Syaikh Rashid Ghannoushi
Bagi
ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model ‘politik Islam’
Parti Islam SeMalaysia (PAS), ‘penampilan’ parti berteraskan Islam di
Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu
begitu ‘mengejutkan’ dan sangat ‘janggal’.
Pada
22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas kejatuhan Ben Ali yang
digulingkan pada 14 Januari 2011, pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid
Ghannoushi telah memberikan satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman,
Der Spiegel, bahawa partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan
Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang memerintah negara itu.
Apa
yang menjadi objektif partinya, jelas beliau, ialah membebaskan Tunisia
daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk sekalipun. (Rujukan : onislam.net)
Jika
sikap ‘dingin’ Ennahda terhadap perlaksanaan Syariat Islam ini
diteropong melalui jendela ‘politik Islam’ versi PAS, adalah sesuatu
yang sangat janggal, bahkan tidak boleh diterima langsung, sebuah parti
Islam mengumumkan, ia tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam
dalam sebuah negara yang dikuasainya!
Dalam
persekitaran ‘politik Islam’ versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam
tidak menyebut sebarang sikap atau pendirian berhubung perlaksanaan
Syariat Islam, masih boleh diterima, walaupun dengan ‘berat hati’.
Namun,
tindakan mana-mana parti Islam mengisytiharkan bahawa ia tidak akan
berusaha melaksanakan Syariat Islam dalam negara yang diterajuinya,
adalah sangat ‘mengejutkan’, begitu ‘janggal’ dan tidak boleh diterima
sama sekali.
Lebih
‘parah’ lagi, Ennahda bukannya mengumumkan ia tidak akan melaksanakan
hudud-yang merupakan satu juzuk yang kecil dalam Syariat
Islam-sebaliknya mengumumkan tidak akan berusaha melaksanakan Syariat
Islam itu sendiri!
Andainya
pengumuman serupa-disebabkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang
wajar-dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan
keluar meninggalkan parti, atau paling kurang, parti akan dituduh
sebagai mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari
keredhaanNya, semata-mata kerana kuasa politik dan keredhaan para
pengundi (terutamanya pengundi bukan Islam)!
Jika
pengumuman seperti itu dibuat oleh parti lain yang bukan dari aliran
Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel
sebagai menolak hukum Allah, serta lebih mengutamakan sokongan dan
kehendak para pengundi, berbanding keredhaan Allah.
Negara Sekular
Bergerak
sejajar dengan pengumuman ‘mengejutkan’ dan ‘janggal’ itu, persoalan
perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan
langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihanraya Tunisia yang berlangsung
pada 23 Oktober 2011 yang lalu.
Ennahda
yang diasaskan pada tahun 1981 itu terus membuat 'kejutan', apabila
tidak hanya berpada setakat pengumuman bahawa ia tidak berusaha
melaksanakan Syariat Islam di Tunisia.
Lebih
daripada itu, kepimpinan parti Islam itu mengumumkan akan berusaha
membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati
hak-hak manusia! (Rujukan :onislam.net )
Dalam
konteks ‘iklim politik Malaysia’ yang dipengaruhi oleh pemikiran
‘politik Islam’ versi PAS, sikap Ennahda yang berterus terang tidak mahu
berusaha melaksanakan Syariat Islam, dan mahu menubuhkan sebuah
masyarakat sekular, sangat ‘melampau’ dan pasti akan mencetuskan
perdebatan hukum yang serius.
Tindakan
sebegitu sangat sensitif bagi umat Islam di sini, sehinggakan UMNO
sendiri, yang disifatkan PAS sebagai bukan parti Islam, tidak berani dan
tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
UMNO sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan Syariat Islam, dan negara Malaysia yang diterajuinya merupakan sebuah Negara Islam.
UMNO sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan Syariat Islam, dan negara Malaysia yang diterajuinya merupakan sebuah Negara Islam.
Rentetan
daripada pendirian politik yang telah diambil itu, Ghannoushi mengambil
sikap yang sangat liberal atau sangat ‘longgar’ terhadap aktiviti
penjualan dan penggunaan arak di Tunisia.
Beliau telah mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, dan tidak akan ‘mengganggu’ budaya memakai bikini di pantai-pantai negara itu. (Rujukan : aljazeera.net )
Beliau telah mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, dan tidak akan ‘mengganggu’ budaya memakai bikini di pantai-pantai negara itu. (Rujukan : aljazeera.net )
Sikap
yang sama ditunjukkan dalam layanan parti Islam itu terhadap wanita,
apabila membenarkan wanita Islam yang tidak bertudung, menjadi salah
seorang calonnya, disamping menjamin akan mempertahankan hak wanita
Tunisia memakai apa jua pakaian yang mereka kehendaki. (Rujukan : aljazeera.net)
Antara Ennahda & PAS
Pendirian
politik dan sikap liberal Ennahda berhubung persoalan-persoalan yang
dinyatakan, membentuk satu kesimpulan, iaitu parti Islam itu berusaha
menyembunyikan ‘ciri-ciri keislaman’ dalam tindak tanduk dan
pendiriannya, demi maslahah yang lebih besar (menerajui negara), dan
cuba menampilkan dirinya dalam bentuk sebuah parti yang dinamik,
sederhana dan toleran.
