Friday, March 4, 2011

Joannes Lukas sebak selepas meneliti ayat al-Maidah

Joannes Lukas sebak selepas meneliti ayat al Maidah

Pertemuan kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf
. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya.

Malah menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan dirinya sebelum bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk agama Islam.

“Jadi Muslim… memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana saya boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta terlibat secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.
 
“Tetapi semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sedang mengikuti matrikulasi.

“Hakikatnya, pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan perbandingan agama. Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan berkaitan agama anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang lebih mesra dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.

Tambah Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat membaca dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan ketauhidan Allah s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

“Satu persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim tentang keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya sentiasa memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong untuk saya mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.

“Pada masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang saya temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan saya itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula dipersoalkan. Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau tritunggal.

“Peliknya, sewaktu meneliti tafsir al-Quran dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah ayat 72 dan 73, saya tidak dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan soalan yang saya cari selama ini.

Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.

Pertemuan itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya akan erti keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan teman-teman Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang Islam, lantas memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.

“Saya mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami semakin rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang banyak persoalan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan abang angkat, akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di Jabatan Agama Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Kata Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua kalimah syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara. Perasaan seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang diambil itu membelakangkan keluarga.

“Menyedari pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya Lokman.

Pun begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan menulis sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.

Kata Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga dan bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.

“Saya ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak. Rupa-rupanya, kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya dihalau dan dipulau serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana saya sentiasa mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih baik dari dahulu?

“Saya sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap bangsa. Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.

“Alhamdulillah, kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan merestui pengislaman saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba saya tonjolkan kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka terhadap Islam dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus berdoa agar seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.

Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah Centre, kata Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya bermula selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama mengikuti kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2003.

“Di hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam kepada bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.

“Amatlah penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama Islam. Sebab itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua bahawa untuk kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini, orang bukan Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu orangnya,” katanya.

Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.

“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama Kristian, memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat petang itu.Malay-bismikallahuma

No comments:

Post a Comment