Salam,
Dah hampir setahun blog ini
tidak diupdate, tiada tulisan peribadi, tiada apa-apa paparan ilmu untuk
dikongsi pembaca. Sehinggalah minggu lepas bila ada sepupu datang ziarah ayah
dan emak di kampung.
Sepupu tanya , kenapa lama
tak menulis blog. Ketika itu baru penulis tersedar yang dah lama penulis tidak
menulis. Ya, sejak berlaku krisis dalam jamaah penulis tiada motivasi untuk
menulis tentang perjuangan.
Banyak yang penulis
korbankan untuk perjuangan ini, bukan kecil pengorbanan tidak ramai yang
sanggup berkorban seperti penulis lakukan. Berjauhan dengan isteri dan anak, infaqkan harta,
serahkan masa untuk perjuangan.
Awlawiyat penulis adalah
jamaah melebihi keluarga, kerja dan kehidupan dunia. Mereka yang pernah berjuang
bersama penulis tahu hakikat ini, tahu kesungguhan penulis melaksanakan kerja
jamaah, tahu sejarah penulis mengerakkan jamaah kawasan.
Namun, apabila berlaku
krisis yang melanda jamaah, penulis memang kecewa. Timbul pula caci maki,
fitnah, celaan terhadap sesama ahli jamaah cukup tidak menyenangkan penulis.
Selepas muncul parti Islam baru , penulis ingatkan akan habislah cacian,
kejian, fitnah tetapi tidak juga malah lebih banyak penghinaan dan fitnah kepada pimpinan dan ahli parti baru.
Muncul istilah istiqamah
ditulis, ditempel, diratip tanpa henti untuk menyatakan kekal dalam jamaah
lama. Pimpinan yang istiqamah diangkat, dipuji , dipuja walaupun pemimpin itu
terpalit dengan skandal komisen balak, membeli pangkat datuk, melesapkan wang
wakaf dan pelbagai gejala tidak berakhlak yang malu
disebut dilakukan pemimpin sebuah jamaah.
Yang meratip istiqamah pula
bukanlah mereka yang aktif bekerja mengerakkan jamaah lama, malah mereka
sekadar istiqamah di Whats App dan facebook sahaja. Jika dalam kawasan penulis,
penulis kenal mereka yang meratip istiqamah ini, ada yang markas pun tak berani
nak jijak kerana bekerja kerajaan, ada yang bila diajak berjuang pelbagai alasan
diberi kerana takutkan isteri (Isteridirumah bukan Istiqamah), ada yang tunggu
pencen baru nak berjuang dan banyak lagi.
Mereka aktif memaki,
melabel, menyebar fitnah di Whats App dan facebook , namun hakikat sebenar dari
segi perjuangan mereka tidak layak pun hendak dibandingkan dengan orang yang
mereka hina dan label. Mereka hina pimpinan dan ahli parti baru sebagai
munafik, sedangkan perangai munafik itu ada pada mereka yang berpura-pura
pejuang sebaliknya , pengecut berjuang.
Ada seorang pimpinan parti
baru dalam kawasan penulis yang penulis tahu, dia ni seorang yang tak tinggal solat
dhuha. Apabila ada seseorang yang hinanya dengan macam-macam label, penulis
siasat pelabel itu. Menyedihkan , sang pelabel ini, solatnya pun tidak penuh,
anak perempuan pun tidak menutup aurat, solat jamaah jarang sangat di surau.
Walaupun begitu , penulis
bersyukur ada juga muka baru yang muncul mengantikan mereka yang pergi ke parti
baru. Sekurang-kurangnya , jamaah lama tidak ketandusan muka baru walaupun cara
bekerja muka baru tidak seaktif mereka yang pergi.
Bagaimana dengan penulis? ,
ada yang menuduh penulis telah futur, ada yang menyatakan penulis ni
harummanis, malah ada yang menyebarkan penulis dah ada jawatan dalam parti
baru.
Memang berita penulis letak
jawatan masuk paper, mula-mula bukan parti baru yang sebarkan tetapi SU jamaah
negeri yang keluar kenyataan penulis letak jawatan kerana sakit, kenapa nak
tutup sampai sanggup berbohong. Tak lama keluar kenyataan pemimpin parti baru dalam
paper bagi tahu berita sebenar kenapa penulis letak jawatan.
Tak lama lepas tu ada
majlis doa selamat pejabat baru wakil rakyat parlimen , penulis pergi ke majlis
tu. Esoknya, keluar berita penulis sertai parti baru. Sedangkan penulis hanya
hadir majlis doa selamat, wartawan yang hadir ingat penulis dah sertai parti baru.
Beberapa hari lepas,
tersebar senarai entah dari mana ajk parti baru. Nama penulis ada dalam senarai
yang disebar. Bila siasat rupanya, senarai itu dari ‘sb’ yang serahkan kepada
seorang Ajk jamaah kawasan dan dia sebarkan. Penulis tak tahu macam mana seorang
Ajk jamaah kawasan boleh percaya dengan senarai ‘sb’ yang tak berapa nak betul
itu.
Bila dah tersebar berita
dalam paper , tersebar senarai yang tak berapa nak betul serta tersebar gambar penulis sedang duduk dalam bilik mesyuarat bersama ajk parti baru, gambar penulis hadir
majlis doa selamat itu. Orang ramai dah buat kesimpulan penulis dah join parti
baru. Jadi jika penulis nak sertai parti baru pun dah tak jadi masalah, kerana
walaupun tak sertai dah pun dikatakan sertai parti baru.
Oleh kerana itu yang mereka
mahu, apa boleh buat, tak salah pun. Bukan keluar Islam, bertukar wadah
melaksanakan Islam sahaja. Jika salah , kenapa tiada hukuman semasa anak ATGNA,
anak mantan Presiden jamaah, anak pimpinan pusat jamaah yang sertai jamaah lain
. Kenapa semasa itu, tiada tuduhan munafik , tiada tuduhan pengkhianat kepada
anak-anak pimpinan yang sertai jamaah lain, sedangkan sudah ada jamaah sedia ada.
Selepas muktamar, penulis
ambil masa sebulan sebelum meletakkan jawatan sebagai SU jamaah kawasan .
Penulis tidak sanggup melihat perbuatan menghukum , melabel yang dilakukan oleh
beberapa orang pimpinan jamaah kawasan.
Mereka hina, keji, fitnah,
label tanpa rasa bersalah terhadap mereka yang berada dalam parti baru. Malah,
lebih dari itu mereka tidak lagi menghormati YDP jamaah kawasan yang bagi
mereka terlalu berlembut dengan mereka yang berada dalam parti baru.
Penulis juga tidak sanggup
melaksanakan arahan jamaah negeri dan pusat yang bagi penulis tidak sepatutnya
dibuat. Sebab tu, penulis letak jawatan untuk beri ruang mereka yang sanggup
melakukannya. Ramai yang memujuk, ada yang sampai menangis meminta penulis
terus pegang jawatan. Mungkin mereka tahu siapa penulis, bagaimana gerak kerja
penulis.
Tapi penulis kekal dengan
keputusan tetap letak jawatan, namun masih akan bantu cari dana lujnah
kebajikan dan pembangunan markas kawasan. Penulis ambil keputusan bersama
beberapa orang dari parti baru dan jamaah lama untuk menubuhkan sebuah NGO untuk
melaksanakan kerja dakwah dan kebajikan.
Adakah penulis jadi futur seperti
yang dituduh? boleh mari duduk dengan penulis di kampung. Lihat apa yang
penulis buat untuk kerja dakwah . Mereka yang menuduh mungkin melihat jika tak
buat kerja jamaah maka akan futur. Penulis
melihat futur dari sudut lain , iaitu mereka menjadi malas, putus asa, melambat-lambat dan menunda kerja
dakwah tak kira di wadah mana mereka berada itulah yang futur.
Yang meratib istiqamah pun kalau ada sifat ini, futurlah namanya. Jangan menuduh futur kepada orang lain , sedangkan diri sendiri yang futur.
Bila penulis tidak aktif
dalam jamaah kawasan , penulis lebih banyak tumpuan kepada dakwah di kampung
sementara menunggu NGO baru ditubuhkan.
Dakwah mengajak orang kampung solat dan
solat jamaah tidak berhenti. Setiap lepas Maghrib, penulis mengajar tentang
solat, sirah dan hari akhirat kepada mereka yang berjamaah.
Ada peningkatan, ada
muka-muka baru datang ke surau. Yang dulu tak pernah datang, kini datang tunai
solat berjamaah. Cuma penulis hadapi masalah untuk kekalkan mereka dengan
solat. Penulis hanya berjumpa mereka untuk solat Maghrib, Isyak dan Subuh.
Waktu Zohor dan Asar penulis kerja , jadi penulis tak tahu adakah mereka solat
Zohor dan Asar.
Penulis bimbang, mereka
tidak kekal solat kerana solat tidak penuh. Akibat, masih ada solat waktu yang
tinggal akan mempengaruhi mereka untuk kekal solat waktu yang lain.
Contoh sudah ada, ada
seorang muda yang selama enam bulan datang ke surau, jadi tukang azan. Sampai
satu masa tak datang terus, bila penulis tanya apa sebab, dia kata tak ada apa-apa.
Penulis dapat agak , bila dia tidak solat Zohor dan Asar kerana bekerja, lama
kelamaan mempengaruhi solat yang lain.
Penulis berdoa, orang muda
ini akan diberi hidayah untuk datang ke surau kembali dan menunaikan solat lima
waktu. Tugas penulis hanya mengajak orang kampung solat, hidayah hanya dari
Allah. Jika Allah belum beri hidayah, kena sabar untuk terus berdakwah.
Itulah
yang penulis selalu cakap kepada mereka yang solat jamaah di kampung supaya
jangan mengata kepada mereka yang tidak solat dan tidak datang solat jamaah kerana Allah belum beri
hidayah kepada mereka. Mana tahu, jika Allah beri hidayah, mereka lebih baik
amalnya dari kita.