Ini
berbeza dengan PAS yang dilihat-berdasarkan tindak tanduknya-berusaha
ke arah sebaliknya, iaitu berusaha menampilkan ciri-ciri keislaman dan
‘jenama Islam’ dalam setiap tindak tanduk dan sikap yang diambil.
Namun,
perkembangan semasa memperlihatkan, PAS semakin mendekati pendekatan
dan penampilan Ennahda itu, apabila turut bertindak ‘menutup’ ciri-ciri
keislamannya yang begitu zahir dan ketara, iaitu cita-cita penubuhan
Negara Islam, yang kini ‘ditutup’ dengan ‘jubah’ Negara Berkebajikan.
Bezanya,
Ennahda tidak mengambil masa untuk sampai kepada kedudukannya yang
dilihat dinamik dan sederhana seperti sekarang, apabila parti itu tampil
dengan watak sebegitu sejak awal-awal lagi, iaitu sejak kejatuhan regim
Ben Ali lagi.
Tidak
seperti PAS, parti yang satu-satunya menamakan dirinya sebagai Parti
Islam itu, mengambil masa puluhan tahun untuk sampai kepada titik
sekarang, iaitu titik pasca Pilihanraya Umum 2008, yang menyaksikan
parti itu tampil dengan karakter yang agak sederhana dan dinamik.
Dalam
ungkapan lain, PAS mengambil masa selama puluhan tahun untuk ‘menyolek’
dirinya, agar tampil dalam bentuk yang boleh disifatkan agak dinamik
dan sederhana, seperti yang dapat dilihat selepas Pilihan Raya Umum
2008, khususnya selepas muktamar kali ke 57 yang menjadikan Negara
Berkebajikan sebagai agenda baru parti itu, menggantikan Negara Islam.
Adalah
dipercayai, banyak pihak, termasuk dari dalam PAS sendiri, terutama
golongan professional yang mengimpikan agar PAS tampil seperti bentuknya
sekarang-yang dilihat lebih dinamik dan realistik-sejak dahulu lagi,
paling tidak, sejak parti itu berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990.
Tentunya
ada pihak yang mengandaikan, jika parti itu berbuat demikian, mungkin
kedudukannya di pentas politik tanah air masa kini, lebih baik dari
sekarang, atau sudah pun menguasai Putrajaya!
Ijtihad Politik
Mengambil
kira kedudukan pemimpin utama Ennahda, Ghannoushi selaku seorang
pemikir Islam, dan telah banyak menghasilkan karya-karya bermutu, dalam
masa yang sama memegang jawatan Pembantu Setiausaha Agong Kesatuan Ulama
Islam Sedunia, yang dipengerusikan oleh Syaikh Yusuf Qaradhawi,
pendirian politik Ennahda seperti yang dinyatakan, perlu dinilai sebagai
satu ijtihad politik yang perlu dialu-alukan.
Sebagai
satu analisis ringkas, Ennahda melihat dirinya berhadapan dengan dua
kewajipan, iaitu kewajipan membentuk sebuah negara yang adil; dan
kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam berhubung arak, perlaksanaan
hudud dan penguatkuasaan etika-etika Islam.
Pada
pertimbangan Ennahda, kedua-dua kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan
serentak, memandangkan perlaksanaan hukum hakam Islam berkaitan arak,
hudud dan etika-etika Islam, dijangka akan mencetuskan tentangan rakyat,
seterusnya mungkin mengakibatkan parti Islam itu gagal menerajui
negara, sekaligus bermakna gagal membentuk sebuah negara yang adil.
Sehubungan
itu, Ennahda memilih untuk memberi keutamaan kepada kewajipan membentuk
negara yang adil, biarpun dengan menangguhkan buat sementara kewajipan
perlaksanaan hukum hakam Islam berkaitan perkara-perkara yang
dinyatakan.
Pendirian
ini diambil kerana parti itu melihat ‘menerajui negara’ maslahahnya
lebih besar, kerana ia akan memberi peluang kepada parti itu
melaksanakan agenda yang lebih menyeluruh kesannya, iaitu keadilan
sosial, kebebasan undang-undang, perlaksanaan syura, ketelusan
pentadbiran dan demokrasi, yang pada hakikatnya adalah tuntutan-tuntutan
Islam yang besar dan utama.
Selain
berpedomankan Feqh Awlawiyyat atau Feqh Keutamaan dalam membuat
pendirian politik, Ennahda juga berpandukan kepada konsep ‘tadarruj (beransur-ansur) dalam perlaksanaan Islam’.
