Latar Belakang
Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.
Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain.
Pendidikan awal Tuan Guru Yusof
Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di
Sekolah Charausta.
Pendidikan menengah beliau ialah di Government
English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus
peringkat Junior Cambridge.
Selepas itu bapanya menghantar
beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya
Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk
mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun.
Menghadapi Ujian
Semasa
Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan
Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun. Bapanya,
Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya.
Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu
yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.
Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai. Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.
Semasa
di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu
oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa
hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis.
Peristiwa ini berlaku
ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.
Sekembalinya
Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah.
Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang
mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.
Penglibatan dalam PAS
Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951. Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.
Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951. Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.
Beliau kemudian dipilih untuk
menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh
pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.
Sejak dari zaman
Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap
sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS.
Menjelang penghujung tahun
1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan
Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor.
Krisis
kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan
Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu
Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah.
Pada tahun 1981, Tuan
Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang
Dipertua PAS dan menang.
Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah
memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan. Jawatan Yang Dipertua
PAS telah dipangku oleh Tuan Guru Yusof Rawa. Dalam Muktamar PAS
ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru Yusof Rawa telah sebulat suara
dilantik Yang Dipertua PAS.
Apabila Majlis Syura Ulama’
diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah
dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987.
Di atas
sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai
Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai
Mursyidul Am.
Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai
Mursyidul Am pada tahun 1993. Jawatan itu dipegang seterusnya oleh
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.
Menangani Krisis Peralihan
Tuan
Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan
hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan
Islam. Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan
angkatan pemimpin-pemimpin eranya.
Ekoran itu berlaku pula tindakan dan
ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato’ Mohd Asri.
Kemelut
dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan
kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan
untuk menyertai UMNO.
Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar
Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya
dengan Anwar, Tuan Guru Yusof Rawa menyatakan:
"…tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang”
Dengan
pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap
keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya
menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus
perdana perjuangan Islam di negara ini.
Pendekatan dan mesej
perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya
menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam
menyertai PAS.
Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa
amat beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz
Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.
Menangani Gejala Dalaman
Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.
Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.
Kumpulan
ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS. Laporan
yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan perpaduan
jamaah.
Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui
mesyuarat Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat
berat sekali.
Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan
Ustaz Hasan Shukri selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat
kepada Dato’ Mohd Asri Muda yang menyebut:
”Jawatankuasa
Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada menjadi ahli Parti
Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan ini dibuat
sehingga kepada masanya diberitahu kelak.
Dengan demikian maka
terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS seperti yang
disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di atas, 9 Rabiul
Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu kelak”
Bersama-sama
Dato’ Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin ialah 12 orang
lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan diberi amaran.
Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung.
Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh
gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi
menyelamatkan parti daripada ancaman krisis.
Mengasaskan Kepimpinan Ulama’
Isu
kepimpinan ulama’ timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di bawah
kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya. Ia
bermula dengan polimik apakah PAS parti Islam atau parti nasionalis?
Walaupun
PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah Islam, namun
pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah nasionalis amat
berpengaruh pada era Dato’ Mohd Asri Muda.
Pertembungan
pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan Dato’ Mohd Asri
Muda. Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung PAS ialah
kerana ia tidak dipimpin oleh ulama’.
Tidak pula dinafikan
pengaruh daripada kepimpinan ulama’ dalam Revolusi Iran mempengaruhi
suasana dalam PAS pada masa itu. Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim
zalim Shah Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama’.
Dalam
suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor
dan Ustaz Abdul Hadi Awang. Berlatar belakang senario ini, Tuan Guru
Yusof Rawa merintis jalan ke arah kepimpinan ulama’.
Sikap
keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah menjadikan
seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan kepimpinan
ulama’ dalam PAS.
Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya
memantapkan paksi perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan
dakwah dan harakah Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama’.
Pindaan Perlembagaan 1983
Setelah
memantapkan PAS di segi dalaman, Tuan Guru Yusof Rawa berusaha
meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa
di negara ini.
Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad
mengambil langkah untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan
Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983.
Tuan Guru
Yusof Rawa menerajui PAS membantah langkah Dr. Mahathir. PAS mengambil
sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat pembolotan
kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir. Tindakan ini
sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara umat Islam dan bangsa
Melayu.
Walaupun langkah ini diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa,
dasar PAS tetap selaras dengan Islam. Ini kerana sepanjang sesi
1984-85, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sering berbicara
mewakili golongan mustadafin dan menentang golongan mustakbirin.
Dalam
tempoh tersebut, PAS memperkenalkan secara terbuka perjuangan
menegakkan keadilan dan menentang kefasadan. Seterusnya pada tahun
1985, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS meningkatkan kempen
menentang segala bentuk asabiyyah, terutama asabiyyah UMNO dan Barisan
Nasional.
Kebijaksanaan Tuan Guru Yusof Rawa merebut peluang
daripada langkah Dr. Mahathir untuk menyekat hak raja-raja Melayu telah
memberi ruang yang seluasnya bagi beliau menempatkan PAS kembali
sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang relevan dan
berwibawa di negara ini.
Tragedi Memali
Tragedi
Memali yang tercetus pada 18 November 1985, berlaku semasa PAS
diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa.
Tragedi ini merupakan pembunuhan
kejam Ustaz Ibrahim Libya dan tigabelas muridnya akibat serangan
kira-kira 4,000 anggota polis. Empat anggota polis turut terkorban.
Tragedi Memali bermotifkan politik.
Peristiwa
ini berlaku apabila sokongan orang Melayu yang semakin meningkat
terhadap PAS lantaran penerimaan mereka terhadap kewibawaan PAS dan
kepimpinan ulama’.
Tragedi Memali didahului sebelum itu dengan beberapa
operasi penahanan ISA terhadap tokoh-tokoh Pemuda PAS.
Tuan
Guru Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas ini
diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz Fadzil
Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Di
bawah kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz
Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada’.
Pendirian
ini dipertahankan oleh Tuan Guru Yusof Rawa walaupun Jawatankuasa
Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan
dianggap sebagai syibghul bughah.
Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan
mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya
sebagai bughah, atau penderhaka, Tuan Guru Yusof Rawa tetap cekal
mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka semua adalah mati syahid.
Menentang Kezaliman ISA
Semasa
PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa, pemimpin-pemimpin PAS
terutama tokoh-tokoh Pemuda sering berhadapan dengan tangkapan di bawah
ISA.
Semasa Dato’ Mohd Asri Muda menerajui PAS, pendirian PAS terhadap
ISA adalah seperti yang diungkapkan sendiri olehnya sebagai:
”PAS
merasakan betapa perlunya undang-undang itu bagi sebuah negara merdeka
yang masih muda seperti Persekutuan Tanah Melayu demi menjaga keamanan
negara dan mengawasi serta mencegah gerakan subversif, apatah lagi
gerakan komunis yang amat memerlukan pengawasan dan prihatin daripada
seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
Sikap ini menjadi bukti
kerana sekalipun PAS berada di pihak pembangkang, PAS tidaklah
mengambil sikap menentang secara melulu, mentang-mentang menjadi
golongan pembangkang, maka semua yang datang daripada kerajaan
ditentang”
Berlainan dari zaman Dato’ Mohd Asri Muda, di bawah
teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS mengambil sikap dan pendirian yang
berbeza terhadap ISA.
Perubahan ini ketara dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Yusof Rawa pada tahun 1985. Di mana katanya:
”Undang-undang
Keselamatan Dalam Negeri yang diluluskan oleh Parlimen dan
pindaan-pindaan yang telah dibuat ke atasnya lebih kejam lagi.
