Semua dugaan mengira PRU13 akan berlangsung dalam masa sebulan
setengah ini - antara Mei dan Jun jika dilihat tandanya begitu banyak.
Report antarabangsa menyebut rating Najib untuk memenanginya begitu
tinggi dibandingkan dengan masa sebelumnya, lalu bendera Dacing mula
dipasang di sana sini.
Tetapi agensi berita antarabangsa mendapati rating Najib jatuh balik
berikut dengan reaksi kerajaan dan polis terhadap unjuk rasa Bersih 3.0
Duduk Bantah yang mendapat sokongan rakyat luar biasa pada petang 28
April lalu.
Orang yang membanjiri Kuala Lumpur dari seluruh Semenanjung
menggerhanakan kehadirian jelajah Najib ke seluruh negara menjelang
Bersih 3.0 itu.
Bagi meningkat rangsangan rakyat terhadap PRU13 Najib berkunjungan ke
semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak dan diikuti dengan lawatan di
banyak daerah. Semuanya mendapat sambutan besar. Rating Najib dirasakan
naik mendadak.
Tetapi lautan manusia datang sendiri ke Bersih 3.0 Duduk Bantah itu
mengatasi jumlah semua sambutan yang terhadap Najib di seluruh negara
beberapa bulan itu.
Sekalian yang hadir menyabut Najib itu selain dari diangkut percuma,
masing-masing mendapat habuan. Mereka tidak pulang dengan tangan
kosong. Tetapi yang ke Bersih 3.0 datang dengan duit dan kenderaan
sendiri.
Perdana Menteri Najib diketahui seorang yang penakut. Melihat
sambutan Bersih 3.0 yang luar biasa itu mengecutkan perutnya,
menyebabkan dia rasa gerun dan kalah sebelum pilihan raya diadakan.
Komennya terhadap kempen himpunan Duduk Bantah itu, kerajaan tidak
menghalang demonstrasi itu, tetapi Dataran Merdeka pasang pagar berduri,
semua jalan Dataran Merdeka ditutup. Reaksi DBKL dan polis tidak sama
dengan komen lidah Najib tak bertulang.
Dan apabila bantahan aman itu terganggu dengan aksi memancutkan
segala senjata cecairnya kepada penunjuk perasaan dan berlaku kejadian
kejar dan pukul memukul oleh polis serta ada pula tindak balas
sukarelawan demonstran, menyebabkan darah tumpah. Ada polis dan
penunjuk rasa yang dihospitalkan.
Sekali gus kebijaksanaan kerajaan dan polis dibicarakan oleh rakyat.
Najib menyalah kemalangan itu kepada penganjur tetapi antara yang
terpukul itu adalah wartawan. Dia dirawat di hospital kerana paluan
polis. Najib dan menteri mengunjungi wadnya bagi menyatakan, ‘Sorry!’
Najib tidak akan berjaya menyalahkan pembangkang atas semua insiden.
Tetapi rakyat bebas membicarakan Najib, UMNO dan BN di jalan-jalan dan
warung-warung. Semua tempat itu menjadi mahkamah rakyat. Hakimnya adalah
sekalian pengundi.
Bantahan itu ada tuntutannya. Lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak
dipenuhi sekali Najib menubuhkan jawatankuasa parlimen tentang
pilihanraya. Satu apa hasil pun tidak ada. Jawatankuasa itu jadi
sia-sia. Bersih 3.0 menuntut tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan. Jika
tidak dipenuhi sudah ada rentang menunggu Bersih 4.0.
Semua perkembangan itu menyebabkan Najib menanggung risiko pilihan
raya sebulan lagi. Sekencang manapun TV memburukkan pembangkang tetapi
buruk untuk Najib dan BN menunggu.
Tambah berat lagi DUN Selangor tidak dibubarkan Mei dan Jun ini sebab
daftar pengundi tidak dibersihkan. Pilihan raya Parlimen saja ada di
Selangor. Selagi tuntutan kerajaan Selangor tidak dipenuhi DUN hanya
menunggu bubar sendiri.
Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang menunggu sama ada membubarkan DUN
masing-masing dengan daftar undi yang kotor itu. Menyertai piliharaya
yang begitu kotor bererti menyerahkan batang leher untuk disembelih.
Apa pun polis sudah menyusahkan Najib dan DBKL membantu memburukkan
Najib dengan tindakannya. DBKL tidak menanggung apa-apa dengan memagar
Dataran Merdeka, tetapi Najib terpaksa membayarnya. Polis tidak masuk
pilihan raya. Yang masuk UMNO dan Najib.
Kesan 28 April yang ada perbalahan antara demonstaran dan polis
menyebabkan belum tentu Parlimen bubar antara Mei dan Jun. Jika ditunda,
masa baru ialah September. Bacaan dunia tentang hati Najib ialah
pilihan raya ditunda lagi. Ia hanya ada Mei dan Jun ini kerana Najib
mahu tunjukkan andaian dunia semua tidak betul.
Subky Abdul Latif
No comments:
Post a Comment