Saya
rasa tajuk artikel ini tidak melampau kerana pemimpin ISMA pernah menulis
artikel terbuka kepada umum berkenaan apa yang dikatakan sebagai krisis
indentiti PAS.
Maka,
jika saya yang tak ada nama ini menulis artikel menggunakan tajuk ini, ia tidak
sebesar apa yang ISMA pernah lakukan pada PAS.
Artikel
ini agak panjang, namun saya tidak berhasrat untuk membahagikannya menjadi
artikel bersiri kerana isu ini perlu dijelaskan secara terus agar dapat
memberikan kefahaman yang menyeluruh.
Mohon
maaf kepada yang kurang berminat dengan penulisan yang panjang lebar.
Berkenaan isu kerjasama dan persepakatan antara PAS dan UMNO, saya
tidak menafikan ia merupakan idea yang baik. Namun, saranan ini perlulah
dijelaskan dengan lebih detail terutama berkaitan bentuk kerjasama dan syarat
yang Islam tetapkan dalam kerjasama itu.
Melontarkan
idea kerjasama ini kemudian mencampuradukkan penjelasannya hanya akan
menggambarkan pendirian yang tidak tetap.
Sekejap
kata PAS tidak perlu keluar PR tetapi mesti jadi dominan dalam PR, sekejap kata
PAS wajib tinggalkan PR. Bukankah ia mengelirukan dan menggambarkan pendirian
yang tidak tetap?
Di dalam dunia demokrasi hari ini, kerjasama antara PAS dan UMNO boleh
berlaku di dalam dua keadaan. Pertama, kerjasama isu dan kepentingan bersama.
Kedua,
kerjasama politik. Saya tidak pasti kerjasama apa yang dimaksudkan oleh ISMA.
Tetapi ada dua pendapat yang saling bercanggah.
Pertama pendapat yang mengatakan persepakatan Melayu tidak mewajibkan
pergabungan parti, tetapi cukup untuk bersepakat di dalam isu yang melibatkan
kepentingan umat Islam dan parti Melayu baik di dalam BN dan PR, mesti menjadi
dominan.
Pendapat
ini dikarang oleh aktivis ISMA, Zaizul Azizi Zaman di dalam web ISMA bertarikh
14 Mac 2012.
Pendapat
kedua adalah pendapat 'berteraskan' Usul Fiqh yang dikarang oleh Ust Mohd
Hazizi Ab Rahman di dalam blog beliau bertarikh 29 April 2012 yang menyebut
wajib PAS bergabung dengan UMNO dan wajib juga meninggalkan DAP.
Seruan Kerjasama Berteraskan Isu, Tetapi Kerjasama
Politik PAS-DAP Yang Diserang
Saya melihat ISMA selalu menyatakan bahawa seruan ISMA adalah untuk
perpaduan Melayu Islam. Dengan kerjasama yang melibatkan kepentingan umat
Islam, PAS dan UMNO akan mengukuhkan kedudukan umat Islam di Malaysia.
Saya
akuinya. Cuma yang saya ingin bertanya, jika seruan kerjasama isu menjadi
fokus, kenapa hubungan politik PAS di dalam PR terutamanya DAP menjadi sasaran
kecaman ISMA saban hari? Kenapa 'serangan' yang sama tidak pernah dilafazkan
pada UMNO?
ISMA nampaknya meletakkan hukum bahawa dengan kerjasama politik yang
terjalin antara PAS dan DAP, maka PAS tidak akan mempedulikan isu-isu yang
melibatkan orang Islam dan membiarkannya tanpa membantu.
Jika ini
yang berlaku, maka ia amat dikesali. Sedangkan dengan jelas terbukti PAS selama
mana berkerjasama dengan DAP, kebajikan dan hak-hak orang Islam terus
diperjuangkan di mana-mana sahaja terutama di negeri-negeri yang ditadbir PR.
Dakwah,
hak Bumiputera, ekonomi orang Melayu dan apa jua perkara demi kebaikan orang
Melayu, semuanya diperjuangkan PAS tanpa kompromi, namun berstrategi.
Jika perpaduan Melayu yang ISMA cari, maka ISMA sepatutnya menjadi
jambatan yang akan menghubungkan antara PAS dan UMNO di dalam banyak isu yang
memberi keuntungan kepada orang Melayu Islam, tetapi gagal disepakati kerana dendam
politik.
Isu
hudud, royalti, ceramah agama yang dihalang, Sekolah Agama Rakyat dan yang
terbaru seruan Tuan Guru Haji Abdul Hadi tentang pindaan takrifan agama
daripada religion kepada Ad-Din.
Semua
isu ini adalah demi kebaikan umat Islam tetapi digagalkan sehingga membawa
kesengsaraan kepada orang Melayu Islam.