Salam,
Sudah lama tak menulis, penulis cadang nak menulis sebelum pru
14 tapi tak sempat. Bila ada kesempatan ini, penulis dapatlah menulis sikit
tentang perjuangan bersama parti baru.
Sebelum pru 14, parti baru kawasan penulis terus bergerak
melaksanakan program. Penambahan ahli baru dan cawangan terus berjalan tapi agak
perlahan kerana banyak tumpuan kepada pilihanraya.
Program kebajikan parti baru sama macam parti lama berjalan
lancar malah lebih banyak sumbangan kebajikan disampaikan kepada yang
memerlukan. Program seumpama cakna rakyat ajuran parti lama turut dapat
dijalankan parti baru dengan nama lain iaitu mini karnival harapan.
Setahun sejak tulisan terakhir , tumpuan lebih banyak kepada
gerak kerja pilihanraya. Zahir Nampak macam parti baru tak banyak program
politik . Dalam masa setahun , program politik terbuka yang dibuat hanya tiga
ceramah besar sahaja, ceramah kelompok langsung tiada.
Benarkah tiada program politik ? Inilah yang membezakan
parti baru dengan parti lama. Dunia politik sekarang sudah banyak berubah.
Pengundi berumur 55 tahun ke atas semakin kurang. Pengundi di bawah umur 55
tahun semakin bertambah.
Justeru, kempen paling berkesan adalh kepada kumpulan umur
55 tahun ke bawah. Pengundi kumpulan umur ini rata-ratanya mempunyai handphone
yang boleh akses internet walaupun tinggal di kampung-kampung. Majoritinya
mempunyai facebook dan Whats Apps . Selama setahun, kempen melalui media sosial
ditumpukan kepada kumpulan umur ini setiap hari.
Selama setahun sehingga hari pilihanraya , pengundi ini
menerima bahan kempen. Mereka melihat dan membaca walaupun tidak ramai yang
memberi maklum balas, menekan ‘like’ di facebook kerana takut dilabel dan
diketahui menyokong pakatan harapan.
Yang ‘like’ hanya yang berani dan kuat menyokong PH. Yang
melawan pun tak ramai, Cuma yang melawan ini mereka zahirkan penentangan mereka
melalui komen yang penuh dengan maki hamun, caci nista, cemuhan dan sindiran kepada
parti baru. Komen melawan sebegini datangnya dari penyokong tegar parti lama
Setahun lamanya, pengundi atas pagar melihat gelagat penyokong
parti lama memberi komen tidak berakhlak. Mereka mendabik dada, merekalah
pejuang Islam tapi komen mereka sungguh tidak berakhlak dan lari terus dari
akhlak pejuang Islam.
Yang pastinya mereka tidak sedar bahawa pengundi atas pagar
melihat setiap komen yang mereka tuliskan. Pengundi atas pagar yang hendak menyokong
parti lama berubah kepada menyokong PH atau BN.
Bila bubar parlimen, kecaman dan maki hamun semakin teruk .
Macam-macam yang mereka komen merendahkan parti baru sehingga ke tahap meletak
parti baru terlalu rendah, tidak ada petugas, tidak ada bendera , tidak akan
mendapat sokongan langsung dan akan hilang deposit .
Sememangnya, penulis risau dengan petugas, berapa ramai
petugas yang berani menunjukkan muka bekerja semasa tempoh berkempen. Penulis
tahu, ramai yang menyokong tapi tak ramai yang berani ke depan kerana takut
dilabel dan dipulau.
Percubaan pertama , hendak melihat ramai atau tidak petugas
pilihanraya adalah dengan mengadakan pelancaran pusat operasi dan petugas
pilihanraya pada waktu siang hari. Jika buat pada waktu malam , tidak dapat
melihat keberanian petugas.
Alhamdulillah, kehadiran pada petang itu melebihi 500 orang,
semua kerusi penuh. Petugas semua parti dalam PH hadir menunjukkan komimen
untuk bertugas. Penulis rasa lega melihat kehadiran pada petang itu kerana
risau juga jika tak ramai hadir pasti hari penamaan calon lagi teruk.
