Malam
telah larut, ketika seorang pemuda bernama Sa’ad bin Abi Waqqash
terbangun dari tidurnya. Baru saja ia bermimpi yang sangat mencemaskan.
Ia merasa terbenam dalam kegelapan, kerongkongnya terasa sesak,
nafasnya tersekat-sekat, peluhnya bercucuran, keadaan sekelilingnya
gelap-gelita.
Dalam keadaan yang demikian dahsyat itu, tiba-tiba dia
melihat pancaran cahaya dari langit yang terang-benderang. Maka dalam
sekejap, berubahlah dunia yang gelap-gelita menjadi terang benderang
dengan cahaya tadi.
Cahaya itu menyinari seluruh rumah penjuru bumi.
Bersama dengan sinar yang cemerlang itu, Sa’ad bin Abi Waqqash melihat
tiga orang lelaki, yang setelah diamati tidak lain adalah Ali bin Abi
Thalib r.a., Abu Bakar bin Abi Quhafah dan Zaid bin Haritsh.
Sejak ia
bermimpi yang demikian itu, mata Sa'ad bin Abi Waqqash tidak mahu
terpejam lagi. Kini Sa’ad bin Abi Waqqash duduk merenung untuk
memikirkan erti mimpi yang baginya sangat aneh.
Sehingga sinar matahari
mulai meninggi, rahsia mimpi yang aneh tersebut masih belum terjawab.
Hatinya kini bertanya-tanya, berita apakah gerangan yang hendak saya
peroleh.
Seperti biasa, di waktu pagi, Sa’ad dan ibunya selalu makan
bersama-sama. Dalam menghadapi hidangan pagi ini, Sa’ad lebih banyak
berdiam diri. Sa’ad adalah seorang pemuda yang sangat patuh dan taat
kepada ibunya.
Namun, mimpi semalam dirahsiakannya, tidak diceritakan
kepada ibu yang sangat dicintai dan dihormatinya. Sedemikian dalam
sayangnya Sa’ad pada ibunya, sehingga seolah-olah cinta Sa’ad hanya
untuk ibunya yang telah memelihara dirinya sejak kecil hingga dewasa
dengan penuh kelembutan dan berbagai pengorbanan.
Pekerjan Sa’ad adalah
membuat tombak dan lembing yang diruncingkan untuk dijual kepada
pemuda-pemuda Mekah yang senang berburu, meskipun ibunya kadang-kadang
melarangnya melakukan usaha ini.
Ibu Sa’ad yang bernama Hamnah binti
Suyan bin Abu Umayyah adalah seorang wanita hartawan keturunan bangsawan
Quraisy, yang memiliki wajah cantik dan anggun.
Disamping itu, Hamnah
juga seorang wanita yang terkenal cerdik dan memiliki pandangan yang
jauh. Hamnah sangat setia kepada agama nenek moyangnya, iaitu penyembah
berhala.
Pada suatu hari tabir mimpi Sa'ad mulai terbuka, ketika Abu
Bakar mendatangi Sa'ad di tempat pekerjaannya dengan membawa berita dari
langit tentang diutusnya Muhammad Saw, sebagai Rasul Allah.
Ketika
Sa’ad bertanya, siapakah orang-orang yang telah beriman kepada Muhammad
Saw, dijawab oleh Abu Bakar : dirinya sendiri, Ali bin Abi Thalib r.a.,
dan Zaid bin Haritsh.
Muhammad Saw, mengajak manusia menyembah Allah
Yang Esa, Pencipta langit dan bumi. Seruan ini telah mengetuk pintu hati
Sa’ad untuk menemui Rasul Allah Saw, untuk mengucapkan dua kalimat
syahadat.
Kalbu Sa'ad telah disinari cahaya iman, meskipun usianya waktu
itu baru mencecah tujuh belas tahun. Sa’ad termasuk dalam deretan
lelaki pertama yang memeluk Islam selain Ali bin Abi Thalib r.a., Abu
Bakar r.a. dan Zaid bin Haritsh.
