Wednesday, November 2, 2011

Rasulullah pembawa kasih Tuhan



Lelaki berwibawa itu membariskan anak-anak saudaranya, Abbas, Abdullah, Ubaidillah, dan Kutsair.  
Ia berkata kepada kanak-kanak itu, ”Ayuh, siapa yang lebih dulu mencapaiku, aku beri hadiah.” Kanak-kanak itu dengan gembira berlarian, berlumba mendapatkan lelaki yang mereka cintai itu.
Ada yang kemudian jatuh di dadanya, ada yang di punggungnya. Lelaki yang tidak lain adalah pemimpin agung Nabi Muhammad SAW itu pun memeluk dan menciumi mereka.


Ketika waktu solat tiba, Rasulullah SAW seperti biasa datang untuk mengimami jamaah. Namun, kali ini, beliau datang dan solat dengan mendukung cucunya, Umamah binti Abil ’Ash, di bahunya. Pada masa rukuk, Umamah diletakkan dan semasa bangkit dari rukuk cucunya itu diangkat lagi.


Kisah Lain
Zahir sedang berada di pasar Madinah ketika tiba-tiba seseorang memeluknya kuat-kuat dari belakang. Tentu saja Zahir terkejut dan berusaha melepaskan diri, katanya, ”Lepaskan aku! Siapa ini?”

Orang yang memeluknya tidak melepaskannya, lalu berteriak, ”Siapa mahu membeli budak saya ini?” Begitu mendengar suaranya, Zahir sedar siapa orang yang mengejutkannya itu.
Bahkan, ia merapatkan punggungnya ke dada orang yang memeluknya, sebelum kemudian mencium tangannya. Lalu, katanya riang, ”Lihatlah, ya, Rasulullah, ternyata saya tidak laku dijual.”

”Tidak, Zahir, di sisi Allah hargamu sangat tinggi,” sahut lelaki yang memeluk dan ”menawarkan” dirinya seolah budak itu yang ternyata tidak lain adalah Rasulullah, Muhammad SAW.

Zahir Ibn Haram dari suku Asyja’ adalah seorang di antara sekian banyak orang pedalaman yang sering datang berkunjung ke Madinah, berkunjung bertemu Nabi Muhammad SAW.

Di perjalanan, rombongan berhenti untuk beristirehat. Ketika mereka menyiapkan makanan, seseorang mengangkat tangan dan berkata, ”Aku yang menyembelih kambingnya.”

”Aku yang membuang kulitnya!” kata yang lain. ”Aku yang memasak!” sahut yang lain lagi. ”Kalau begitu, aku yang mencari kayu bakar!” kata pemimpin mereka, Nabi Muhammad SAW. 
Orang- orang pun serentak berkata, ”Tak usah, ya, Rasulullah, biar kami saja yang bekerja.”

”Aku tahu anda semua boleh menyelesaikan pekerjaan ini tanpa aku,” kata Nabi, ”tetapi aku tidak ingin berbeza dari istimewa melebihi anda semua. Allah tidak suka melihat hambanya berbeza dari sahabat-sahabatnya.”

Pengajaran utama berbagai nukilan kisah diatas adalah Nabi Muhammad SAW yang bagi Michael H Hart, namanya ditempatkan dalam urutan pertama 100 manusia paling berpengaruh di dunia. 
Pengajaran utama nukilan kisah itu adalah utusan Allah, Muhammad SAW, yang agamanya diikuti oleh najoriti bangsa ini. Pemimpin yang berjaya membina masyarakat madani di Madinah. 
Pemimpin yang mencintai dan dicintai umatnya. Pemimpin yang ditaati kerana dicintai dan bukan kerana ditakuti.

Di dada dan punggung Pemimpin Agung itulah kanak-kanak, anak-anak saudaranya, bergayutan dengan riang. Di bahu Pemimpin Agung itulah Umamah binti Abil ’Ash, cucunya, didukung dibawa mengimami solat. 
Pemimpin Agung itulah yang bergurau dan mengusik salah seorang rakyatnya di pasar. Pemimpin Agung itulah yang tidak mahu diistimewakan oleh kawan- kawan rombongannya dan meminta bahagian pekerjaan juga seperti anggota rombongan yang lain.

Dari adegan-adegan sederhana itu, anda pasti dapat membaca, antara lain, kasih sayang dan kerendah hati Nabi Muhammad SAW. Kasih sayang dan kerendah hati inilah yang menjadi faktor utama mengapa beliau amat dicintai dan disayangi umatnya. Kasih sayang sudah menjadi sifat Nabi SAW.

Pernah Nabi SAW mencium cucunya, Hasan Ibn Ali, di hadapan tokoh suku Tamim, Aqra’ Ibn Habis. Aqra’ berkata, ”Aku punya sepuluh anak dan tak seorang pun pernah aku cium.” 
Nabi memandang Aqra” dan bersabda, ”Man laa yarhamu laa yurhamu.” ”Orang yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi.”

Kasih sayang bukan saja sifat Rasulullah SAW dan merupakan sikap hidup beliau, melainkan juga merupakan misi beliau; sesuai dengan yang difirmankan Tuhannya dalam Al Quran (Q. 21: 107). 
Seperti nabi-nabi sebelumnya, Nabi Muhammad SAW adalah pembawa kasih sayang Tuhan. Maka, mereka yang mengaku pemimpin penerus risalah Nabi, tetapi tidak memiliki kasih sayang, akan mengalami kesukaran malah juga menyukarkan orang lain.

Semoga selawat dan salam dilimpahkan kepada NabiMuhammad SAW.

No comments:

Post a Comment