Pada hari penamaan calon , 600 helai baju habis dipakai ,
ramai yang tidak dapat baju namun tetap berarak menunjukkan sokongan. Memanglah
tidak dapat mengatasi jumlah kehadiran parti lama tetapi menjawab tohmahan
mereka bahawa parti baru tidak ada sokongan.
Tempoh kempen pilihanraya, strategi kempen semasa dalam
tempoh kempen memang berbeza dengan parti lama dulu. Tumpuan kempen berfokus
kepada Daerah Mengundi (DM) yang mampu melonjak undi PH. DM lain sudah cukup
setahun pengundi menerima bahan kempen PH.
Pendekatan kempen yang lebih terbuka dan mesra pengundi
memang menampak kejayaan. Pengundi lebih yakin dengan kemampuan calon PH
melalui kempen terbuka. Ucapan terbuka di pasar , pasar malam dan pasar sehari
diikuti ceramah terbuka menarik kehadiran dan keyakinan pengundi
Berbeza dengan dengan parti lama dan BN, pendekatan kempem
mereka lebih tertutup . Masih dengan cara lama, ceramah kelompok di pos parti
masing-masing, ceramah kepada penyokong parti . Strategi mereka lebih kepada
mengepung pengundi parti masing-masing. Tidak ada ceramah terbuka menyebabkan
pengundi tidak dapat melihat penampilan dan kewibawaan calon.
Sahabat penulis dalam parti lama ada bagi tahu parti lama
juga buat kempen media sosial diurus student u . Namun bagi penulis kempen yang
mereka lakukan tidak sepenuhnya, ala kadar sahaja. Mereka mungkin dah yakin
boleh menang bila tengok peningkatan ‘like’ page parti lama. Mereka tidak sedar
yang ‘like’ itu bukan semua pengundi tempatan sebaliknya dari seluruh negara.
Memang jika dilihat ‘like’ page-page facebook parti lama mengila semasa tempoh
kempen pilihanraya.
Calon BN pun ada buat kempen media sosial selepas hari
penamaan calon. Namun, page facebooknya dihentam teruk penyokong parti lama.
Penuh dengan caci maki, cercaan, sindiran yang penulis sendiri tak sanggup
baca. Kesilapan calon BN ini ialah melayan komen-komen ini. Penulis simpati
dengan calon BN ini kerana dia juga pernah menjadi rakan sekerja penulis.
Sebelum pilihanraya , Bilik Operasi kami dah menjangkakan PH akan menang di parlimen
dan satu Dun yang mempunyai lebih 35% pengundi bukan Melayu. Kami jangkakan
akan sengit di Dun yang mempunyai hanya 25% pengundi bukan Melayu dan kami
jangkakan persaingannya adalah dengan parti lama bukan dengan BN kerana BN
sememangnya sebelum-sebelum ini sokongan pengundi Melayunya di bawah 40% .
Tambahan pula dengan pelbagai isu negatif yang ada pada BN. Tentulah undi
Melayu BN akan makin berkurang.
Pada hari pengundian, semua pusat pengundian dikuasai oleh
pondok panas parti lama dan BN. Sememangnya, pondok panas PH tidak banyak
didirikan terutama di kawasan majoriti Melayu kerana tahu penyokong PH tidak
akan berani berada di pondok panas PH takut dilabel dan dipulau. Justeru lebih
baik tiada daripada ada.
Kami lebih menumpukan kepada persiapan penyediaan petugas
PACA di semua saluran peti undi. Semua saluran mempunyai PACA PH, ramai
sukarelawan dan NGO yang membantu . Pun begitu kebanyakan petugas PACA adalah
pengundi dalam kawasan yang ditugaskan di pusat mengundi berlainan.
Setengah jam sebelum tamat pengundian, penulis dimaklumkan
masih ramai yang beratur di beberapa pusat mengundi. Pada masa dah rasa peratus
mengundi meningkat. Tamat masa mengundi, PACA mula memaklumkan jumlah yang
keluar mengundi. Lebih 83% keluar mengundi, ada harapan untuk menang. Walaupun
tinggi masih kurang dibanding pru 13 iaitu lebih 86%.