Cahaya agama Allah yang memancar ke
dalam kalbu Sa’ad, sudah demikian kuat, meskipun ia mengalami ujian yang
tidak ringan dalam memeluk agama Allah ini. Diantara ujian yang dirasa
paling berat adalah, kerana ibunya yang paling dikasihi dan disayanginya
itu tidak rela ketika mengetahui Sa’ad memeluk Islam.
Sejak memeluk
Islam, Sa'ad telah melaksanakan solat dengan sembunyi-sembunyi di biliknya. Sehingga pada suatu ketika, ketika ia sedang bersujud kepada
Allah, secara tidak sengaja, ibu yang belum mendapat hidayah dari Allah
ini melihatnya.
Dengan nada sedikit marah, Hamnah bertanya : "Sa'ad,
apakah yang sedang kau lakukan ?" Rupanya Sa’ad sedang berdialog dengan
Tuhannya; ia nampak tenang dan khusyu' sekali.
Setelah selesai
menunaikan Solat, ia berbalik menghadap ibunya lalu berkata lembut.
"Ibuku sayang, anakmu tadi bersujud kepada Allah Yang Esa, Pencipta
langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya.
Mendengar jawaban
anaknya,ibunya mulai naik darah dan berkata : "Rupanya engkau telah
meninggalkan agama nenek moyang kita, Tuhan Lata, Manata dan Uzza. Ibu
tidak rela wahai anakku. Tinggalkanlah agama itu dan kembalilah kepada
agama nenek moyang kita yang telah sekian lama kita anut".
"Wahai ibu,
aku tidak dapat lagi menyekutukan Allah, Dia-lah Dzat Yang Tunggal,
tiada yang setara dengan Dia, dan Muhammad adalah utusan Allah untuk
seluruh umat manusia," jawab Sa'ad.
Kemarahan ibunya semakin
menjadi-jadi, kerana Sa’ad tetap berkeras dengan keyakinannya yang
baru ini. Oleh kerana itu, Hamnah berjanji tak akan makan dan minum
sehingga Sa’ad kembali taat memeluk agamanya semula.
Sehari telah berlalu,
ibu ini tetap tidak mahu makan dan minum. Hati Sa’ad merintih melihat
ibunya, tetapi keyakinanya terlalu mahal untuk dikorbankan.
Sa'ad datang
memujuk ibunya dengan mengajaknya makan dan minum bersama, tapi ibunya
menolak dengan harapan agar Sa’ad kembali kepada agama nenek moyangnya.
Kini Sa’ad makan sendirian tanpa ditemani ibunya.
Hari keduapun telah
berlalu, ibunya nampak letih, wajahnya pucat-kesi dan matanya cekung, ia
kelihatan lemah sekali. Tidak ada sedikitpun makanan dan minuman yang
dijamahnya.
Sa’ad sebagai seorang anak yang mencintai ibunya bertambah
sedih dan terharu sekali melihat keadaan Hamnah yang demikian.
Malam
berikutnya, Sa’ad kembali memujuk ibunya,agar mahu makan dan minum.
Namun ibunya adalah seorang wanita yang berpendirian keras, ia tetap
menolak ajakan Sa’ad untuk makan, bahkan ia kembali merayu Sa’ad agar
menuruti perintahnya semula.
Tetapi Sa’ad tetap pada pendiriannya, ia
tak hendak menjual agama dan keimanannya kepada Allah dengan sesuatupun,
sekalipun dengan nyawa ibu yang dicintainya.
Imannya telah membara,
cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya telah sedemikian dalam. Di depan
matanya ia menyaksikan keadaan ibunya yang meluluhkan hatinya, namun
dari lidahnya keluar kata-kata pasti yang membingungkan lbunya;
"Demi
Allah, ketahuilah wahai ibunda sayang, seandainya ibunda memiliki
seratus nyawa lalu ia keluar satu persatu, tidaklah anakanda akan
meninggalkan agama ini walau ditebus dengan apa pun juga. Maka sekarang,
terserah kepada ibunda, apakah ibunda akan makan atau tidak". Kata
kepastian yang diucapkan anaknya dengan tegas membuat ibu Sa’ad bin Abi
Waqqash terpegun sesaat.
