Monday, June 2, 2014

10 strategi kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih

Sultan Muhammad Al-Fatih
29 Mei 2012, genaplah 559 tahun pembukaan Kota Konstantinopel di tangan sultan ketujuh kerajaan Turki Osmaniah, Muhammad bin Murad Al-Fatih.

Kejayaan umat Islam pada tahun 1453 ini sangatlah besar maknanya. Ia berlaku selepas hampir 200 tahun umat Islam meratapi pembantaian bangsa ganas Tartar ke atas Baghdad, ibu kota Khilafah Islam Abbasiah.

Profesor Halil Inalchik dari Turki menyatakan kejayaan menamatkan riwayat Empayar Rom Byzantin ini hadir selepas 12 percubaan dilakukan umat Islam terdahulu, untuk menawan kota itu menemui kegagalan.

Siapa sangka sebuah bangsa yang jauh daripada Rasulullah S.A.W sama ada dari segi zamannya mahupun jasadnya di Madinah, namun akhirnya merekalah yang merealisasikan ramalan Rasulullah S.A.W.
Tiada yang mustahil bagi mana-mana bangsa untuk memerintah dunia apabila mereka berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup.

Secara ringkas, saya rumuskan 10 strategi kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih sebagaimana dianalisis para sejarawan terkemuka seperti Profesor Halil Inalchik, Profesor Maksudoglu, Profesor Ilber Ortayli dan Shekh Ali Muhammad As-Sollabi.

Kesemua strategi ini dihasilkan Sultan Muhammad sebaik sahaja beliau dibaiahkan sebagai Sultan Osmaniah pada tahun 1451 Masihi.

Tiga Fakta Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih

Sebelum itu, ada 3 fakta penting yang mesti diambilkira sebelum kita membincangkan faktor-faktor strategik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih:

1 – Empayar Rom yang Berbeza
Empayar Rom Byzantin ketika misi Abu Ayyub Al-Ansari dan bangsa Arab tidak seluas empayar Rom Byzantin ketika misi bangsa Turki dan Sultan Muhammad.

Empayar Rom

Terima kasih kepada generasi sebelum Sultan Muhammad yang bertanggungjawab menyempitkan kuasa Kristian Orthodoks itu, sehingga ia menjadi sebuah kerajaan yang kerdil dan terpinggir sehingga memudahkan Sultan Muhammad untuk memberikan fokus sepenuhnya hanya kepada Konstantinopel.

2 – Baginda Mewarisi Takhta
Sultan Muhammad mewarisi takhta kerajaan Osmaniah yang telah stabil tanpa perpecahan dalam istana, kaya sehingga mampu menaikkan gaji tentera,  kental semangat jihad hasil dari kegigihan usaha ayahnya mendatangkan para ulama terbaik dari seluruh dunia untuk berada di Edirne.

3 – Pendidikan Teratur dan Seimbang
Sultan Muhammad melalui proses pendidikan yang kemas dan teratur, kurikulum yang seimbang dan menyeluruh mencakupi pendidikan spiritual dan intelektual, serta hubungannya yang sangat erat dengan Syekh Aq Syamsuddin, Mullah Qurani dan beberapa ulama tersohor yang lain.

Sekiranya Sultan Muhammad menaiki takhta pada usia 19 tahun itu tanpa empayar Byzantin yang sudah disempitkan, tanpa kerajaan yang stabil kedudukan politik dan ekonominya, tanpa pula wujud pendidikan yang seimbang ke atas beliau sendiri, belum tentu kemenangan ke atas Konstantinopel akan memihak kepada beliau.

10 Strategi Kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih

Berikut 10 strategi mencakupi aspek dalaman dan aspek luaran dihasilkan Sultan Muhammad Al-Fatih selepas beliau mengamati sedalam-dalamnya punca-punca kegagalan percubaan terdahulu.

Muhammad Al-Fatih dan Tentera Islam

1 – Pengaruh yang Berpengaruh
Memastikan sokongan dan kesatuan sepenuhnya umat Islam terhadap hasrat Sultan Muhammad membuka Konstantinopel melalui peranan Chandarli Halil Pasya, ahli politik paling berpengaruh ke atas institusi tentera Janissaries dan Syekh Aq Syamsuddin, ulama paling berpengaruh di kalangan rakyat Turki.


2 – Pengstrukturan Semula
Melakukan penstrukturan semula sistem birokrasi dan pentadbiran negara dengan perhatian khusus kepada sektor ekonomi, dan kos perbelanjaaan yang diperlukan untuk menuju Konstantinopel.