Realitinya,
konsep ini kekal absah hingga kini, dan bukannya-seperti yang didakwa
ramai orang-telah ‘tamat tempoh’, sebaik sahaja hukum hakam Islam telah
lengkap dan sempurna, sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Dalam
ruangan yang terbatas ini, tindakan dan kenyataan Khalifah Umar Abdul
Aziz, sudah memadai untuk mengesahkan keabsahan konsep ini sehingga ke
hari ini.
Khalifah
Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha
penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah-pemerintah
sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).
Penangguhan
ini walau bagaimana pun, dibantah oleh anak beliau, Abdul Malik kerana
didorong oleh semangat Islamnya yang tinggi dan kecintaan beliau
terhadap Islam.
Beliau
berkata kepada Khalifah Umar, “mengapa ayahanda tidak melaksanakan
perkara-perkara ini (iaitu menghapuskan saki baki penyelewengan dan
kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli sekalipun anakanda dan
ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”.
Khalifah
Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama), membantah kenyataan
anaknya itu dengan berkata, “jangan tergesa-gesa anakanda, kerana
sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada
waktu yang berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya)
mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).
Sesungguhnya,
ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas
manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika
demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan)
fitnah”. (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, jilid 2, hlm 93-94).
Feqh Awlawiyyat
Disebabkan
realiti di Tunisia mungkin berbeza dengan suasana di negara ini,
tulisan ini tidak bermaksud memberi saranan kepada mana-mana pihak di
sini, agar mengambil sikap dan pendirian politik yang sama dengan
Ennahda.
Apa
yang menjadi objektif tulisan ini ialah melambung persoalan Feqh
Awlawiyyat, agar ia menjadi pertimbangan dan perkiraan semua pihak,
terutama gerakan Islam, dalam setiap tindak tanduk dan perdirian yang
diambil.
Ya,
mungkin suasana di Tunisia memerlukan Ennahda mengambil pendirian dan
sikap yang begitu liberal terhadap soal perlaksanaan Syariat Islam,
disebabkan latar belakang kehidupan rakyatnya yang dicengkam
‘sekularisme melampau’ sejak berdekad-dekad lamanya.
Namun,
kita perlu berfikir panjang dan berhati-hati sebelum mengutarakan
bahawa pendekatan, sikap dan pendirian politik yang serupa, tidak sesuai
di Malaysia disebabkan perkembangan Islam yang pesat di sini, dan
kefahaman rakyatnya yang tinggi terhadap Islam.
Ini
kerana, di sini terdapat satu fenomena-yang memerlukan pertimbangan
khusus-yang lebih ‘parah’ daripada ‘sekularisme melampau’ di Tunisia,
iaitu kewujudan bukan Islam yang ramai dan menjadi penentu kepada
kemenangan sesebuah parti dalam pilihanraya.
Jika
realiti semasa Tunisia yang dilatari ‘sekularisme melampau’ dalam
tempoh yang lama, memerlukan Ennahda mengambil sikap dan pendirian
politik yang liberal, bagaimana pula dengan realiti yang berteraskan
kemajmukan agama dan kepercayaan seperti di Malaysia?
Pada
titik ini, mana-mana pihak yang menyakini politik tidak boleh
dipisahkan daripada Islam, dan perjuangan menegakkan negara adalah
tuntutan Islam, tidak perlulah tampil menyifatkan tindakan Ennahda
‘meminggirkan’ buat sementara perlaksanaan hudud dan penguatkuasaaan
etika-etika Islam, demi menakluki mercu kuasa, sebagai tindakan
mengorbankan prinsip perjuangan atau tuntutan agama demi kuasa politik.
Mereka
tidak boleh berkata demikian, kerana mereka juga yang melaung-laungkan
bahawa perjuangan menegakkan negara dan memerintah negara, adalah satu
kewajipan dan tututan Islam.
Jika
demikian, tindakan Ennahda itu termasuk dalam kategori mendahulukan
kewajipan agama (menegakkan negara) yang dinilai lebih utama, dengan
menangguhkan satu lagi kewajipan agama (perlaksanaan hudud dan
penguatkuasaan etika-etika Islam) yang dinilai sebaliknya. Atau termasuk
dalam cakupan konsep ‘tadarruj dalam perlaksanaan Islam’.
Ia adalah berkaitan Feqh Awlawiyyat.
Ia bukannya menggadai prinsip perjuangan demi kuasa!
Warisan-semasa
Talking about feqh awlawiyyat.
ReplyDeleteMemang benar kita seharusnya meneggakan negara dulu sebelum meletakkan sharia law , hukum hudud dan sebagainya.
Tetapi sejauh mana Tahaluf Siyasi Pas akanmentahqiqkan Islam sebagai marjaiyyah petama negara jika mendapat kerusi itu adalah persoalannya.
Moga kita semua diberi pentujukNya
WA