KITA rasa bersyukur yang teramat sangat dengan
berita kemenangan besar Parti an-Nahdah Tunisia pimpinan Dr Rasyed
Ganouchi yang pulang ke tanah air setelah berlaku penggulingan kuasa ke
atas pemimpin diktator, Zein al-Abidin ben Ali yang dijatuhi hukuman
penjara 35 tahun di negaranya sendiri.
Mungkin itu lebih baik daripada menerima nasib diktator Libya, Kolonel Muammar Gaddafi yang dibunuh oleh rakyatnya sendiri yang sudah lama memendam perasaan marah terhadapnya kerana kelantangannya yang jelas menghina Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan Islam.
Malah kepulangan Dr Rasyed
pula tepat pada waktu ketika mana rakyat sudah bosan dengan sistem
pemerintahan secara sekular yang berlangsung puluhan tahun di bumi
Tunisia.
Kegemilangan Islam Apa yang menarik di
Turki pun sudah mula kelihatan ajaran Islam sudah dapat diterima, iaitu
negara yang memperkenalkan sistem sekular melalui pengkhianat agama
iaitu Mustafa Kamal Attaturk, ini menunjukkan bahawa umat Islam di
mana-mana pun sekarang ini sedang meniti jalan untuk mengembalikan
kegemilangan Islam yang pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah
s.a.w.
Mungkin ini satu petanda bahawa Islam akan
mula bertapak di negara-negara umat Islam dan akan menerajui kepimpinan
dunia ke arah mengimarahkan bumi Allah yang sudah lama menerima akibat
negatif daripada pelaksanaan undang-undang yang menyanggah kebesaran
Allah SWT.
Ia tidak sekadar bumi, malah akibatnya
juga tempias kepada kebanyakan bangsa manusia yang semakin terserlah
penentangan mereka terhadap Allah. Bumi ini mengharapkan khalifah yang
mengurus tadbirnya dengan Islam seperti yang dihendaki-Nya.
Namun demikian, apakah rahsia kejayaan golongan aktivis Islam menguasai
negara dimulai dengan Turki? Insya- Allah selepas ini Tunisia, Mesir dan
disusuli pula negaranegara yang berpotensi besar dengan urus tadbir
berpaksikan tuntutan ajaran Islam atau Siyasah Syar’iyyah seperti Yaman?
Mungkin antara jawapannya ialah keberkesanan para wartawan gerakan
Islam memainkan isu dan peranan hingga jatuhnya kuasa-kuasa besar.
Apakah ciri wartawan gerakan Islam?
Pengalaman bergaul dengan segelintir pimpinan Ikhwan Muslimun Mesir
pada era 80-an ketika menjadi pelajar di situ, banyak yang penulis
belajar khususnya dari sudut penulisan akhbar dan majalah yang
diterbitkan oleh Maktab al-Irsyad (Jabatan Mursyidul Am).
Penulis dapati
bahawa kebanyakan wartawan atau penulis yang terlibat mengendalikannya
adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar komited dengan jemaah.
Dalam erti kata mereka menjaga disiplin bukan sahaja sebagai wartawan
Muslim yang komited, malah lebih daripada itu bagaikan para perawi hadis
pada zaman silam yang amat memelihara etika periwayatan dengan
mengambil kira faktor keberkatan dan keredaan Allah dalam setiap bahan
disiarkan.
Faktor keberkatan dan keredaan Allah
menurut pandangan mereka ialah dengan menjaga solat fardu pada awal
waktu yang dilakukan dalam bentuk jemaaah, mereka merealisasikan amanat
Imam Hasan al-Banna yang menekankan 10 perkara bagi menjamin
keberkesanan dalam dakwah.
Yang mana menurutnya perkara pertama ialah
menunaikan solat pada awal waktu ketika mendengar azan walau dalam apa
jua keadaan, kerana tidak ada panggilan yang lebih baik daripada
panggilan muazzin menyeru yang lain untuk bersolat jemaah.
Inilah yang menjadi etika utama kerjaya sebagai wartawan ‘gerakan
Islam’ yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam penulisan, tetapi pada
masa yang sama menyeru manusia sejagat untuk menjadi hamba Allah terbaik
dengan melaksanakan segenap titah perintah Allah SWT dan meninggalkan
segenap larangan dan tegahan-Nya.
Tidak cukup
dengan itu, mereka juga dikehendaki menghadiri kuliah atau ceramah yang
disampaikan oleh pimpinan atau sesiapa sahaja di kalangan mereka yang
komited dengan jemaah atau gerakan yang mereka dukungi.
Mereka menekuni setiap maklumat yang disampaikan bagi mengasah bakat penulisan mereka menepati piawaian dan kehendak pimpinan.
Pimpinan bertanggungjawab memantau cara berfikir yang menjurus kepada
‘Wehdatul Fahmi’ iaitu kesatuan cara berfikir, dalam erti kata bahawa
tidak ada seorangpun di kalangan wartawan yang tidak intima’ (komited)
dengan pemikiran jemaah, apatah lagi yang cenderung kepada fahaman
aliran sosialis, kapitalis atau sekular, ini kerana bagi menjamin
kualiti penulisan yang berteraskan roh Islam yang sebenar.
Mungkin ada
di kalangan penulis yang hebat menulis, tetapi cara hidup, cara
berfikir, penampilan tidak kelihatan sebagai pekerja gerakan Islam yang
mempunyai peranan merubah suasana politik negara.
Kemenangan
Inilah juga berlaku dengan rakan-rakan wartawan atau pemberita di
Turki, yang bekerja keras pada 2002 memastikan kemenangan Parti Keadilan
(AKP) pimpinan Recep Taiyip Erdogan memenangi pilihan raya penting
tahun itu.
Tulisan mereka dijelmakan oleh mereka yang benar-benar
mempunyai roh Islam. Ia bukan sahaja dalam penulisan, tetapi roh yang
terdapat dalam pemikiran, cara hidup dan penampilan yang dibantu dengan
kudrat Allah SWT.
Pokoknya, mereka yang bekerja
di jabatan penerbitan jemaah adalah mereka yang bertindak sebagai daie
(pendakwah) yang berkemampuan menyalurkan maklumat agama dan jemaah
kerana mereka adalah individu yang ditarbiyah dengan kefahaman Islam
yang betul di samping bahan-bahan bacaan yang berunsur pendidikan yang
menjurus kepada pendidikan roh, jiwa dan mental bagi melahirkan cara
berfikir yang selaras dan selari dengan tuntutan jemaah.
Mudah-mudahan sekelumit daripada catatan penulis mengenai etika
kewartawanan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan penulis yang
bekerja untuk memenangkan parti yang kita sayang ini, yang menghadapi
pelbagai birokrasi dan karenah pihak lawan yang senagaja mencari jalan
untuk menyekat kemaraannya, justeru kemenangan kita adalah kemenangan
yang bertunjangkan ‘roh Islam’ yang mungkin tidak ada pada mereka.
USTAZ ZAINUDIN HASHIM
No comments:
Post a Comment