Friday, December 11, 2015

Tulahan : Istiqamah yang amanah dalam muhibbah

Salam,


Dah hampir setahun blog ini tidak diupdate, tiada tulisan peribadi, tiada apa-apa paparan ilmu untuk dikongsi pembaca. Sehinggalah minggu lepas bila ada sepupu datang ziarah ayah dan emak di kampung.

Sepupu tanya , kenapa lama tak menulis blog. Ketika itu baru penulis tersedar yang dah lama penulis tidak menulis. Ya, sejak berlaku krisis dalam jamaah penulis tiada motivasi untuk menulis tentang perjuangan.

Banyak yang penulis korbankan untuk perjuangan ini, bukan kecil pengorbanan tidak ramai yang sanggup berkorban seperti penulis lakukan. Berjauhan dengan isteri dan anak, infaqkan harta, serahkan masa untuk perjuangan.

Awlawiyat penulis adalah jamaah melebihi keluarga, kerja dan kehidupan dunia. Mereka yang pernah berjuang bersama penulis tahu hakikat ini, tahu kesungguhan penulis melaksanakan kerja jamaah, tahu sejarah penulis mengerakkan jamaah kawasan.

Namun, apabila berlaku krisis yang melanda jamaah, penulis memang kecewa. Timbul pula caci maki, fitnah, celaan terhadap sesama ahli jamaah cukup tidak menyenangkan penulis. Selepas muncul parti Islam baru , penulis ingatkan akan habislah cacian, kejian, fitnah tetapi tidak juga malah lebih banyak penghinaan  dan fitnah kepada pimpinan dan ahli parti baru.

Muncul istilah istiqamah ditulis, ditempel, diratip tanpa henti untuk menyatakan kekal dalam jamaah lama. Pimpinan yang istiqamah diangkat, dipuji , dipuja walaupun pemimpin itu terpalit dengan skandal komisen balak, membeli pangkat datuk, melesapkan wang wakaf dan pelbagai gejala tidak berakhlak yang malu disebut dilakukan pemimpin sebuah jamaah.

Yang meratip istiqamah pula bukanlah mereka yang aktif bekerja mengerakkan jamaah lama, malah mereka sekadar istiqamah di Whats App dan facebook sahaja. Jika dalam kawasan penulis, penulis kenal mereka yang meratip istiqamah ini, ada yang markas pun tak berani nak jijak kerana bekerja kerajaan, ada yang bila diajak berjuang pelbagai alasan diberi kerana takutkan isteri (Isteridirumah bukan Istiqamah), ada yang tunggu pencen baru nak berjuang dan banyak lagi.

Mereka aktif memaki, melabel, menyebar fitnah di Whats App dan facebook , namun hakikat sebenar dari segi perjuangan mereka tidak layak pun hendak dibandingkan dengan orang yang mereka hina dan label. Mereka hina pimpinan dan ahli parti baru sebagai munafik, sedangkan perangai munafik itu ada pada mereka yang berpura-pura pejuang sebaliknya , pengecut berjuang.

Ada seorang pimpinan parti baru dalam kawasan penulis yang penulis tahu, dia ni seorang yang tak tinggal solat dhuha. Apabila ada seseorang yang hinanya dengan macam-macam label, penulis siasat pelabel itu. Menyedihkan , sang pelabel ini, solatnya pun tidak penuh, anak perempuan pun tidak menutup aurat, solat jamaah jarang sangat di surau. 

Walaupun begitu , penulis bersyukur ada juga muka baru yang muncul mengantikan mereka yang pergi ke parti baru. Sekurang-kurangnya , jamaah lama tidak ketandusan muka baru walaupun cara bekerja muka baru tidak seaktif mereka yang pergi.

Bagaimana dengan penulis? , ada yang menuduh penulis telah futur, ada yang menyatakan penulis ni harummanis, malah ada yang menyebarkan penulis dah ada jawatan dalam parti baru.