Friday, April 20, 2012

Tulahan : Tulisan terbuka buat penganjur Bersih 3.0 dan pimpinan utama PR :Jika tidak mahu Himpunan Bersih 3.0 GAGAL, arahkan berhimpun hanya di DATARAN MERDEKA

Himpunan duduk bantah Bersih 3.0 tinggal beberapa hari lagi. Namun suasana nampak berbeza dari dua himpunan Bersih sebelum ini.  Waktu-waktu begini semasa dua himpunan Bersih lalu sudah amat panas dengan provokasi pihak penentang Bersih.

Penulis rasa tak selesa dengan suasana ‘nyaman ‘ Bersih 3.0. Penulis yang hari-hari update FB dan blog jamaah dapat melihat berbezanya sambutan pengguna FB dan bloggers. Friends FB jamaah yang dulunya ramai yang tukar profile picture dengan pelbagai tema kuning Bersih kini tidak lagi. 

Tidak meriah lagi kuning pada profile picture pengguna FB , begitu juga blogger yang ramai masih tidak menukar background blog dengan kuning. Kenapa ini berlaku?

Apabila ada anak muda friends FB jamaah bertanya macam mana cara nak pergi himpunan Bersih 3.0 maka seperti biasa penulis hubungi sabahat jamaah kawasan di Malaysia bertanya persiapan untuk pergi himpunan Bersih 3.0.

Terkejut penulis kata sahabat , “ Kita berhimpun Padang Polo tahun ni” . Kenapa di Padang Polo, sahabat bagi tahu , himpunan Bersih 3.0 diadakan di seluruh negara yakni di setiap negeri. Penulis kata kepada sahabat , “habislah Bersih kali ini”

Sahabat juga sependapat dengan penulis. Katanya , dulu masa-masa ini jamaah peringkat negeri dah beberapa kali panggil aktivis jamaah kawasan terutama pemuda untu bincang persiapan ke himpunan Bersih. Namun untuk kali ini , tiada lagi mesyuarat untuk bincang cara pergi ke himpunan Bersih 3.0.

Penulis agak keadaan ini berlaku kerana suasana selesa yang diberikan kerajaan . Tiada lagi ugutan, tangkapan yang ramai, provokasi yang berlebihan oleh pihak penentang. Tiada lagi publisti percuma dari media massa perdana walaupun negatif. Lebih melemahkan apabila setiap negeri ada buat himpunan yang sama.

Penulis ucap terima kasih kepada keberanian mahasiswa yang kekal berkhemah di Dataran Merdeka hingga himpunan Bersih 3.0. Merekalah yang sedikit memanaskan himpunan Bersih 3.0. Mereka orang cerdik tahu cara nak ambil perhatian kerajaan dan rakyat.

Penulis juga ucap terima kasih kepada samseng-samseng Umno yang pi belasah mahasiswa di Dataran Merdeka. Terima kasih bukan kerana tindakan tidak bertamadun itu, terima kasih kerana memanaskan suasana sebelum Bersih 3.0 yang muram. Tidak cerdiknya samseng-samseng Umno juga pemimpin yang mengarahkan mereka.

Berbalik kepada himpunan Bersih 3.0 di setiap negeri. Penulis sangat hairan kepada penganjur Bersih 3.0 yang tidakkah terfikir bahawa jika buat di setiap negeri menyebabkan peserta himpunan Bersih ada pilihan untuk pergi ke himpunan Bersih. Jumlah yang ramai ke Dataran Merdeka kini sudah berpecah ke negeri-negeri.

Thursday, April 19, 2012

Hakim bin Hazam : Sahabat Rasulullah yang tidak mahu mengambil gajinya hingga akhir hayat


Kisah Sahabat Nabi: Hakim bin Hazam, Keteguhan Hati Seorang Sahabat

Nama penuhnya Hakim bin Hazam bin Asad bin Abdul Gazi. Ia adalah anak saudara Khadijah Al-Kubra, isteri tercinta Rasulullah SAW. Sebelum dan setelah kenabian beliau, ia adalah teman akrab Rasulullah.

