Wednesday, June 5, 2019

Tulahan : Baru setahun berkerajaan baru


Salam,

Image result for program kebajikan malaysia baru

Setahun sudah berkerajaan baru, Aidilfitri hari ini baru ada masa untuk menulis. Walaupun sudah berubah posisi kerja, namun hidup berulang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan penulis.

Kali ini berulang dari rumah ke pusat kerajaan dan berulang dari rumah ke Kawasan. Seminggu sekali bertugas di pusat kerajaan , selebihnya balik ke Kawasan. Sibuknya lebih dari dulu, kerana banyak masa terbuang dalam perjalanan.

Sehingga Ramadan tahun ini, penulis hanya sekali dapat berterawih di surau kampung. Pun begitu, penulis tidak risau dengan aktiviti surau kerana dua kawan kampung penulis sudah boleh diharap mengelola aktiviti surau.

Penulis sempat pergi rumah ke rumah di kampung menyampaikan sumbangan Ramadan. Pertama kali , setiap rumah di kampung menerima sumbangan Ramadan. Walaupun nilai bantuan kecil tapi semua dapat merasa. Tak pernah berlaku semasa kerajaan dulu. Dulu bantuan diberi lebih bertumpu kepada penyokong Ubn .

Penulis guna NGO anak kampung yang penulis tubuh bersama kawan-kawan kampung penyokong parti baru untuk mohon dana beri sumbangan kepada orang kampung. Hujung tahun lalu, semua pelajar sekolah rendah di kampung menerima sumbangan pakaian sekolah lengkap. Semua diberi termasuk anak orang kuat Ubn.

Penulis telah usahakan Surau kampung untuk mempunyai akaun bank sendiri bagi membolehkan dan memudahkan sumbangan disalur. Pertama kali juga Surau kampung terima sumbangan kerajaan baru untuk aktiviti mengimarah surau.


Ramadan tahun ini, tak perlu lagi kutip duit dari orang kampung untuk buat majlis berbuka malam 27 Ramadan. Semua surau dapat tanggung dengan bantuan kerajaan baru. Bil letrik dan air surau juga tak perlu kutip dari orang kampung. 

Surau sudah mampu menangung kos bil setahun. Permohonan surau untuk membina tandas baru dan tempat wuduk wanita juga sudah diluluskan kerajaan baru.

Sebenarnya, setahun pemerintahan kerajaan baru sudah banyak perubahan dilakukan. Cuma perubahan ini belum dirasai oleh rakyat. Perubahan melibatkan institusi awam sudah berlaku , namun kesannya masih terlalu awal untuk dilihat. Hanya yang melibatkan kewangan kerajaan baru terpaksa berjimat 
memandangkan beban kewangan yang ditinggalkan kerajaan lama terlalu besar.

Hampir semua yang diperjuangkan oleh parti lama dulu telah dilaksanakan oleh kerajaan baru. Perjuangan untuk pilihanraya adil, besih dan bebas sudah dilaksanakan kerajaan baru. SPR tidak lagi berat sebelah .    Parti kerajaan dan parti pembangkang dilayan sama rata oleh SPR. Buktinya boleh semasa tujuh pilihanraya kecil yang sudah berlaku.

Reformasi terhadap SPRM juga sudah berjalan . SPRM dalam proses untuk diletakkan sepenuhnya di bawah parlimen bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri. SPRM semasa kerajaan lama tidak bebas dan bertindak melindungi pemimpin kerajaan lama yang rasuah.

Perjuangan menuntut kebebasan media selama puluhan tahun oleh parti lama kini sudah dilaksanakan oleh kerajaan baru. Media hari ini bebas , tiada lagi kutukan dan kecaman terhadap pembangkang dalam media arus perdana. Yang ada hanya caci maki penyokong parti lama terhadap pemimpin kerajaan baru dalam media sosial.

Tuntutan supaya Ahli Parlimen pembangkang mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) turut dilaksanakan oleh kerajaan baru. Jika kerajaan baru mahu mengelat bukan sahaja Ahli Parlimen pembangkang yang membantah , tapi Ahli Parlimen kerajaan lebih kuat membantah dari Ahli Parlimen pembangkang. Itu beza Ahli Parlimen kerajaan baru berbanding Ahli Parlimen kerajaan lama.

Banyak lagi perubahan yang telah dilaksanakan kerajaan baru. Kesannya kepada rakyat mengambil masa dan akan dirasai sedikit demi sedikit. 10 Janji dalam manifesto sebenarnya sudah 80 % dilaksanakan kerajaan baru. Cuma kelemahan kerajaan baru ialah penyampaian maklumat kepada rakyat sangat perlahan .

