir 50% pengundi Melayu.

Bagi PRU 13, PAS Melaka optimis boleh menang 9 kerusi yang ditandingi. Bolehkah PAS Melaka menang ? boleh sekiranya undi bukan Melayu melonjak mencapai lebih 60% . 

Perkara ini tidak mustahil kerana ‘mood’ orang Cina untuk memberi undi kepada PR berlaku di seluruh negara.  Malah undi orang Cina pada PRU 13 tidak lagi hanya kepada DAP tapi parti-parti dalam PR. Walaupun tidak dijangkakan setinggi undi yang bakal diterima DAP, namun tetap tinggi berbanding PRU 12.

Undi Melayu kepada PR pada PRU 13 dijangka tidak berubah banyak berbanding PRU 12. Ada kerusi akan meningkat, ada juga yang akan menurun. Bergantung kepada gerak kerja parti yang bertanding memberi khidmat kepada rakyat.

Friday, February 10, 2012

15 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak


"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia." - (Maksud Al-Hadith )


1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa
1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)


1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.


2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib
(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

Thursday, February 9, 2012

11 orang yang mendapat doa malaikat

Percaya kepada malaikat adalah antara rukun iman . Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.
Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”
3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf)
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

Tuesday, February 7, 2012

Tuan Guru Haji Yusuf Rawa : Musyidul Am PAS yang pertama

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjTTJBJbBdubeOxFLXi_vKG7xlXas8IxLvBxnS9tIe7_tTVW_vAuPBcqEdV6DnKexRvdwm6HLHpczDhGRh3u5590YIw6_sF-Rfc5Qi8nAzT3Nh3qSjqawFH0uwG8A2e2hQKz1PS17CjajBZ/s200/yusof+rawa.jpg
Latar Belakang
 
Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.

Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain.

Pendidikan awal Tuan Guru Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta. 

Pendidikan menengah beliau ialah di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge.

Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun.

Menghadapi Ujian

Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun. Bapanya, Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya. 

Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.

Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai. Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.

Semasa di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis. 

Peristiwa ini berlaku ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.

Sekembalinya Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.

Penglibatan dalam PAS
Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951. Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. 

Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.

Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS. 

Menjelang penghujung tahun 1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor.

Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah. 

Pada tahun 1981, Tuan Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang.

Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W

http://www.abdulhanan.com/wp-content/uploads/2012/02/maulud3.jpg
Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.


Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas.


Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:

  1. Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
  2. Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
  3. Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini kerana masih banyak lagi rahsia yang belum tersingkap.

Oleh itu penulis terpanggil untuk menyingkap kembali peristiwa di sebalik kelahiran baginda Junjungan Besar s.a.w.


Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.


Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.