Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Lelaki India berbadan tegap itu
menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling
Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank
tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya.
Dia cuma sempat
berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia
kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan
ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung.
Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato’ Dr. Haron Din.
Biarpun dia bukan seorang Muslim,
rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga
dia menonton rancangan tersebut.
Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak
tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka
melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu,
secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu
dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang-an
itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din
mengatakan: “Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang
kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin
pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah
pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi
sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh
daripada kebenaran.”
Mendengar kata-kata Haron Din, darah
lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam
hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima
kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan
oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat
banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya,
melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu
sendiri.
Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap,
ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam,
bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus menyelubungi
fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan
Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut.
Pada fikirannya,
mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti
itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini
seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah
calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa
dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu
dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din
akhirnya hasrat itu tercapai.
Melalui seorang pelanggan yang dikenali
ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu
dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling
Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada
hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli perniagaan
tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah,
kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab.
Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila
ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad, selepas
tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak
Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati
dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih
terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka, segala
yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang
bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia
duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang diberikan
Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi
berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur.
Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan
Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia
rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu tidak
pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang
didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula
mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal.
Lelaki ini
memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk
terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu
berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk
menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani,
tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron
Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak mahu
mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi
kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk
menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana
adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan dia
bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki
itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron
Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk
dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat,
lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang
diri. Tetapi ‘masalahnya’ semakin lama mengikuti usrah Haron Din,
semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam.
Lama-kelamaan, tujuan asal
lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam
agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya.
Setiap kali dia
mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu
dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron
Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi
semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui
tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron
Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil
peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam.
Dia bertanya,
mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua
agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain,
menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia mahu tahu,
kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang
diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti
yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron Din tersenyum dan secara berkias
beliau menjawab; ” Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya
berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita
memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala
kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
“Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu
tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita
mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita
datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan
kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh,
sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
“Begitu jugalah simboliknya di dalam
Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah,
tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau
harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal
perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk
Dia?”
Ternyata segala jawapan dan hujah yang
diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati
akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba
ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan
cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung
perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut
mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam
dirinya hancur dengan kebenaran Islam.
Akhirnya hati lelaki itu terbuka
untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India
tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan
Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya
mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV,
sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di
kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki
India tersebut: “Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang
bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan,
asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai
di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya
bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir.”
Mohammad Fitri Abdullah
“Dan saya adalah di antara mereka yang
terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya
bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun
akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan
saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam,” jelas Mohammad Fitri
Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika Mastika menemuinya di pejabat
Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang
kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada
mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
“Seperti yang saya katakan, pada awalnya
niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas
hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar
penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui,
saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,” jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri
memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang
pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan
yang berteraskan agama yang dianutinya.
Selain itu, dia turut mengajar
di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap
agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada
sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
“Sebenarnya, agama tersebut juga
mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam
kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan
oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam
kitab.
“Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu,
sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang
satu,” tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini.
Lantaran
itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri.
Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun
lagi.
Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang
dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri,
ternyata bercanggah sama sekali.
“Tetapi apabila saya mendengar kuliah
Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan
yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk
memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan
saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah
berikan pada Haron Din,” kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun
berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam
hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh
bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang
aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. “Cuma
bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu
Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya,
terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam.
Murtad.
“Hari ini, menjadi tanggungjawab saya
untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan
cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.
“Ini adalah tuntutan wajib buat diri
saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu
laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu
menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini,” ujarnya
bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.
Wallahu’alam….
Dipetik Dari: halaqah.net
No comments:
Post a Comment