Kerajaan baru banyak melaksanakan agenda mengurangkan beban rakyat tetapi rakyat tidak mendapat maklumat berkenaan secara jelas. Banyak peluang dan tawaran kerajaan telah dibuka kepada rakyat, tapi tidak ramai rakyat yang mengetahuinya. Inilah kelemahan kerajaan baru yang membuka peluang pembangkang menghasut rakyat dengan menuduh kerajaan baru tidak menunaikan janji

Bila berubah pekerjaan, penulis memunyai lebih masa untuk memperkasakan parti baru berbanding pekerjaan lama. Peluang ini penulis ambil dengan memberi lebih tumpuan untuk menambah ahli dan cawangan parti baru.

Syukurlah, semua pusat mengundi untuk Dun yang diwakili parti baru sudah mempunyai cawangan parti baru. Tumpuan kini di Dun yang diwakili parti rakan. Semasa turun ke kawasan akar umbi , ramailah pemimpin cawangan parti lama yang penulis temui.

Rata-rata mereka masih mesra dengan penulis kerana mereka tahu siapa penulis? Mereka tahu cara penulis bekerja. Ada juga yang menceritakan masalah kepimpinan parti lama yang tak sama seperti penulis. Hanya seorang yang menunjukkan muka yang muncung semasa penulis menghulurkan tangan. Penulis tak kisah kerana penulis kenal dia, bukannya buat kerja sangat pun semangat je lebih.

Pusat Khidmat terus memberi tumpuan kepada agenda kebajikan rakyat. Jika dulu, dana terpaksa dicari . Sekarang sudah jadi kerajaan mudah mendapat dana membantu rakyat. Ramadan tahun ini, 600 orang menerima sumbangan Ramadan, berbanding dulu hanya 200 orang. Dulu hanya 150 anak yatim yang boleh diberi bantuan, kini 500 anak yatim boleh dibantu.

Orang miskin, anak yatim , ibu tunggal , orang sakit sekarang banyak terima sumbangan kerana kerajaan baru tak sama macam kerajaan lama yang berlaku ketirisan sebelum bantuan sampai kepada rakyat. Yang mendapat untung apabila kerajaan lama tumbang adalah rakyat marhain.

Parti lama agresif menyerang kerajaan baru tetapi serangan hanya tertumpu kepada isu bangsa dan agama . Ya la, itu sahaja isu yang boleh digunakan untuk menghasut orang Melayu. Isu lain banyak yang sudah dilaksanakan kerajaan baru.

Parti lama dan Ubn sudah semakin erat bekerjasama. Tertutup sudah kesalahan rasuah , kezaliman, penyelewengan pemimpin Ubn hanya dengan berbaik dengan parti lama sahaja. Walaupun pelbagai usaha ke arah kebaikan sedang diusahakan kerajaan baru, parti lama tetap bersama parti Ubn yang terpalit dengan rasuah yang terlalu besar.

Peliknya , kenapa masih belum rasmi kerjasama ini? Kerana masing-masing ada kerajaan negeri yang diperintah. Jika kerjasama rasmi dibuat, sanggupkah parti lama berkorban menyerahkan banyak jawatan kepada pemimpin Ubn di Kelantan dan Terengganu.

Parti Ubn mungkin sanggup kerana apalah sangat Perlis dan Pahang berbanding strategi menyelamatkan parti dari musnah dengan mempergunakan parti lama sebagai penyelamat.

Parti lama juga bimbang bantahan dari ahli bawahan yang sudah lama dizalimi Ubn. Kebimbangan ini ada asasnya kerana jumlah ahli parti lama yang menyertai parti baru semakin bertambah apabila semakin erat kerjasama ini.

Biarlah parti lama dengan strategi bergabung ini, penulis akan terus buat kerja menambah ahli dan cawangan parti baru. Sasaran mendapatkan hanya tambahan 10% pengundi Melayu perlu dilakukan tanpa henti.

Tak sama masuk PRU 14 dengan bilangan cawangan yang kecil berbanding masuk PRU 15 dengan jumlah cawangan yang ada sekarang. Dulu petugas parti bergantung kepada petugas sukarela yang turun membantu. PRU 15, melalui cawangan yang sudah ditubuhkan , penulis yakin petugas parti akar umbi akan membantu gerak kerja pilihanraya.

Ada 4 tahun lagi untuk kerajaan baru melaksanakan perubahan membantu rakyat. Baru setahun pun dah banyak yang dilakukan sehingga pembangkang tidak senang duduk mencari isu menutup kebaikan kerajaan.

Ada 4 tahun lagi untuk menambah kekuatan parti baru, Masuk pilihanraya bukan hanya dengan semangat untuk mencapai kemenangan. Masuk pilihanraya perlu dengan kekuatan parti dan strategi yang berkesan. Selamat berjuang……

Wassalam


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...