Selama beberapa bulan
penulis dan sahabat menunggu kelulusan NGO baru, akhirnya sijil kelulusan
diberi. Akaun di bank Islam dah dibuka, akaun maybank ambil masa lama kerana
prosedurnya ketat. Sudah ada beberapa aktiviti dijalankan, sudah ada bantuan diberi
kepada yang memerlukan.
Baru dua bulan bergerak ,
sudah beberapa kali masuk paper tentulah ramai yang dah mula kenal dengan NGO
ini, dah ada yang mahu join dengan NGO ini. Yang mahu join kebanyakannya
harummanis yang takut nak zahirkan pendirian kerana takut dilabel, disindir dan
dipulau.
Oleh kerana itu, ada
pimpinan kawasan jamaah lama rasa terganggu dengan NGO ini. Dah ada yang
menuduh NGO ini anggotanya ahli parti baru, sedangkan hanya dua orang sahaja
dari parti baru, yang lain semua ahli jamaah lama.
Penulis tak pernah meminta
ahli jamaah lama dalam NGO keluar parti, tapi penulis bagi tahu jika ada yang
pegang jawatan peringkat kawasan dalam jamaah lama, jika tak sanggup nak
laksanakan amanah kerana tidak setuju dengan pendirian jamaah lama lebih baik
letak jawatan . Macam penulis letak jawatan dan bergerak melalui NGO.
Memang NGO ini ada tumpang buat
mesyuarat di pejabat parti baru kerana tiada tempat bermesyuarat. NGO ini baru,
belum ada pejabat, bila ada yang tawarkan tempat untuk mesyuarat tanpa
dikenakan bayaran , rugilah jika tolak.
Sepatutnya , bila ada NGO
yang nak buat kebajikan tak perlu rasa tergugat, hanya NGO sahaja. Sebaliknya ,
meringankan beban kebajikan jamaah lama.
Begitu juga jika ada parti baru yang
turut melaksanakan aktiviti kebajikan , bukankah menguntungkan rakyat kerana
maanfatnya rakyat yang dapat.
Bukankah , pempinan jamaah
lama sentiasa menegaskan bahawa jamaah ini bukan sekadar parti politik tetapi
sebuah gerakan Islam. Maka, tak perlu nak berpolitik sehingga merugikan rakyat,
sepatutnya berlumba-lumba melaksanakan kebajikan kerana itu menguntungkan
rakyat.
Menjelang tahun depan, NGO
ini akan terus bergerak melaksanakan kerja dakwah dan kebajikan. Penulis akan
terus tolong apa yang baik untuk jamaah lama. Penulis akan terus tolong cari
dana untuk lujnah kebajikan dan pembangunan markas. Jika ada melarang, penulis
tidak boleh buat apa kerana penulis hanya beramal membantu.
Penulis juga akan membantu
parti baru terutama dalam membantu kebajikan rakyat. Baru-baru ini, keluar
berita paper yang tidak benar tentang parti baru. Yang buat kenyataan pula
seorang ustaz yang penulis hormati, pemimpin jamaah lama ini menuduh parti baru
tak buat apa-apa untuk bantu rakyat di kawasan.
Berat sungguh tuduhannya,
sedangkan penulis tahu parti baru ada buat sumbangan kebajikan kepada
rakyat walaupun baru ditubuh. Penulis ada beberapa kali pergi ke pejabat parti
baru dan penulis tahu ada gerak kerja dan sumbangan membantu rakyat dijalankan .
Cumanya , tiada berita dalam
paper kerana tiada Ajk parti baru yang pandai buat berita . Ada pemimpin parti
baru yang minta tolong penulis tapi penulis tak tolong kerana penulis juga tak
buat untuk berita aktiviti jamaah lama.
Bila ada pemimpin jamaah
lama yang buat tuduhan tidak betul terhadap parti baru , penulis rasa menyesal
pula tak buat berita kebajikan parti baru. Mulai hari ini, penulis akan tolong
buat berita kebajikan parti baru supaya tidak timbul lagi tuduhan tidak betul
kepada parti baru. Penulis juga dah bagi tahu, YDP jamaah lama tentang perkara ini.
Penulis berdoa kepada Allah
akan mempermudahkan urusan dakwah penulis melalui wadah yang penulis pilih.
Biarpun dihina, dilabel, difitnah itu bukan halangan melaksanakan kerja dakwah.
Yang penting berjuang dengan ikhlas untuk agama Allah.
Jika ada yang mendabik
dada bahawa merekalah pejuang Islam , dalam masa yang sama melabel, maki, hina
dan fitnah pejuang Islam lain. Berdoalah agar mereka sedar akan kesalahan tindakan
mereka yang melangar batasan akhlak Islam.
“Dan
bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada
maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk
menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
[Al-Baqarah : 148]
Wassalam
No comments:
Post a Comment