Mungkin kerana
pilihanraya pada hari Rabu yang menyebabkan rendah sedikit .
Sejam kemudian, Whats Apps borang 14 petugas PACA mula masuk
dan ternyata benar jangkaan bilik operasi parlimen dan satu Dun dimenangi PH.
Hanya satu Dun sangat sengit untuk ketiga-tiga parti. Di sinilah kita dapat
melihat keberkesanan tumpuan kempen di beberapa Daerah Mengundi (DM).
Semua DM
tumpuan mencatatkan lonjakan sangat tinggi menutup kekurangan undi di DM yang
lain. Semua kaum Melayu, Cina dan India memberi undi yang tinggi di DM tumpuan.
Hasilnya, setelah ditolak undi pos dan undi awal , calon PH menang dengan majoriti
140 undi mengatasi calon BN di kedudukan ke 2.
Paling mengejutkan ialah kedudukan parti lama yang mempunyai
sejarah parti terkuat di kawasan penulis berada di kedudukan ke 3 di
ketiga-tiga kerusi. Undi parti lama berkurangan berbanding pru 2004 kerana pru
2004 adalah pilihanraya di mana parti lama mendapat undi solid hanya dari
penyokong parti. Jelas, pengundi parti lama berkurangan kerana pengundi parti
lama telah memberi undi kepada PH dan BN.
Kesilapan parti lama ialah terlalu yakin akan menang apabila
melihat ‘like’ di page facebook yang melonjak, bendara yang banyak dan pondok
panas yang meriah. Namun, mereka tidak tahu bahawa PH sudah berkempen terus
kepada pengundi sejak setahun lamanya. Pengundi sekarang tidak melihat kepada
bendera yang banyak dan pondok panas yang ramai.
Pengundi sekarang bermaklumat, mereka menilai bahan kempen
yang masuk ke dalam handphone mereka. Pada hari mengundi seolah-olah mereka
bersama parti lama tapi di dalam peti undi mereka memberi undi kepada PH.
Ada sahabat parti lama bagi tahu parti lama akan menang jika
dua DM tidak dikeluarkan dari Dun berkenaan. Tidak juga, bila penulis buat
semakan dengan memasukkan keputusan undi di dua DM tersebut ternyata yang
menang bukan parti lama tapi BN. BN akan menang dengan majoriti 14 undi jika
dua DM ini tidak dikeluarkan. Kasihan BN, SPR dipergunakan mengeluarkan dua DM
yang majoriti pengundi parti lama untuk memenangkan BN tapi sebaliknya pula
berlaku.
Kekalahan parti lama di kedudukan ke 3 sepatutnya menjadi
pengajaran kepada parti lama. Jangan sombong, jangan angkuh, jangan suka
menghina, jangan suka memaki, mencaci parti baru. Jangan anggap parti lama
seperti agama.
Allah tidak suka sombong, parti lama sombong, Allah tidak suka
caci maki, parti lama caci maki. Insaflah , bukan satu keizinan hanya kerana berada
dalam parti lama boleh berakhlak buruk. Jangan putuskan silaturrahim hanya
kerana saudara seagama menyokong parti baru. Inggatlah, Allah mengutuk dan
melaknat orang yang memutuskan silaturrahim.
Walaupun menang 3-0, tidaklah parti baru merasa megah kerana
banyak kerja yang perlu dibuat. Cawangan parti baru perlu ditambah bagi
mengukuhkan akar umbi. Ahli yang setiap hari bertambah perlu diuruskan. Program
kebajikan perlu diteruskan dan dipertingkatkan. Program dakwah yang strategik perlu
diperkenalkan. Menjadi kerajaan tidak bermakna selesai kerja. Banyak yang perlu
dilakukan. Selamat berjuang……
Wassalam
pengalaman orang yg mentadbir pilihanraya.
ReplyDelete