Monday, November 14, 2011

Kamarulzaman Abdullah : Perginya seorang anak, ayah, suami, sahabat dan pejuang.

Salam, 
Penulis membaca sepintas lalu kematian Pembantu Khas Datuk Husam dalam harakahdaily. Tak terlintas langsung bahawa manusia yang meninggal dunia itu adalah orang yang penulis kenal.

Bila penulis buka FB Group rakan seperjuangan di kampus , terpaku penulis bahawa Kamarulzaman Abdullah telah pergi buat selamanya. 

Penulis memang tidak tahu bahawa Kamarulzaman sudah bertugas bersama Datuk Husam di Kelantan. Sebelum ini, beliau aktif di Penang selepas tamat universiti dan bergiat dengan GAMIS.

Kamarulzaman ada beberapa kali bertemu dengan penulis semasa beliau memimpin jamaah kampus dan GAMIS. Semua pertemuan beliau dengan penulis , fokus perbincangannya adalah jamaah sama ada di kampus dan di luar kampus.

Mungkin rakan seperjuangannya di kampus lebih mengenalinya daripada penulis. Namun, walaupun hanya beberapa kali bertemu dengannya ,penulis kagum dengan akhlak dan kepimpinannya.

Seorang yang sangat menghormati orang lain, sedia mendengar pandangan orang lain, sentiasa meletakkan keutamaan jamaah  dari yang lain.

Perginya Kamarulzaman satu kehilangan besar kepada jamaah. Perginya semasa berjuang dalam usia yang masih muda.

Penulis akan paparkan tulisan rakan sepejuangan Allahyarham dalam blog Ibnutukiman mengenai pemergian Kamarulzaman. Bacalah........
 
Dalam sibuk bersiap untuk kerja, bunyi pesanan ringkas (sms) yang bertalu-talu pada pagi Jumaat, 11 November lalu sedikit mengganggu. Biasanya pagi-pagi ni sms-sms promosi entah apa-apa atau sms daripada Celcom saja yang saya terima. Apabila dibaca salah satu sms yang diterima, berderau darah saya, serentak dengan sebutan “innalillah wa inna ilaihi raajiun”.

Berita yang saya terima amat mengejutkan; sahabat baik semasa di USM dulu telah meninggal dalam kemalangan. Beliau; Kamarulzaman Abdullah, terlibat dalam kemalangan selepas pulang dari Parlimen untuk menghadiri majlis penyerahan “Amanat Tun Razak” kepada PM berhubunga tuntutan royalti minyak Kelantan.
Saya terus membuat beberapa panggilan untuk mengesahkan berita itu. Perkara mati ni tak boleh buat main-main. Selepas mendapat pengesahan, saya terus maklumkan isteri dan utarakan kepadanya untuk menziarahi keluarga Allahyarham di Kelantan. Isteri saya serta-merta setuju. 
 
Kebetulan pula, isteri arwah; Farah Waheeda juga adalah sahabat isteri saya semasa di kampus dulu. Perkara pertama yang disebut isteri saya apabila saya sampaikan berita ialah, “Ya Allah... Kak Waheeda.” Mungkin dia terkenangkan nasib sahabatnya yang hampir 9 tahun tak ketemu.

Selepas solat jumaat, kami bertolak ke Kelantan. Sahabat-sahabat di Kelantan dihubungi dan Shahanaz setuju menjadi penunjuk jalan ke rumah keluarga Allahyarham. 
 
Kami sampai lewat malam di Kota Bharu dan menetap di sebuah hotel bajet di Lundang, berdekatan 7 Eleven Lundang dan Shell Jalan Sultan Yahya Petra.

Keesokan paginya Shahanaz membawa kami ke kubur Allahyarham terlebih dahulu. Setelah menyedekahkan Al-Fatihah dan doa, kami bergerak ke rumah keluarga Allahyarham di Batu 4, Wakaf Che Yeh. 
 
Perasaan yang bercampur-baur sejak dari kubur tadi bertambah kuat. Sesampainya kami ke rumah yang ditujui, kelibat tetamu yang berkunjung tak putus-putus.

