Tuesday, August 20, 2013

Tulahan : Konflik Mesir, ujian keimanan umat Islam

Salam,


Bila melihat kekejaman tentera dan polis Mesir membunuh rakyatnya memang terasa sedih. Rasa tak sanggup lagi melihat gambar dan video kekejaman tentera dan polis Mesir menembak, membelasah rakyat Mesir yang tidak bertindak balas.

Setiap hari bila membuka facebook , paparan berita , gambar dan video terkini dari fb Mesir Kini, Media PMRAM dan terkini Prihatin Mesir sentiasa menyentuh dan mengulang kesedihan , kasihan , simpati kepada rakyat Mesir yang dizalimi.  


Timbul juga rasa marah , geram, tidak puas hati terhadap kerajaan haram Kudeta Mesir yang menjadi firaun moden membunuh pendokong dan penyokong Ikhwan. Perasaan ini samalah juga dengan perasaan pencinta Islam di seluruh dunia yang berjuang menegakkan Islam di tempat masing-masing. 


Konflik di Mesir bagi penulis bukan sahaja menguji keimanan rakyat Mesir tetapi juga menguji keimanan umat Islam di seluruh di dunia. Umat Islam yang imannya nipis dan tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam akan kurang simpatinya malah ada yang menyokong tindakan kerajaan haram Kudeta Mesir. 


Bagi yang berpegang teguh mengamalkan ajaran Islam termasuk pejuang Islam seluruh dunia , ingatlah Allah juga menguji keimanan mereka sama ada mereka menerima dengan redha apa yang berlaku di Mesir sebagai satu ketentuan Allah yang ada hikmahnya. 


Apabila setiap hari penyokong Dr Morsi dibunuh, dizalimi maka akan ada umat Islam yang terdetik di hati bertanya bilakah akan sampai pertolongan Allah? .  Melihat kepada penyokong Dr Morsi yang kuat amalan Islamnya, sentiasa membaca al-Quran, setiap malam dalam bulan Ramadhan bangun bermunajat memohon pertolongan Allah. Akan ada yang terdetik di hati, mengapa Allah membiarkan mereka dibunuh kejam?  


Ingatlah inilah hasutan iblis yang menghasut umat Islam seluruh dunia termasuk pejuang Islam. Inilah ujian keimanan hasil dari konflik yang berlaku di Mesir.


Pernahkah kita mendengar peristiwa pada suatu ketika Khabab bin Arat datang mengadu kepada Nabi saw. Dia berkata, 

“Kami mengadu kepada Rasulullah saw ketika beliau sedang berbantalkan kain selimut beliau di bawah naungan Ka’bah; “Tidakkah baginda memohon pertolongan buat kami?. Tidakkah baginda berdo’a memohon kepada Allah untuk kami?”. 

 
Beliau bersabda: “Ada seorang laki-laki dari ummat sebelum kalian, lantas digalikan lubang untuknya dan ia diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji, kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dia dibelah menjadi dua bahagian namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Tulang dan urat di bawah dagingnya disisir dengan sisir besi namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Demi Allah, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang mengendarai kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadlramaut tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah atau (tidak ada) kekhawatiran kepada serigala atas kambingnya. Akan tetapi kalian sangat tergesa-gesa”. (Hadith Riwayat Bukhari – 3343)

Kemarahan Nabi ini bukan semata-mata kerana nafsu, tapi kerana baginda tahu, sesungguhnya tidak ada kemenangan yang hakiki tanpa disertai ujian. Ujian ini adalah salah satu jalan datangnya pertolongan. Apa yang terjadi pada umat Islam saat ini, sudah terjadi jauh sebelumnya pada umat-umat terdahulu. Allah swt berfirman: 


Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Maksud Surah al-Baqarah: 214).

 
Dalam ayat ini Allah bertanya, apakah sudah cukup perjuangan dan pengorbanan dilakukan untuk melayakkan masuk ke dalam syurga, suatu tempat yang tidak dapat dibayangkan dengan akal. Di dalamnya terdapat sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengari oleh telinga. 


Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. menyebut “Aku orang yang paling teruk diuji dalam menjalankan tugas Allah”. Baginda diancam dengan ugutan bunuh, diracun, disihir, giginya juga patah dalam peperangan. 


Para Nabi dan Rasul terdahulu juga teruk diuji dalam perjuangan mereka. Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api kerana memperjuangkan Islam. 


Ubatlah hati yang sedih dengan khabar gembira bahawa mereka yang gugur dibunuh tentera dan polis Mesir bukan mati sia-sia tapi syahid dijalan Allah. Mereka yang syahid sebenarnya sudah mencapai kemenangan kerana syurga sudah di depan mata.  