Akhirnya ia mulai mengerti dan sedar, bahawa
anaknya telah memegang teguh keyakinannya. Untuk menghormati ibunya,
Sa’ad kembali mengajaknya untuk makan dengannya, kerana ibu ini telah
merasakan kelaparan yang amat sangat dan ia telah memaklumi pula bahawa
anak yang dicintainya tidak akan undur setapakpun dari agama yang
dianutnya, maka ibu Sa’ad mengalah dari pendiriannya dan memenuhi ajakan
anaknya untuk makan bersama.
Alangkah gembiranya hati Sa’ad bin Abi
Waqqash. Ujian iman ternyata dapat diatasinya dengan ketabahan dan
memohon pertolongan Allah. Keesokan paginya, Sa’ad pergi menuju ke rumah
Nabi Saw.
Sewaktu ia berada di tengah majlis Nabi Saw, turunlah firman
Allah yang menyokong pendirian Sa’ad bin Abi Wadqash: “Dan Kami
perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya,
ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua
ibu bapamu; hanya kepada-Ku-lah tempat kamu kembali. Dan jika keduanya
memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada
pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu turuti keduanya, dan
bergaullah dengan keduanya didunia dengan baik dan ikutilah jalan
orang-orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah tempat
kembalimu. Maka Kuberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".
(Q.S. Luqman: 14-15)
Demikianlah, keimanan Sa’ad bin Abi Waqqash kepada
Allah dan Rasul-Nya telah mendapat keredhaan Ilahi. Al-Qur’an telah
mengabadikan peristiwa itu menjadi pedoman buat kaum Muslimin. Terkadang
Sa’ad mencucurkan air matanya apabila ia sedang berada hampir dengan Nabi
Saw.
Ia adalah seorang sahabat Rasul Allah Saw, yang diterima amal
ibadahnya dan diberi nikmat dengan doa Rasul Allah Saw, agar doanya
kepada Allah dikabulkan. Apabila Sa'ad bermohon diberi kemenangan oleh
Allah pastilah Allah akan mengabulkan doanya.
Pada suatu hari, ketika
Rasul Allah Saw, sedang duduk bersama para sahabat, tiba-tiba beliau
menatap ke langit seolah mendengar bisikan malaikat.
Kemudian Rasul
kembali menatap kepada sahabatnya dengan berkata : "Sekarang akan ada di
hadapan kalian seorang lelaki dari penduduk syurga".
Mendengar ucapan
Rasul Allah Saw, para sahabat menengok ke kanan dan ke kiri pada setiap
arah, untuk melihat siapakah gerangan lelaki berbahagia yang menjadi
penduduk surga.
Tidak lama berselang datanglah lelaki yang ditunggu
itu, dialah Sa’ad bin Abi Waqqash. Disamping terkenal sebagai anak yang
berbakti kepada orang tua, Sa’ad bin Abi Waqash juga terkenal kerana
keberaniannya dalam peperangan membela agama Allah.
Ada dua hal penting
yang dikenal orang tentang kepahlawanannya. Pertama, Sa’ad adalah orang
yang pertama melepaskan anak panah dalam membela agama Allah dan juga
orang yang mula-mula terkena anak panah.
Dan yang kedua, Sa’ad adalah
satu-satunya orang yang dijamin oleh Rasul Saw dengan jaminan kedua
orang tua Nabi Saw. Bersabda Nabi Saw, dalam perang Uhud :”Panahlah hai
Sa’ad ! Ayah-Ibuku menjadi jaminan bagimu”.
Sa’ad bin Abi Waqqash,
hampir selalu menyertai Nabi Saw dalam setiap pertempuran.Sejarah
mencatat, hari-hari terakhir Panglima Sa’ad bin Abi Waqqash ialah ketika
ia memasuki usia lapan puluh tahun.
Dalam keadaan sakit Sa’ad bin Abi
Waqqash berpesan kepada para sahabatnya, agar ia dikafani dengan Jubah
yang digunakannya dalam perang Badr, sebagai perang kemenangan pertama
untuk kaum muslimin.
Pahlawan perkasa ini telah menghembuskan nafas yang
terakhir dengan meningalkan kenangan indah dan nama yang harum. Ia
dimakamkan di pemakaman Baqi’, makamnya para Syuhada. (BQ)
No comments:
Post a Comment