Undang-undang ini tidak terikat kepada mana-mana prinsip sekalipun,
kecuali kepada keinginan Menteri Dalam Negeri. Mangsanya dihukum tanpa
memerlukan apa-apa pembuktian, sama ada dari yang dituduh atau yang
menuduh”
Menyentuh penahanan pemimpin-pemimpin muda PAS seperti
Ustaz Abu Bakar Chik, Abdul Razak Daud, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin
Ya’kub dan Suhaimi Said, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:
”Penahanan
mereka hanyalah semata-mata di atas keinginan Menteri Dalam Negeri
yang didesak berulang kali oleh wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung
UMNO Bahaya kepada UMNO dianggap sebagai bahaya kepada keselamatan
negara. Kemerosotan sokongan kepada UMNO dianggap perpecahan dan
ancaman yang membahayakan orang-orang Melayu. Inilah lojik dan cara
berfikir pemimpin yang mengamalkan prinsip diktator berparlimen”
”Undang-undang ini nyata sekali bertentangan dengan keadilan”
Dalam
Ucapan Dasar pada tahun 1988, menyentuh tangkapan ISA terhadap sepuluh
orang pemimpin muda PAS di bawah Operasi Lalang, Tuan Guru Yusof Rawa
menegaskan:
”Sebenarnya tindakan ini bukan kerana keselamatan
negara, tetapi adalah kerana muslihat pemimpin-pemimpin yang sudah
terpisah dari orang ramai, terpisah dari perjuangan rakyat dan partinya
sendiri, malah terpencil dari kliknya sendiri. ISA pada prinsipnya
adalah undang-undang yang zalim kerana ia tidak memberi peluang membela
diri kepada mangsanya dalam apa bentuk pun”
Dasar yang diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa terhadap ISA adalah jelas berdasarkan prinsip.
PAS menolak ISA kerana ia zalim!
Kejelasan pendirian dalam isu ISA inilah yang diwarisi oleh Ustaz Fadzil Noor ketika menerajui PAS.
Sumbangan kepada Gerakan Islam: Sikap Terbuka dan Sederhana
Sumbangan
terbesar Tuan Guru Yusof Rawa terhadap gerakan dan perjuangan Islam di
Malaysia adalah di atas tindakannya untuk mengukuhkan serta
menempatkan kembali PAS dalam arus perdana politik dan dakwah di negara
ini.
Kepimpinannya yang
terbuka memberi ruang yang seluas-luasnya kepada tokoh dan tenaga muda
pelapis dalam PAS untuk melakar dan mencorakkan peta baru perjuangan
Islam di Malaysia melalui PAS.
Konsep kepimpinan ulama’ yang
diterajuinya memartabatkan kedudukan gerakan Islam di atas paksi ilmu,
syaksiyyah dan akhlak mulia pemimpin-pemimpin yang tinggi cita-cita
perjuangan Islamnya.
Peralihan daripada sebuah gerakan yang
dianggap sebagai nasionalis Islam kepada sebuah harakah Islamiyyah
telah menarik minat golongan teknokrat, intelektual, para lepasan
universiti tempatan dan luar negara serta pelbagai lapisan pencinta
perjuangan Islam di negara ini.
Tuan Guru Yusof Rawa turut
memberi ruang yang luas kepada barisan pimpinan pelapis untuk meneroka
kerjasama politik dengan kaum bukan Islam.
Beliau merintis jalan ke
arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council. Dalam konteks
pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Tuan Guru Yusof Rawa membuka ruang
seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah.
Pendedahannya
di luar negara serta pengetahuannya tentang perjuangan gerakan Islam
seperti Ikhwan Muslimin dan gerakan-gerakan pembebasan yang lain,
memberi keupayaan kepada Tuan Guru Yusof Rawa untuk mencorakkan
gerakerja haraki dalam PAS.
Sikap ini telah berjaya memberi
laluan kepada pendokong-pendokong Islam daripada pelbagai latar
belakang untuk menyertai dan terlibat aktif dalam PAS.
Demikian juga
bagi mereka yang mendokong pendekatan Revolusi Islam Iran. Sikap
terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa telah memberi ruang bagi
mereka terlibat memberi sumbangan perjuangan Islam dalam PAS.
Di
bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan bahawa apa yang
boleh dianuti adalah semangat revolusi di segi menentang penindasan
pemerintah yang zalim, tetapi bukan di segi anutan mazhabnya.
Namun di
sebalik sikap terbuka dan sederhananya, PAS di bawah teraju kepimpinan
Tuan Guru Yusof Rawa tidak pernah berkompromi dengan kezaliman,
penindasan dan kemungkaran.
Pendirian inilah yang menampilkan
identiti PAS sebagai parti politik Islam dan sebuah harakah
Islamiyyah. Di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, ditegaskan dengan
jelas bahawa kepimpinan ulama’ bukan sahaja membawa makna kepimpinan
mesti diterajui oleh ulama’.
Hakikat yang lebih utama adalah
kepimpinan ulama’ berkehendakkan kepada kandungan perjuangan yang
berteraskan ciri-ciri tarbiyyah, dakwah, ilmu dan satu pergerakan atau
harakah yang menjadikan cita-cita Islam sebagai paksinya.
Jelas,
di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah meletakkan paksi
penting perjuangan PAS selepas mengambilalih daripada Dato’ Mohd Asri
Muda.
Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam
Kemenangan
awal dalam penglibatan politik Tuan Guru Yusof Rawa ialah pada
pilihanraya tahun 1969 apabila berjaya mengalahkan Dr. Mahathir Mohamad
bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan.
Sebelum penyertaan PAS
dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof Rawa telah diberikan
kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal tahun 1970an untuk
menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan.
Perlantikan
ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan kemampuan Tuan Guru
Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
Apabila
PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, Tuan
Guru Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk
membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.
Tuan
Guru Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau
Pinang. Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara
di PBB. Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun
1974 dan menang tanpa bertanding.
Sejurus selepas itu, sebagai
salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi
Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Menterinya pada masa itu adalah Tan
Sri Musa Hitam.
Perlantikan ini menjadikan Tuan Guru Yusof
Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik
setinggi itu. Selepas itu, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik pula sebagai
Duta Besar Malaysia ke Iran.
Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran.
Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, Tuan Guru Yusof Rawa juga
ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan.
Semasa menjalankan
tugas tersebutlah Tuan Guru Yusof Rawa belajar bahasa Farsi dan bahasa
Perancis di samping mengekalkan kefasihannya dalam bahasa Inggeris dan
bahasa Arab.
Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada
tahun 1978, Tuan Guru Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979
apabila tamat tempoh khidmatnya.
Tuan Guru Yusof Rawa
kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan. Tuan
Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah
Pulau Pinang pada tahun 1992.
Penghormatan Terakhir
Tuan
Guru Yusof Rawa menghembuskan nafas terakhir setelah solat subuh pada
hari Jumaat, 28 April 2000. Penuh sesak orang membanjiri Masjid
Gelugor pada solat Jumaat dan solat jenazah untuk Tuan Guru Yusof
Rawa.
Sepanjang jalan dari Gelugor ke Kampong Makam yang
terletak di pinggir bandar Georgetown dipenuhi oleh orang ramai yang
datang untuk memberi penghormatan terakhir.
Kaum Cina dan India juga
datang untuk memberikan penghormatan terakhir. Turut hadir adalah Ketua
Menteri Pulau Pinang, Datuk Koh Tsu Koon.
Pada penghujung
hayatnya, Tuan Guru Yusof Rawa menyaksikan penzaliman yang dilakukan
terhadap Anwar Ibrahim. Beliau mendoakan agar Anwar bersabar dan tabah
di atas penzaliman tersebut.
Apa yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim itu
ditegaskan oleh Tuan Guru Yusof Rawa sebagai kemuncak kezaliman Dr.
Mahathir yang tidak dapat lagi membezakan antara kebinatangan dan
kemanusiaan!Kota Putera
No comments:
Post a Comment