Masih ada lagi yang bertanya, mengapa Pas tidak boleh bersama Umno sedangkan boleh pula bersama DAP dan PKR? Saya rasa saya sudah jawab ini berkali-kali tetapi biarlah buat kali terakhirnya saya jawab sekali lagi.
Jawapan saya berbentuk cerita.
Andaikata ada orang Melayu-A menjemput seorang Melayu-B yang lain ke kelab malam untuk minum beer. Tetapi, pada masa yang sama ada seorang bukan Melayu menjemputnya ke kedai mamak untuk minum teh tarik. Maka Melayu-B memilih untuk bersama yang bukan Melayu untuk ke kedai mamak.
Tiba-tiba yang Melayu-A tadi marah dan terus berkata, “Hoi Melayu, tidak sedar dirikah? Awak tu Melayu, aku Melayu, awak Islam, aku Islam, sepatutnya awak bersama aku, bukan dengan yang bukan Islam!” Melayu-B pun terkejut dengan bantahannya dan terus menjawab, “Tapi kamu ajak saya untuk ke kelab malam untuk minum beer!” Dengan bersahaja Melayu-A menjawab, “Tidak mengapa, saya minum beer, awak minumlah air Cola!”
Persoalanya, adakah wajar tindakan sedemikian? Walaupun tidak minum beer bersama, sebagai seorang Islam Melayu-B tidak boleh meminum beer dan jika Melayu-B berada bersama walaupun di tangannya hanya memegang segelas Cola, ia tetap bersubahat dengan kejahatan tersebut.
Pengajaran dari cerita yang ringkas ini ialah, yang penting bukan buat sesuatu ‘dengan siapa’, tetapi ‘buat apa’. Kalau buat jahat, walaupun dengan ustaz, ia tetap jahat dan akan tetap berdosa. Kalau buat baik, walaupun dengan orang bukan Islam, ia tetap kerja baik dan orang Islam tersebut tetap mendapat pahala!
Umno ingin meneruskan budaya politik rasuah, fitnah, menyeleweng, menindas dan perkaumannya. Kalau Pas turut bersama mereka, maka akan turut terpalit dengan budaya yang jijik itu. Pemuda-pemuda Pas akan diminta mengedarkan video lucah yang kononnya melibatkan DSAI. Pas juga akan diminta membela segala penyelewengan NFC dan juga menghalalkan pembantaian rakyat oleh pihak polis pada 28 April lalu.
Sedangkan apabila Pas bertanya kepada PKR dan DAP mengenai apa yang mereka ingin usahakan, mereka menjawab “sebuah kerajaan yang bebas rasuah, adil, berkebajikan terhadap rakyatnya dan bebas perkauman”. Pada masa yang sama, institusi keagamaan akan dibebaskan dari kongkongan Umno yang ingin membantutkan Islam sehingga menjadi agama yang sempit dan tidak berwibawa.
Apabila dibandingkan kedua-dua pilihan dan diletakkan di hadapan, maka adalah amat jelas bahawa pilihan PR adalah yang terbaik. Ingat! Yang penting bukan soal ‘buat dengan siapa’ tetapi yang penting adalah ‘buat apa’?
Khalid Samad
No comments:
Post a Comment