Saturday, March 31, 2012

Marahkan Yahudi tapi ikut perangai Yahudi

Subjek Yahudi kini menjadi perbahasan semasa dan dalam penelitian kita terdapat sejumlah hadis yang menunjukkan bahawa Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. pernah berhubungan dengan orang Yahudi.

Antara lain sebuah hadis yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi s.a.w. menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya.” - Riwayat Al- Bukhari dan Muslim


Sebuah lagi hadis bermaksud: “Daripada Aisyah r.a. berkata Nabi s.a.w pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w. menyerahkan baju besinya.” - Riwayat Al- Bukhari


Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?” – Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961)


Berdasarkan ini, adalah tidak benar untuk menyatakan tidak boleh berhubungan (termasuk bermuamalat) dengan orang Yahudi; tetapi yang tidak bolehnya meniru perangai dan sikap orang Yahudi yang kini terkenal dengan rejim Zionisnya yang membelasah penduduk Palestin semahu-mahunya.


Cakaplah apa saja mengenai mereka, sombong, jahat, zalim, pembunuh dan sebagainya, mereka buat ‘dek aje’ (tak tahu).


Mereka tidak ambil ‘pot’ (kisah) jika seluruh dunia mengutuk mereka, yang mereka tahu kepentingan bangsa mereka didahulukan, diutamakan.


Namun sikap dan perangai Yahudi inilah yang semakin menular dalam masyarakat kita termasuk pemimpinnya. Katakan dan tuduh apa saja kepada mereka; pembunuhkah, meletupkan orangkah, berjoli katak dengan wang rakyatkah, penzinakah, perasuahkah, mereka buat pekak saja. Mereka tidak ambil ‘pot’ atas tuduhan itu, apa yang mereka tahu cita-cita mereka untuk ke puncak kemasyhuran dunia tercapai.