Mati syahid itu kurniaan Allah  walaupun ramai yang bercita-cita mati syahid tetapi tidak semua berjaya mendapatnya.  Beruntunglah pejuang Islam di Mesir kerana sudah beribu orang yang mendapat syahid . 


Penulis kagum dengan keberanian penyokong Dr Morsi yang sanggup berhimpun mempertahankan hak walaupun tahu ancaman bunuh tentera dan polis Mesir.


Bukan seorang yang dibunuh tapi beribu-ribu ,namun mereka tetap bersabar dan terus berhimpun secara aman. Tidak takut mati , inilah kejayaan tarbiyah sejak sekian lama oleh Ikhwan. 


Ahli jamaah di Malaysia, adakah sudah mencapai tahap ahli dan penyokong Ikhwan di Mesir?. Atau masih takut , hatta masih takut walaupun hanya untuk berjuang tanpa muncung senjata di hadapan. 


Penulis pernah berhujah dengan mereka yang takut berjuang termasuk lulusan agama yang pulang dari Mesir. Penulis mahu mereka sedarlah rezeki itu, Allah yang kurniakan. Kalau Allah nak tarik rezeki kita, tak nanti berjuang jamaah. Tak berjuang pun Allah boleh tarik rezeki kita. 


Contohnya, tiba-tiba saja anak kita sakit kena keluarkan duit banyak untuk buat pembedahan. Itu Allah sedang tarik rezeki kita la tu. Tiba-tiba kita kemalangan jalanraya, patah kaki atau sakit berpanjangan guna duit banyak untuk berubat. Itu Allah tarik rezeki kita la tu. Macam-macam lagi boleh jadi, Allah Maha Kuasa. 


Beberapa hari sebelum Ramadhan sehingga akhir Ramadhan , ada tiga kematian orang yang penulis kenal dan baik dengan mereka. 


Pertama, anak saudara isteri penulis baru berumur 22 tahun meninggal dunia terkena renjatan elektrik semasa bertugas sebagai juruteknik di tempat kerja. Kedua, orang kampung penulis yang suka bantu orang kampung dan tidak suka bercerita tentang keburukan orang lain. Sakit tidak sampai sebulan , meninggal dunia pada pagi Jumaat Ramadhan. 


Ketiga, Bendahari jamaah kawasan penulis yang lama hidupnya berjuang , banyak infaq hartanya untuk jamaah. Sakitnya lama hampir setahun, meninggal dunia pagi Isnin Ramadhan.  


Penulis nak bagi tahu bahawa jika kita takut mati, mati akan datang juga. Tak kira masih muda seperti anak saudara isteri penulis, baru sakit seperti orang kampung penulis atau dah lama sakit seperti Bendahari jamaah kawasan penulis. Semua kita tidak boleh lari dari kematian. Bak kata Abang Mat Sabu, “ Kita takut pun mati, berani pun mati. Lebih baik berani” 


Lihatlah kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi menyeru rakyat Mesir terus berhimpun menuntut hak  "Sesungguhnya mana-mana rakyat Mesir tidak akan mati melainkan apabila tiba ajal yang telah ditetapkan."   


Percayalah dengan kesabaran tinggi rakyat Mesir yang cintakan Islam, kemenangan semakin hampir. Buktinya kerajaan haram Kudeta Mesir mula melakukan tindakan baling batu sembunyi tangan.

Mereka melakukan tindakan memusnahkan gereja dan kemudahan awam, kemudian menuduh penyokong Ikhwan melakukan . Mereka membunuh tentera mereka sendiri kemudian menuduh penyokong Ikhwan yang membunuhnya. 


Mereka melakukan tindakan ini supaya rakyat Mesir dan penduduk dunia memandang buruk terhadap Ikhwan. Tindakan sebegini sering dilakukan oleh mereka yang bersalah tetapi tidak mahu mengakui kesalahan. 


Kepada pendokong jamaah di Malaysia, janganlah melakukan tindakan baling batu sembunyi tangan kerana tindakan tersebut sangat tidak berakhlak.Jika kita melakukan kesalahan , akui kesalahan.  


Kenapa penulis ingatkan perkara ini? Kerana sudah ada yang melakukan tindakan memburukkan diri sendiri kemudian menyebarkan di Facebook menuduh pihak lain melakukankannya hanya kerana mahu simpati. 


Membuat akaun facebook palsu diri sendiri , email palsu diri sendiri, blog palsu diri sendiri kemudian disebarkan di facebook menuduh pihak lain melakukannya. Maka diri sendiri dapat simpati , pihak lain dipandang serong. Sudah-sudahlah berpura-pura, Allah Maha Mengetahui. 


Wassalam

No comments:

Post a Comment