Tuesday, March 1, 2011

Kisah pencuri solat ditangkap


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjk62Tm27YLqa7O11-f2TD_C9qlwci80JVcZF38reZvFE4Ab8BDbfccxrsaVAxPHK_4l8YIBsr2zMhWlAXp7N1V4lwwde2ZYbsbjrbzDJmqwzxRHxRjUHYN9LTBkvmrJvhWYdKEw6-XSy4/s1600/P1308649belatukpaint.JPG
Jangan solat 'burung belatuk'

Abdullah bin Kathir menceritakan kisah Hajjaj bin Yusuf ketika masa remajanya, sebelum beliau terkenal dan memegang apa-apa jawatan. Hajjaj pernah solat di samping Said bin Al-Musayyib di Madinah.

Hajjaj selalu tergopoh gapah dalam solatnya, sehingga dia bangun dari ruku' sebelum imam bersujud dan bangun ketika imam masih sujud.

Sebaik saja solat selesai, Hajjaj telah bergerak untuk bangun, tapi Said bin Al-Musayyib segera menjerat lehernya dengan kain redaknya. Hajjaj meronta untuk beredar, tapi Said terus menahannya sambil berzikir.

Jadilah Hajjaj seperti kambing yang sedang ditambat, tidak dapat lari.


Setelah selesai wirid, Said memandang muka Hajjaj sambil berkata: "Wahai pencuri (dalam solat), wahai pengkhianat! Engkau mengerjakan solat semberono seperti itu? Aku tampar muka engkau dengan terompah ini, baru tahu!"

Hajjaj tidak menjawab, dia beredar dari masjid dan terus pergi ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji. Beberapa tahun kemudian, Hajjaj dapat memegang jawatan tinggi dan terkenal sebagai penguasa tegas dan keras.

Hajjaj berulang alik ke Madiah setelah mengalahkan dan membunuh Abdullah bin Zubair dalam suatu peperangan di sekitar Masjidil Haram, Makkah.

Suatu hari, dia melihat Said Al-Musayyib sedang mengajar di majlisnya, lalu meluru ke dalam dan duduk di samping ulama Tabiin itu.

Pada mulanya orang-orang yang hadir di majlis itu merasa khuatir pahlawan kejam itu akan mengganggu al-Musayyib.


"Engkau yang mengajar di sini? tanya Hajjaj.

"Ya, saya," jawab Al-Musayyib sambil menepuk dadanya.

"Saya mengucapkan banyak-banyak terimakasih atas teguranmu dahulu itu. Selepas itu, setiap saya mengerjakan solat, selalu teringat kepadamu." kata Hajjaj kemudian beredar.

No comments:

Post a Comment