Monday, June 2, 2014

10 strategi kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih

Sultan Muhammad Al-Fatih
29 Mei 2012, genaplah 559 tahun pembukaan Kota Konstantinopel di tangan sultan ketujuh kerajaan Turki Osmaniah, Muhammad bin Murad Al-Fatih.

Kejayaan umat Islam pada tahun 1453 ini sangatlah besar maknanya. Ia berlaku selepas hampir 200 tahun umat Islam meratapi pembantaian bangsa ganas Tartar ke atas Baghdad, ibu kota Khilafah Islam Abbasiah.

Profesor Halil Inalchik dari Turki menyatakan kejayaan menamatkan riwayat Empayar Rom Byzantin ini hadir selepas 12 percubaan dilakukan umat Islam terdahulu, untuk menawan kota itu menemui kegagalan.

Siapa sangka sebuah bangsa yang jauh daripada Rasulullah S.A.W sama ada dari segi zamannya mahupun jasadnya di Madinah, namun akhirnya merekalah yang merealisasikan ramalan Rasulullah S.A.W.
Tiada yang mustahil bagi mana-mana bangsa untuk memerintah dunia apabila mereka berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup.

Secara ringkas, saya rumuskan 10 strategi kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih sebagaimana dianalisis para sejarawan terkemuka seperti Profesor Halil Inalchik, Profesor Maksudoglu, Profesor Ilber Ortayli dan Shekh Ali Muhammad As-Sollabi.

Kesemua strategi ini dihasilkan Sultan Muhammad sebaik sahaja beliau dibaiahkan sebagai Sultan Osmaniah pada tahun 1451 Masihi.

Tiga Fakta Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih

Sebelum itu, ada 3 fakta penting yang mesti diambilkira sebelum kita membincangkan faktor-faktor strategik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih:

1 – Empayar Rom yang Berbeza
Empayar Rom Byzantin ketika misi Abu Ayyub Al-Ansari dan bangsa Arab tidak seluas empayar Rom Byzantin ketika misi bangsa Turki dan Sultan Muhammad.

Empayar Rom

Terima kasih kepada generasi sebelum Sultan Muhammad yang bertanggungjawab menyempitkan kuasa Kristian Orthodoks itu, sehingga ia menjadi sebuah kerajaan yang kerdil dan terpinggir sehingga memudahkan Sultan Muhammad untuk memberikan fokus sepenuhnya hanya kepada Konstantinopel.

2 – Baginda Mewarisi Takhta
Sultan Muhammad mewarisi takhta kerajaan Osmaniah yang telah stabil tanpa perpecahan dalam istana, kaya sehingga mampu menaikkan gaji tentera,  kental semangat jihad hasil dari kegigihan usaha ayahnya mendatangkan para ulama terbaik dari seluruh dunia untuk berada di Edirne.

3 – Pendidikan Teratur dan Seimbang
Sultan Muhammad melalui proses pendidikan yang kemas dan teratur, kurikulum yang seimbang dan menyeluruh mencakupi pendidikan spiritual dan intelektual, serta hubungannya yang sangat erat dengan Syekh Aq Syamsuddin, Mullah Qurani dan beberapa ulama tersohor yang lain.

Sekiranya Sultan Muhammad menaiki takhta pada usia 19 tahun itu tanpa empayar Byzantin yang sudah disempitkan, tanpa kerajaan yang stabil kedudukan politik dan ekonominya, tanpa pula wujud pendidikan yang seimbang ke atas beliau sendiri, belum tentu kemenangan ke atas Konstantinopel akan memihak kepada beliau.

10 Strategi Kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih

Berikut 10 strategi mencakupi aspek dalaman dan aspek luaran dihasilkan Sultan Muhammad Al-Fatih selepas beliau mengamati sedalam-dalamnya punca-punca kegagalan percubaan terdahulu.

Muhammad Al-Fatih dan Tentera Islam

1 – Pengaruh yang Berpengaruh
Memastikan sokongan dan kesatuan sepenuhnya umat Islam terhadap hasrat Sultan Muhammad membuka Konstantinopel melalui peranan Chandarli Halil Pasya, ahli politik paling berpengaruh ke atas institusi tentera Janissaries dan Syekh Aq Syamsuddin, ulama paling berpengaruh di kalangan rakyat Turki.