3 – Menyamar dan Menyelidik
Sultan sendiri membuat penyamaran dan kemudiannya menghantar perisikan untuk terus menyelidik kekuatan dan kelemahan dalaman Konstantinopel, dari ketebalan tembok dua lapis dan kelemahan Greek Fire, hinggalah pada isu-isu semasa politik yang dijangka tidak memihak kepada Maharaja Konstantinopel.

4 – Wujudkan Strategi Lumpuhkan Musuh
Membangunkan 140 buah kapal perang moden, 320 buah perahu, menyediakan angkatan tentera berjumlah seramai 150,000 orang, termasuk dua belas ribu tentera Janisari yang terlatih.

Kesemua ini sebagai persiapan mengepung secara berkesan Konstantinopel dari segenap arah, memenatkan musuh dan melumpuhkan senjata mereka melalui serangan bertali arus ke atas tembok tanpa henti.

5 – Berfikir Sebelum Menghukum
Menunggu justifikasi syariah untuk menghukum Konstantinopel di samping menunggu masa, suasana, dan cuaca sebaiknya sebelum memutuskan tarikh sebenar kepungan dilakukan, supaya tidak akan berlaku sedikitpun kesilapan teknikal yang memungkinkan pengunduran semula ke Edirne.

6 – Improvisasi Hubungan
Menyemak semula hubungan sedia ada antara kerajaan Turki dengan negara-negara Eropah dan Balkan. Serta menawarkan hubungan dagangan yang lebih baik dari tawaran pemimpin Osmaniah sebelumnya.

Perhatian khusus diberikan pada negara-negara jiran dan negara-negara yang bersekutu dengan Konstantinopel, supaya mereka memihak kepada Turki atau bersikap sekurang-kurangnya bersikap neutral apabila Konstantinopel diserang.

7 – Minimumkan Talian Hayat
Memastikan Konstantinopel dipinggir dan dipencilkan dari sebarang ‘talian hayat’ dari selat Bhosporus.

Sultan Muhammad telah membina Rumeli Hissari di bahagian Eropah bertentangan dengan Anadolu Hissari di bahagian Asia dalam 149 hari sahaja.

Ia dibina untuk beliau menguasai sepenuhnya satu-satunya laluan berpotensi untuk sekutu Konstantinopel seperti Empayar Trebizond membantu Konstantinopel.

8 – Bukit Galata
Memberikan perhatian khusus pada bukit Galata dan memastikan Galata bersikap neutral sepanjang tempoh perang.

Akhirnya kawasan bukit menghadap Bhosporus ini menjadi saksi tentera Sultan Muhammad Berjaya melayarkan 70 buah kapal-kapal ringannya, di atas bukit pada jarak hampir 5 kilometer untuk berlabuh di Tanduk Emas tanpa melalui sekatan rantai Byzantin.

9 – Meriam Untuk Hidangan Tembol Tebal
Mencipta 4 buah meriam gergasi dan puluhan mortar untuk meremukkan tembok tebal 10 dan 15 meter Konstantinopel.

Meriam Basilica yang terbesar mempunyai berat 1,400 paun, pelurunya seberat 300 kilogram, memerlukan 2 jam untuk memasukkan satu peluru, mampu menembak 10 das tembakan dalam sehari, jarak capaian bom sekitar 2-3 kilometer dengan bunyinya sahaja boleh didengari pada jarak 20 kilometer.

Meriam ini dibina oleh seorang non-Muslim, namanya Orban dan dipindahkan dari Edirne ke Konstantinopel pada jarak 250 kilometer tanpa diketahui musuh.

10 – Bangkitkan Semangat Tentera Allah
Memastikan spiritual tentera sentiasa berada pada tahap tertinggi. Peranan para ulama sangat besar dalam setiap battalion tentera.

Peristiwa pemindahan kapal di atas bukit selepas kekalahan tentera laut Palta Oglu, dan wujudnya tentera-tentera berani mati yang menggali terowong bawah tanah Konstantinopel adalah antara gambaran-gambaran menakutkan musuh, akibat daripada kentalnya didikan keimanan dan cintakan mati kalangan tentera Islam.

Sehinggalah kemuncaknya lahirnya para pemuda yang cintakan mati lebih dari hidup, rindukan syurga lebih dari kemenangan di dunia hingga Hassan Ulubate yang syahid di atas panji Islam yang dipacakkan di atas menara tembok.

majalahniaga

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...