Sewaktu kaum Quraisy memboikot Rasulullah dan kaum Muslimin, Hakim tidak mahu mengikut kaumnya, kerana menghormati Nabi. Ia masuk Islam ketika terjadi penaklukan kota Makkah dan terkenal sebagai orang yang banyak jasa dan dermanya.

Sejarah mencatat, dialah satu-satunya anak yang lahir dalam Ka'bah yang mulia. Pada suatu hari, ibunya yang sedang sarat mengandung masuk ke dalam Ka'bah bersama rombongan orang-orang seumurnya untuk melihat-lihat Baitullah itu. Hari itu Ka'bah dibuka untuk umum sesuai dengan ketentuan.

Ketika berada dalam Ka'bah, perut si ibu tiba-tiba terasa hendak melahirkan. Dia tidak sanggup lagi berjalan keluar Ka'bah. Seseorang lalu memberikan tikar kulit kepadanya, dan lahirlah bayi itu di atas tikar tersebut. Bayi itu adalah Hakim bin Hazam bin Khuwailid, iaitu anak lelaki dari saudara Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid.

Hakim bin Hazam dibesarkan dalam keluarga keturunan bangsawan yang terhormat dan kaya raya. Oleh sebab itu, tidak hairan kalau dia menjadi orang pandai, mulia, dan banyak berbakti. Dia diangkat menjadi ketua kaumnya dan diserahi urusan rifadah (lembaga yang menangani orang-orang yang kehabisan bekalan ketika musim haji) di masa jahiliyah. Untuk itu dia banyak mengorbankan harta peribadinya.

Wednesday, April 18, 2012

Syeikh Ahmad Yassin berpesan pada pemuda dan pemudi

as-syahid-syeikh-ahmad-yasin.jpg Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian.

Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah.Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggung jawab.

Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian.

Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH.

Monday, April 16, 2012

Cekalnya Muhammad Fisol Ansan hadapi kezaliman pemerintah


Seorang yang tenang, berjambang lebat dan sedikit beruban dijanggutnya, bertanda hitam di dahi, mulutnya kumat-kamit membaca potongan ayat Al-Quran sebelum memulakan bicaranya. Muhammad Fisol bin Ansan, 52, kini dikenali sebagai ustaz, bukanlah sembarangan orang. 

Beliau pernah didera, diugut, ditawarkan wang RM50,000 supaya beliau membuat pengakuan palsu di televisyen memuji dasar-dasar kerajaan pemerintah semasa menjadi tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) ketika era Dr. Mahathir suatu ketika dahulu.

Beliau yang sesekali berjenaka, adalah antara ramai di kalangan ahli PAS yang ditahan dalam usaha kerajaan pemerintah mengekang gerakan pro-Islam yang dianggap oleh Mahathir sebagai ancaman yang cuba menjatuhkan kerajaan pemerintah kononnya melalui gerakan “revolusi bersenjata” pada masa itu.

Akta Keselamatan Dalam Negeri digunakan untuk menahan orang-orang yang disyaki tanpa dibicarakan dan tanpa sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan tuduhan yang dikenakan.

Selain itu, beliau turut didera dengan dicabut misai, merangkak di bawah meja, dikapit kuku serta berdiri sebelah kaki hingga peluh menitis dan juga dilarang mengerjakan solat. 

Beliau juga menerima bermacam-macam jenis ugutan seperti membuatkan isterinya meminta cerai, ditarik balik biasiswa pengajian, dibuang kerja dan juga ditahan tanpa tempoh.

Kebanyakan masanya, beliau dikenakan hukuman kediaman terhad, dengan anggota polis sentiasa membuat kawalan ketat di hadapan rumahnya 24 jam sehari, dan setiap aktivitinya dipantau oleh pihak berkuasa.

Semua jenis tawaran, deraan dan ugutan itu tidak sedikitpun melemahkan imannya untuk terus mempertahankan prinsip perjuangan yang telah sebati dalam dirinya dan sudah tertanam jauh di dalam lubuk hatinya iaitu mahu hidup dan mati bersama-sama Islam, agama Tauhid.