Saya pun memberikan salam. Salam dijawab dan isteri Allahyarham muncul di muka pintu. “Ya Allah, dari jauh pun datang.” Saya hanya mampu tersenyum walaupun mata macam nak banjir melihat ketenangan seorang isteri pejuang. 
 
Mujur telefon bimbit berbunyi sebelum air mata sempat tumpah. Wan Hamadi, seorang sahabat lama menelefon mengajak ke rumah selepas menziarahi keluarga Allahyarham.
Bersama ayah Allahyarham; dua dari kiri

Selesai menjawab terlefon, saya naik ke rumah. Selepas seketika, saya sempat berbual dengan ayah Allahyarham. 
 
Banyak yang kami bualkan. Kebanyakkannya berkenaan Allahyarham. Antara yang saya sebutkan kepada beliau ialah, saya datang mungkin berdua dengan isteri tetapi yang mengirimkan salam takziah dan sumbangan duit sangat ramai; dari utara sampai selatan hingg ke Sarawak. 
 
Selain itu, insyaAllah kematian Allahyarham adalah kematian yang baik. Allah menjemput beliau pada malam Jumaat, pada waktu yang baik, dan tujuan musafirnya juga adalah tujuan yang baik; menuntut hak rakyat Kelantan. Belum dikira lagi doa dan solat jenazah Allahyarham yang dihadiri oleh sangat ramai orang.

Isteri Allahyarham bertudung hitam, duduk dua dari kanan
Sebelum pulang, Kak Waheeda ada berpesan, “minta pesan, kalau ada sesiapa yang ada memberi hutang kepada Allahyarham, sila tuntut dengan saya. 
 
Kalau Allahyarham ada membuat salah dan silap kepada sesiapa, mohon dimaafkan. 
 
Minta doakan dia.” Saya hanya mampu tersenyum sambil menjawab “Insya Allah.”

Bagi saya, kematian Allahyarham Kamarulzaman mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi:
  1. Silaturrahim semasa di kampus yang telah terputus kerana tuntutan tugas dan kerja mula bertaut kembali. Sahabat yang lama tak dengar berita mula menelefon semula. Yang bertukar nombor telefon, memberi nombor telefon baru.
  2. Walaupun kini mungkin ada yang berlainan “bendera” tetapi kesan ukhuwwah semasa di kampus masih dirasai apabila masing-masing melahirkan kesedihan dan takziah atas pemergian Allahyarham.
  3. Sahabat sanggup memberi derma dengan banyaknya kepada isteri dan anak Allahyarham. Sumbangan yang sahabat-sahabat kirim RM950 semuanya dan dikumpul dalam tempoh dua hari sahaja (Jumaat-Sabtu). Balik hari ni, dapat tahu ada RM350 lagi yang dikirim tapi saya lambat tahu. Akan disampaikan sumbangan ini melalui sahabat yang tinggal di Kelantan. Oleh itu, diharap momentum memberi derma ini dapat diteruskan lagi untuk perkara-perkara lain pula.
  4. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Walaupun terasa kesedihan di rumah Allahyarham, tetapi ketabahan dan keredhaan keluarga Allahyarham menutupi kesedihan tersebut. Beginilah layaknya keluarga seorang pejuang.
  5. Pengajaran kepada yang masih hidup bahwa kematian itu tidak mengenal siapa. Kita mohon doa supaya kita mati dalam sebab dan kerja yang baik. Selain itu, jangan kita bersekongkol dengan kemaksiatan dan pembuat maksiat dan penzalim. Takut-takut tak sempat minta ampun.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Kamarulzaman Abdullah dan ditempatkan beliau dalam kalangan para syuhada dan orang-orang soleh.

Insya Allah, kami semua akan mengikuti kamu juga. Dalam kenangan: Kamarulzaman bin Abdullah; Seorang Anak, Ayah, Suami, Sahabat dan Pejuang. Ibnutukiman

1 comment: